Zikrullah
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers
Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers
"Cinta Hakiki Khaliq Terbit Dari Kalbu Nan Suci.Rintihan Hati Luahan Perasaan Yang Dituturkan DihadapanNya Menggamit Rasa Syahdu Memecah Kesunyian Malam Justeru Melahirkan Sentuhan Jiwa Dan Ketenangan Pada Hati ,Yang Merindui Penciptanya".

Sunday 31 July 2011

Warkah Buat Sahabat Qarib


WARKAH BUAT SAUDARAKU

Bismillahirrahmanirrahiim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

            Segala puji bagi Allah ta’ala, Tuhan yang menciptakan sekalian alam. Yang telah menciptakan manusia pada seindah dan sebaik-baik kejadian. Berjuta nikmat kurniaan-Nya tak mungkin terbalas oleh kudrat manusia selama hayatnya. Selawat dan salam buat junjungan Muhammad S.A.W, kekasih Allah, insan kecintaan seluruh umat manusia.

Salam perjuangan.
Salam ukhuwwah fillah.
            Buat Muslimin dan muslimat yang bijaksana. Semoga sahabat-sahabat semua berada dalam keadaan yang baik. Semoga tenang dan bahagia dalam keredhaan dan rahmat Allah S.W.T. Semoga selamanya dalam jalan perjuangan yang suci ini, dalam nikmat Iman dan Islam sampai ke akhir hayat.

            ‘Selemah-lemah ukhuwwah adalah bersangka baik pada sahabat’

            Semoga ukhuwwah yang terbina ini selamanya dalam syariat dan diredhai Allah serta berkekalan sampai ke akhir hayat. Walau jauh di mata, Insya-Allah selamanya dalam kenangan dan doa. Ukhuwwah akan benar-benar teruji  bilamana perpisahan datang mengundang. Hargailah ukhuwwah yang terbina, buanglah segala praasangka dan hasad dari dalam diri. Buka pintu hati seluas-luasnya untuk berukhuwwah, redha menerima kelebihan dan kekurangan sahabat-sahabat sabagaimana sahabat-sahabat cuba untuk menerima kelebihan dan kekurangan kita. Semakin kita cuba mengenali dan mempelajari mengenai sikap seseorang, ternyata kita semakin tidak mengenalinya.

Itulah hakikat. Kerana kita sendiri belum tentu seratus-peratus sudah mengenali diri sendiri seperti mana orang lain mengenali diri kita. Terimalah seadanya. Seandainya didapati kita bermasalah dengan sahabat, marilah bersama-sama memeriksa diri, tidak mustahil puncanya adalah kerana kita bermasalah dengan Pencipta kita sendiri. Allah adalah sumber kekuatan, sebaik-baik Pembantu dan Pembimbing.

            ‘Senyum itu sedekah’  

            Seyumlah… kerana senyuman adalah titik tolak sebuah pertemuan dan penyeri kepada suatu ukhuwwah. Buang segala terasa, marah dan dendam di hati. Berbahagialah untuk kejayaan sahabat, bantu dan tampunglah kekurangan mereka.

            ‘Sesungguhnya setiap orang Islam itu bersaudara’

           Jujurlah, kerana kejujuran adalah sesuatu yang indah dalam kehidupan. Kejujuran dan berterus terang akan menghilangkan kemarahan dan kegusaran di hati. Kejujuran melahirkan kepercayaan. Kejujuran  hendaklah diterima dengan hati yang terbuka dan redha. Saling memberi dan menerima. Itulah indahnya berada dalam Taman Islami, ada sahabat yang sudi menegur dan memperbetulkan kesilapan diri. Teguran adalah tanda sayang dan kasih mereka.

Jadilah insan yang bertanggungjawab dan bertimbang rasa dalam segala urusan. Sudilah membantu pada mana-mana kelompangan yang kelihatan. Runtuhkan keegoan yang melangit kepada kerendahan hati yang serendah pepasir di dasar lautan. Jangan biarkan keegoan dan prinsip diri merosakkan ukhuwwah yang indah dan jalan perjuangan yang suci ini. Semoga kelemahan dan kehinaan diri kita tidak menjadi asbab terdindingnya hidayah dan bantuan Allah untuk perjuanganan dan kemenangan Islam..

            Jalan perjuangan ini tidak terbentang padanya permaidani yang indah. Di hadapan menanti liku-liku cabaran serta onak dan duri yang tidak diduga. Perjuangan baru bermula, tabahkan hati menghadapinya. Jangan biarkan ia hancur. Biar berlinangan air mata, pasti akan ada jalannya. Ibarat aliran sungai, walau padanya terdapat batu-batu besar dan pokok yang menghalang, pasti ada laluan untuknya. Sungai itu akan terus mengalir walau hanya melalui satu celahan sekecil zarah. Walau perlu menentang arus, jalan itu harus diteruskan. Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. ‘Dok perlu’ risau dan gusar. Yakinlah pada keajaiban dan bantuan Allah. Tidak ada yang tidak mungkin di mata Allah.

            Akhirul kalam, mohon ampun dan maaf sekali lagi andai ada tersilap kata atau 
terkasar bahasa. Mohon ampun dan maaf atas segala keterlanjuran dan kesilapan kata-
kata dan perbuatan samada yang disengajakan ataupun tidak, yang terzahir atau 
tersembunyi, awal akhir, dunia akhirat. Semoga sentiasa dalam keredhaan-Nya walau 
di mana jua berada. Semakin jauh kaki melangkah, semakin panjang jalan perjuangan. 
Onak dan duri sedia menanti. Tabahkan hati, kuatkan semangat, mantapkan ruhiyyah. 
Berbahagialh kerana termasuk di kalangan mereka yang diuji. Ujian tanda kasih Allah 
pada hambaNya. Ujian bukanlah untuk diminta dijauhkan dari kita. tetapi adalah untuk 
ditempuhi dengan sabar dan taqwa. Ujian mematangkan fikiran, mengampunkankan dosa,
 mendekatkan hamba pada Tuannya. Setiap detik adalah tarbiyyah dari-Nya. Wallahu’alam...
                       
Ampuni kami Ya Ghaffar. Kedua ibu bapa kami, saudara, kaum kerabat, sahabat-sahabiah kami serta sekalian muslimin dan muslimat. Berilah kami hidayah dan taufiq-Mu. Kurniakan kami redha-Mu serta jauhkanlah kami dari murka dan azab api neraka-Mu. Wahai Yang Memperkenankan doa, perkenankanlah doa kami ini Amin Ya Rabbal ‘alamin….

            Syukran. Wassalam...

HANYA ENGKAU

Satu demi satu musibah mendatang
Iman ini benar-benar teruji oleh takdir-Nya kini
Keserabutan melanda
Kesedihan menghantui
Aku menemukan seseorang.
Berbagai rasa menghantui diri tatkala sudah bertemu
Malu, bimbang, berkecil hati dan berputus asa
Sehingga ke akhir pertemuan
Aku diam tidak bersuara

Nasihat dan kata-kata dorongan diperdengarkan
Menyadarkanku untuk kembali kepada hakikat sebenar hidup ini
Mengajakku untuk mengenal pasti matlamat sebenar pada setiap yang dilakukan
Setiap kata-kata itu adalah benar
Tidak  kusangkal
Namun
Bukan mudah untuk hati yang sombong dan ego ini menerima hakikat
Cukup pedih

Kudiamkan diri
Bertafakur
Menilai kembali apa yang telah kulakukan
Pulangku dengan hampa
Tawar hati

Ilaahi, anta maqsudi wa ridhaa ka mathlubi
Tahulah aku
Hanya Allah tempatku mengadu
Hanya Dia tempatku meluah rasa dan merintih sayu
Hanya Dia tempatku sandarkan harapan
Hanya Dia!
Hanya Engkau, Ya Rabb

Di mana bukti pada ikrarku selama ini!?
La hawla wala quwwata illa billahil ‘aliyyul ‘adziim
Ampuni aku atas kemunafiqanku yang lalu
Ampuni aku yang dhaif dan hina ini Ya Allah
Engkaulah sumber kekuatanku dan Engkaulah tempatku bergantung..

Warkah Dari Sahabat Qarib Untukku

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
 Assalamualaikum warahmatul Allahi wabarakatuh.

      AlhamduliLLAH, bersyukurku ke hadhrat ILLAHI kerana dengan izin dan ‘inayahNya dapatku mencoretkan sepatah dua kata sebagai memenuhi janji yang dilakar buat seorang sahabat yang disanjungi dan dikasihi, semoga apa yang ku tulis ini dapat kita sama-sama mengambil manfaat darinya dalam mencari jalan taqarrub ilaiHi. Selawat dan salam ke atas junjungan besar penghulu kita dunia dan akhirat, Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda, sahabat sahabiah dan juga pengikut Baginda hingga ke hari akhirat.

    Kudoakan di saat ini dikau masih lagi berada di bawah peliharaan dan rahmat Rabbul ‘Izzati. Jutaan kemaafan terlebih dahulu kupohon darimu seandainya barisan kata-kata yang bakal kau lewati nanti akan menyinggung hati dan perasaanmu yang suci. Halalkanlah segala yang terlebih dan terkurang kerana inilah sifatku sebagai insan lemah yang tak boleh lari dari kekurangan dan kesilapan. AstaghfiruLLahal ‘Azim.

    Sahabat, bila disingkap kembali sejarah perkenalan kita, ku tak boleh lari dari perasaan terharu dan bersyukur di atas ni’mat yang dianugerahi ini. Siapa sangka kita telah disatukan oleh Rabbul ‘Izzati di bawah satu ikatan ukhuwwah islamiyyah yang berlandaskan Aqidah Islamiy yang suci. Kita sama-sama dicampak ke dalam taman perjuangan taman islami yang memberi peluang untuk kita sama-sama mengenali dan memahami serta melebarkan sayap dan mengukuhkan tunjang ukhuwwah fiLLAH ini. SubhanaLLAH, AlhamduliLLAH Ya Rahman Ya Rahim Ya Zaljalaali wal ikraam.

   Sahabat, betullah seperti katamu, semakin kita mengenali seseorang semakin sukar untuk kita memahaminya. Kita bersama mengharungi suka duka kehidupan dunia fana serta perit getir sebuah perjuangan, namun amat sukar bagiku untuk mengenalimu, lantas, berjuta kesalahan dan kesilapan telah kulakukan yang pastinya seringkali menghiris dan menyiat hatimu kecilmu. Oleh itu sahabat, sekali lagi insan yang lemah dan dha’if ini tagih kemaafan darimu. Ya ALLAH, ampunilah hambamu yang hina ini. Kurniakanlah hambamu ini taufiq serta hidayahMu dan campaklah diri ini dalam golongan hamba-hambaMU yang soleh. Amiiiiiiin…..

  Sahabat, ku bersyukur pada ILLAHI kerana dipilih olehNYA untukku merasai nikmat yang tidak terhitung nilainya ini, tercampak didalam sebuah medan perjuangan suci ini dan dibekalkan pula dengan sahabat-sahabat sebagai pendorong dan penguat semangat,dan kau, adalah di antara bintang-bintang berharga itu. Hakikatnya diriku ini langsung tidak layak untuk bersama-sama kalian semua mengerlipkan cahaya indah di angkasa lepas kerana diri ini hanyalah ibarat seekor pungguk di tunggul rapuh ditepi paya bertangkung.

   Tapi, kau sahabat yang baik, tanpa memandang asal usulku, kau tetap sabar melayan kerenahku, seringkali berkorban apa saja untuk diri ini, memberi peransang dikala ku kesedihan, menghulur bantuan ketika ku kesempitan, menemani dikala ku keseorangan, mencurah idea-idea bernas pabila ku kebuntuan, menenangkanku ketikaku dikuasai perasaan, dan kau sahabat, dengan ketabahan, dan keikhlasanmu, kau lakukan apa sahaja untuk diri ini bagi membuktikan indah dan bahagianya hidup didalam mahligai ukhuwwah fiLLAHI di dalam taman islami. Alhamdu liLLAHI, Ya ALLAH, hamba bersyukur padaMu. Sesungguhnya Engkau Maha Pemurah, Maha  Pengasih lagi Maha Penyayang.

    Namun sahabat, kita bagaikan telah dipahat dengan kata-kata hikmah; sahabat yang baik adalah yang sanggup membetulkan sahabatnya apabila ia melakukan kesilapan. Lantas sahabat, diriku yang retak beribu ini ingin kau jadikan cermin bagi mengoreksi dirimu. Sekali lagi inginku ingatkan, diri ini hanya insan lemah yang kaya dengan kekurangan, mana mungkin mampu membetulkan insan lain, tapi demi janji dan tanggungjawab seorang rakan, ku cuba mengintai-intai kekuranganmu dengan sepasang mata rabun yang seringkali tersalah menilai ini, moga- moga ianya mampu memberi sedikit manfaat untuk dirimu dan diriku dalam mencari redha ILLAHI. Amiiiiin Ya Rabbal ‘Alamiiin.

  Sahabat, puas ku mencari dan menyusun kata-kata berhikmah agar tidak menyinggung perasaanmu, namun, andainya hanya setakat ini yang mampu ku berikan, halal dan maafkanlah diri ini. Seandainya ia ibarat sengatan dari ekor sang lebah, cukuplah kedinginan wudhu’ dan Al- Quran sebagai penawar bagimu. Sahabat, selama mengenali dirimu, kau seorang yang suka berdikari, tidak suka menyusahkan orang lain, ke mana-mana lebih senang bersendirian, namun kita sebagai seorang wanita yang penuh dengan fitnah, tidaklah berapa sesuai ke mana-mana bersendirian tanpa muhrim atau sekurang-kurangnya seorang sahabat sebagai peneman. Itulah sahabat. Walaupun sukar untuk diterima, itulah hakikatnya yang digaris oleh Islam.

   Sahabat, dalam berkerja, kita perlu saling lengkap melengkapi dan bekerja sama, yang lambat perlu disedarkan, yang lupa perlu di ingat-ingatkan, bukannya segala kerja dan tugas perlu tanggung bersendirian. Itu bukanlah cara yang sebetulnya kerana ku bimbang ada di antara kita yang menyangka tiadanya kepercayaanmu pada diri dan kebolehan mereka. Namun, sememangnya tidak dapatku dan sahabat-sahabat lain menyangkal segala jasa dan baktimu pada selama ini. Jutaan terima kasih di atas segala-galanya. Hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya. Syukran ya ukhti.

    Sahabat, apa lagi yang ingin ku dedahkan padamu? Aku lebih banyak kelemahan darimu…     Cuma sedikit nasihat ikhlas dariku, jagalah hubunganmu dengan ALLAH S.W.T. Jauhkanlah dirimu dari perkara-perkara yang sia-sia yang boleh mewujudkan hijab antaramu dan DIA. Jagalah solatmu, sesungguhnya Nabi Junjungan kita Muhammad  s.a.w pernah bersabda; antara amalan yang utama yang perlu ditunaikan ialah solat di awal waktu. Ini adalah pesanan untuk diriku juga. Semoga kita sama- sama dapat meng’amalkannya. Rabbana, yassir wa la tu’ssir yakariiim. Kurangkanlah bercakap mengenai muslimin atau berhubung dengan mereka tanpa urusan yang betul- betul diperlukan kerana ku takut ianya boleh menyebabkan hatimu lalai dari mengingati ALLAH dan boleh menimbulkan fitnah kerna kau sendiri tahu bukan, syaitan adalah musuh kita yang nyata dan sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan kita. Maka berhati-hatilah, karana hamba ALLAH yang wara’ sentiasa menjaga ‘amalanya dari terjerumus dalam perkara syubhah dan sia-sia. Sama-samalah kita menjaganya agar kita bukanlah penyebab kepada gagalnya perjuangan suci ini tanpa kita sedari.

   Sahabat, kuingin kongsi satu kata- kata yang ku anggap ‘ilmu denganmu, seorang ustazah pernah berkata, alangkah beruntungnya sekiranya kita memperolehi ni’mat merasa kasih pada semua orang. Dan ianya bukanlah mudah untuk dicapai. Tapi, Insya ALLAH dengan niat yang ikhlas kerana ALLAH, insya ALLAH akan kita perolehinya. Jadi untuk mendapat ni’mat ini, kita perlulah belajar menerima  seseorang seadanya, sekiranya mampu, kita betulkan kelemahannya secara berhikmah.  Perlu sentiasa bersangka baik dengan semua orang dan melupakan kesalahan orang pada kita. Jangan terlalu memandang tinggi pada seseorang. Tapi bukanlah bererti tidak menghomatinya, kerana ditakuti apabila sekali dia melakukan kesalahan dan kesilapan, akan hilang rasa hormat dan sayang kita padanya.

   Sahabat, ini nasihatku, seorang insan lemah yang sudi kau anggap sebagai seorang teman. Ku mohon ampun dan maaf seandainya apa yang ku katakan tentang dirimu ini salah dan jauh berbeza dengan hakikat dirimu yang sebenar. Dan nasihat- nasihatku itu, ambillah kalau boleh membari manfaat buat dirimu. Sekiranya ianya hanyalah merupakan kata- kata kosong yang tiada nilai disisimu, buanglah, jangan dikisahkan kerana diri ini telah  sedia kau ketahui hanyalah insan lemah dan dhaif yang hanya mengintai- intai dengan sepasang mata yang seringkali silap membuat penafsiran. Semoga ALLAH mengampuni dosa-dosaku dan dosa- dosamu. Amiiiin Ya Rabbal ‘Alamiiiin.

   Sahabatku yang ku sanjungi dan hormati, serasanya hanya setakat ini kudratku, sebelum ku melangkah kaki mengundur diri, sekali lagi ku mohon beribu kemaafan seandainya selama persahabatan ini terjalin, diri ini banyak melukai dan mengguris perasaanmu. Hanya sekadar maaf yang mampu ku pohon. Halalkan segala yang terlebih dan terkurang. Kudoakan dirimu mendapat kejayaan fid dunya wal akhirah. BarakaLLAHU fiki. Sebelum itu, satu rasa yang inginku kongsi denganmu; ketahuilah, diri ini benar-banar bersyukur kerana diberi kesempatan mengenali dirimu sebagai seorang sahabat, dan yang pastinya aku belum puas berada dalam mahligai indah bernama ukhuwwah fiLLAHI di taman islami ini. AlhamduliLLAH Ya ALLAH  ‘ala kulli hal wa fi kullihal  Ya Kariiim. Semoga ukhuwwah lestari selamanya dan kerdipan bintang-bintangku ini tidak akan sirna buat selamanya. Insya ALLAH………………..

   Sekarang, sudah tiba waktunya pungguk ini berlalu pergi……….

   Assalamu’alaikum wa rahmatuLLAHI wa barakatuh

Orang Tidak Sabar Suka Berfikiran Pendek

AL MULK (KERAJAAN)

1. Maha Suci Allah Yang di tangan-Nyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu,
2. Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun,
Jika kita berfikir secara logik dan kritikal dengan melihat kesempurnaan ciptaan-ciptaan Allah di semesta alam, kita dapat merasai getaran Kehebatan kerajaanNya. Bagaimana sistem solar boleh berfungsi dengan penuh keteraturan.

Bukankah itu menunjukkan logik bahawa ada Satu Kekuasaan Yang Maha Agung?

Dan untuk menguji manusia, Dia hanya berikan dua nilai yang berbeza. Bukan tiga, empat, lima atau lebih. Hanya dua sahaja Allah suruh kita pilih. Sebab itu di dalam alam ini diciptakan berpasangan iaitu ada pasangan baik atau buruk, hidup atau mati, bijak atau bodoh, mulia atau keji dan sebagainya.

Terpulanglah kita hendak berfikir secara waras memilih nilai-nilai mana yang kita fikirkan logik untuk mendapat hidup yang bahagia. Jika kita anggap dengan menjadi seorang yang keji, hati kita akan tenang dan bahagia, teruskanlah bersikap begitu. Kelak setiap perbuatan kita akan dipertanggungjawabkan.

Hidupkanlah hati kita dengan membangunkan akal sehingga kita waras berfikir. Bukannya sekadar berfikir pendek. Orang yang tidak sabar sahaja suka berfikiran pendek.

Bila berfikiran pendek, hati manusia itu akan mati. Hati yang mati hanya suka guna mata zahir untuk menilai orang lain sebab mata hatinya tertutup untuk menilai dirinya sendiri.Berlakulah keadaan suka mencari keburukan dan mencela keburukan orang lain.
Adakah orang pendek akal adalah orang tak sabar?
atau orang tak sabar adalah orang pendek akal?

Allah Jadikan Dunia Itu Cantik

Dunia, ALLAH jadikan cantik pada pandangan mata. Ia dihias dengan pelbagai nikmat, keindahan, dan kebahagiaan - rumah-rumah kediaman, taman-taman bunga, makanan yang lazat-lazat, anak-anak yang menghiburkan, dan lain-lain.

Antara seorang dengan seorang yang lain tidak sama kadar dunia yang dapat dimilikinya. Ada yang dapat memiliki rumah besar, pangkat tinggi, memperoleh sanjungan manusia, boleh bertukar ganti pakaian selalu, makan makanan yang seap. Tapi ada juga yang hanya duduk di pondok buruk, dipandang hina oleh orang dan makan sekedar untuk alas perut. Apakah maksud ALLAH tidak memberi dunia sama banyak dan sama rata kepada setiap hamba-Nya?

Sebenarnya tentulah setiap hamba itu mendapat kasih sayang serta rahmat ALLAH, kerana setiap yang ALLAH jadikan, ALLAH kasihi melebihi kasih seorang ibu kepada anaknya. Tapi takdir yang ditentukan ALLAH tetap tidak sama dan seringkali berbeza, bahkan sebahagiannya di luar kehendak hamba itu sendiri. Kasih sayang ALLAH akan dimiliki oleh hamba-hamba-Nya yang dapat tunduk kepada takdir ALLAH. Baik dia ditakdirkan untuk jadi orang yang senang, atau sebaliknya ditakdirkan menjadi miskin, dia tetap rela dan tidak merengut suatu apa pun.

Dia tahu bahawa sesungguhnya ALLAH tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Kalaulah takdir yang ditentukan itu baik, maka disinilah peluangnya untuk menjadi hamba yang bersyukur, yang dapat memanfaatkan kebaikan yang diperolehnya itu bukan untuk dirinya seorang, tapi agar dapat dirasakan bersama oleh orang lain.

Kalaulah ditakdirkan kaya, dengan kekayaan itu dia akan dapat membantu orang susah, anak-anak yatim, janda dan fakir miskin serta melakukan lain-lain kebajikan. Sehingga dia menjadi lebih dekat kepada ALLAH dan mendapat rahmat serta kasih sayang-Nya. Sebaliknya orang yang ditakdirkan menerima nasib yang kurang baik, tetapi dia sanggup bersabar walaupun dalam seribu kepahitan, maka ALLAH akan balas dengan rahmat-Nya. ALLAH akan hiburkan dengan mengurniakan kekayaan hati.

Hati yang kaya adalah hati yang sentiasa berbahagia dengan kebaikan. Hati sentiasa merasa ringan menghadapi kesusahan atau kemiskinan. Nasib malang yang menimpa dirinya sedikit pun tidak menyusahkan hatinya. Sebaliknya, segala kejadian dan keadaan yang ada itu membuat dia terus bergantung hati, bertawakkal, dan berserah diri pada ALLAH. Dia yakin ALLAH itu Maha Bijaksana.

Maha Suci ALLAH dari salah dalam menentukan takdir dan perjalanan hidup hamba-Nya. ALLAH Maha Adil. Kerana itu, apa saja nasib yang menimpa dirinya tentulah hasil dari sifat adil-Nya. Jesteru itu akan membuat hatinya makin redha, merendah diri, dan semakin dekatlah hatinya dengan ALLAH. Seorang hamba yang tidak redha dengan takdir atau nasib yang menimpa dirinya, seolah- olah dia tidak yakin pada keadilan dan kebijaksanaan ALLAH. Seolah-olah menganggap ALLAH tidak tahu kehendak hatinya. Padahal kerana Maha Tahu- nya ALLAH, yang ilmu-Nya meliputi segala sesuatu, maka ALLAH pasti memutuskan takdir yang sebaik-baiknya untuk hamba-Nya. Walaupun pada pandangan si hamba takdir itu tidak baik, tetapi kalau dia betul-betul berserah diri pada ALLAH dia akan mendapat keuntungan dari takdir itu. 

Sebaliknya, kalau seseorang setelah diberi rezeki dengan takdir yang baik dalam hidup ternyata membuat dia terlalu gembira dan bangga, hingga dia lalai dan lupa kepada Yang Memberi, maka takdir yang dia anggap baik itu sebenarnya sudah tidak menguntungkan dirinya lagi. Dia sudah berada jauh dari ALLAH disebabkan kelalaiannya. Janganlah merasa iri hati atau dengki melihat nasib atau takdir yang baik yang telah ALLAH tentukan terhadap orang lain sehingga kita berusaha untuk mendapatkannya.

Kerana apa yang diperuntukkan ALLAH kepada seorang hamba-Nya itu pasti tidak sama dan tidak dimiliki oleh hamba-Nya yang lain, yang tidak tertulis sebagai penerima takdir itu, meski dia berusaha mati-matian untuk menggapai, mencapai dan mendapatkannya. Apa yang patut dilakukan oleh setiap hamba ialah redha menerima segala ketentuan atau takdir ALLAH, baik yang dianggap baik atau tidak.

Kerana, pada hakikatnya, setiap yang ditakdirkan dan ditentukan oleh ALLAH itu adalah yang baik-baik (the God is not common mistake). Cuma, yang membezakan baik atau tidak itu (menurut manusia) ialah hawa nafsu manusia sendiri. Mana-mana yang sesuai dengan kehendak nafsu dan hatinya dianggap baik. Sebaliknya yang menyusahkan dan nafsunya merasa tidak senang, dikatakan tidak baik. 

Janganlah kita mengukur takdir dengan mengikuti hawa nafsu yang hanya mengajak kita menjadi ingkar dan memusuhi ALLAH. Ikutilah penilaian dan ukuran ALLAH. Kalau kita dapat menghadapi setiap takdir dengan banyak berserah, berharap, dan takut pada kemurkaan-Nya, tentulah setiap takdir itu akan menguntungkan kita.

Untungnya, kerana ia boleh mendekatkan diri kita dengan ALLAH.
Orang yang dekat dengan ALLAH akan diberi ketenangan hati, rasa aman dan tenteram serta anugerah-anugerah lain yang hanya dirasakan oleh manusia itu sendiri sehingga menambah rasa syukur kita. Kerana sesungguhnya sebagian besar dari anugerah Allah itu tidak dapat dilihat oleh mata tapi hanya dapat dirasakan oleh hati terlebih lagi yang benar-benar memahami Allah SWT.

Wassalaam…

Saturday 30 July 2011

Muhasabah Agar Beri Manfaat

ke mana lebihnya kita? Ke jalan redha atau kebencian Allah?

Jadi di sini saya ingin berkongsi beberapa cara untuk bermuhasabah, semoga dapat memberi manfaat.

01.Mengingati mati. Ini cara terbaik untuk bermuhasabah. Mengingatkan diri tentang kematian yang pasti terjadi membantu kita mengkoreksi diri. Secara tidak langsung menjadi pendorong untuk kita menambah amal kebaikan.

02.Mengingati kelemahan diri. Dengan kita menilai kelemahan diri kita secara tidak langsung membantu dalam memperbaiki kelemahan diri. Cara lain ialah dengan menukar kelemahan itu menjadi kekuatan. Sebagai contoh kita cuba kurangkan sifat suka berkata perkara-perkara lagha dengan berzikir, mungkin nampak jauh sangat perbezaannya, namun andai cuba diamalkan, InsyaAllah akan jadi kekuatan akhirnya.

03.Tidak membesarkan kekurangan orang lain. Janganlah dibesar-besarkan kekurangan orang lain kerana hakikatnya Allah menutup-nutup kekurangan kita. Andai kita menutup kelemahan orang lain, Allah akan melindungkan kelemahan kita.

04.Menjadikan kebaikan orang sebagai kayu ukur untuk kita. Dalam hal amalan kebaikan, amatlah wajar untuk kita meniru orang lain. Jadikan ia sebagai penanda aras untuk kita dan letakkan sasaran untuk menjadi yang lebih baik dari orang lain.

05.Menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan utama. Sangat jelas bahawa Nabi junjungan mulia contoh terbaik buat kita. Mulakan dengan mengamalkan perkara-perkara yang menjadi sunnah baginda.

06.Berdoa sebanyak-banyaknya agar Allah mudahkan kita untuk berubah dan memperbaiki diri. Allah yang memegang hati kita dan Dia jugalah mampu membuka hati kita untuk suka kepada kebaikan dan membenci kejahatan. Hidayah itu milik-Nya jua.

Sahabat-sahabatku, marilah kita sama-sama bergerak dan bertindak ke arah perubahan yang InsyaAllah mengundang redha Allah, biiznillah.

Doakan moga kita berjaya bermujahadah ke arah kebaikan dan kekal istiqamah dalam beramal..ameen. Wallahualam...

Friday 29 July 2011

JIKA CINTAKAN ALLAH

Sebutlah nama Allah banyak-banyak. Maksud ayat al Quran dengan kalimah "berzikilah pada waktu pagi dan petang" itu ialah kita berzikir dengan kuantiti dan kuali yang tinggi. Zikir lidah, zikir hati dan zikir perbuatan semuanya menjurus kepada membesarkan Allah, dan segala yang lain kecil belaka.

Lidah menyebut kalimah Allah, lalu hati merasakan kebesaran dan keagungan-Nya, dan tindakan menyusul apabila kita selaraskan segala perbuatan dengan hukum-hakamNya. Itulah zikir yang hakiki. Kesannya sepadu. Ia akan memberi ketenangan dan kekuatan.

Namun bila Allah dilupakan, umat akan kurang menyebut namaNya lagi. Ketika itu hati-hati pun lalai daripada merasakan kebesaran dan keagunganNya. Akibatnya hukum-hakamNya diabaikan dalam tindakan dan perbuatan. Bila ini terhadi jangan ditangisi jika Allah "lupakan" kita.

Allah hanya menjadi pembela kepada orang yang bertakwa. Orang yang bertakwa adalah orang yang banyak mengingatiNya , dengan lidah, hati dan perbuatan. Menjadi seorang muslim sahaja (bukan muttaqin), tidak melayakkan kita mendapat jaminan bantuan daripadaNya. Siapakah kita, muttaqin atau hanya muslim?

Muslim, lebih-lebih lagi muslim yang fasik, kurang berzikir malah ada yang tidak berzikir langsung. Apakah Allah akan mengingati kita jika kita melupakanNya? Lalu terbiarlah kita dihina, dizalimi dan diperkotak-katikkan oleh musuh tanpa mendapat pembelaan.

Sayidina Umar pernah mengingatkan, bahawa dia lebih bimbangkan dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera Islam berbanding kekuatan dan perancangan musuh. Dosa-dosa akan menghalang daripada datangnya bantuan Allah kepada kita. Kenapa orang melakukan dosa? Jawabnya, kerana lupakan Allah. Lupa zikir kepadaNya. Justeru, untuk mendapat kekuatan, elakkan dosa. Dan untuk elakkan dosa sentiasalah mengingati Allah.

Ya, masakan orang yang sentiasa ingatkan Allah tergamak bergelumang dengan dosa? Jika terlanjur sedikit pun mereka segera bertaubat. Orang yang beginilah akan mendapat bantuan Allah dalam apa yang mereka usahakan dan perjuangkan. Mereka disokong oleh kawan dan dihormati oleh lawan. Belum pun bertempik, hanya berbisik, orang akan akur dan tunduk.

When Allah is your "friend", who is your enemy? Bila Allah akrab dengan kita, siapakah yang berani memusuhi kita? King Richard yang berhati singa itu pun tunduk kepada Sultan Salehuddin Al Ayubi. Mengapa? Apakah hanya kerana kekuatan Salehuddin? Tidak, tetapi kerana akhlak dan keperibadiannya yang ditempa oleh zikirullah. Hasilnya, sifat pemaaf, kasih-sayang dan prihatinya, tidak terbatas. Merentas sepadan bangsa, negara dan agama.

Musuh tidak terlalu laju, tetapi orang Islam yang terlalu perlahan. Kita seharusnya ke depan dengan roh cinta dan kasih-sayang. Dengan cinta kita berdakwah, berhujah dan menjelaskan dengan penuh hemah dan hikmah tanpa dibauri oleh kebencian dan prasangka.

Dengan cinta kita tidak hanya menyebut namaNya, mengingatiNya dan mendaulatkan hukum-hakamNya dalam diri tetapi kita akan kembangkan sayap cinta itu ke dalam rumah tangga, organisasi, masyarakat dan negara.

Kalau benar cintakan Allah, cintailah diri dan umat ini dengan banyak mengingatiNya. Bangun seawal Subuh, bersih dan sucikan diri. Lalu solatlah untuk mengingatiNya. Kemudian, bertebaranlah di muka bumi untuk mencari rezeki yang halal dengan meninggalkan segala bentuk rasuah, riba dan penyelewengan.

Atur keluarga mengikut syariat. Jauhkan pendedahan aurat. Perangi pergaulan bebas, racun hedonisme dan fesyen bohemian dalam kehidupan diri dan remaja kita. Pacu kemajuan ekonomi, tetapi jangan lupakan hukum Ilahi. Bersiasahlah tetapi jauhi fitnah dan kepentingan diri. Ingat Allah! Jaga halal dan haram dalam setiap perilaku dan perbuatan.

Kalau benar cintakan Allah... ingatlah: Cinta itu bukan kata-kata. Love is a verb – cinta itu tindakan. Bangkitlah dengan kecintaan bukan dengan satu kebencian. Jangan marahkan orang yang tidak cinta... jika kita sendiri tidak cinta.

Marahkan diri kita dahulu, sebelum marahkan mereka. Tidak malukah kita kepada Allah, justeru jika demikian... bererti cinta kita hanya kata-kata? Hanya pura-pura?

Berjihad Di Jalan Allah

Bismillahirrahmaanirrahim...

Ya Allah jika aku jatuh cinta,

cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya padaMu, 
agar bertambah kekuatanku untuk menyintaiMu. 


Ya Muhaimin, 
jika aku jatuh hati, izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut padaMu agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu. 


Ya Rabbana, 
jika aku jatuh hati jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling daripada hatiMu. 


Ya Rabbul Izzati, 
jika aku rindu, rindukanlah aku pada seseorang yang merindui syahid di jalan Mu. 


Ya Allah, 
jika aku menikmati cinta kekasihMu janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhirMu. 


Ya Allah,
jika aku jatuh hati pada kekasihMu jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepadaMu. 


Ya Allah,
jika Kau halalkan aku merindui kekasihMu jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepadaMu.

TUNTUTAN BERSAHUR

Para ulama telah ijmak tentang keutamaan dan berkenaan sunnahnya bersahur. (Fathul Bari 4/139. Ibnu Hajar) Rasulullah bersabda: 

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ : تَسَحَّرُوْا فَاِنَّ فِى السَّحُوْرِ بَرَكَةً

“Dari Anas berkata: Bersabda Rasulullah: Bersahurlah kamu sekalian, kerana dalam bersahur itu terdapat barakah”. (Hadis Riwayat Bukhari 4/120. Muslim 1059. Diriwayatkan juga oleh Tirmizi, Nasaii dan Ibn Majah)

Keutamaan Bersahur
تَسَحَّرُوْا وَلَوْ بِجُرْعَةٍ مِنَ الْمَاءِ
“Bersahurlah walaupun hanya dengan meminum seteguk air”. (Hadis Riwayat Abu Ya’la 3340. Ibnu Hibban No 884. Hadis Hasan)

اَلسَّحُوْرُ أَكْلُهُ بَرَكَةٍ ، فَلاَ تَدَعُوْهُ وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ اَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ فَاِنَّ اللهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّوْْنَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِيْنَ
“Bersahur makanannya diberkahi, janganlah meninggalkan sahur walaupun hanya meminum seteguk air kerana Allah dan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang bersahur”. (Hadis Riwayat Ibnu Abi Syaibah 2/8. Ahmad 3/12,44)

اَلْبَرَكَةُ فِى ثَلاَثَةٍ ، اَلْجَمَاعَةُ ، والثَّرِيْدُ ، وَالسَّحُوْرُ
“Keberkatan itu pada tiga perkara: Jamaah, Sayuran dan makan sahur”. (Hadis Rriwayat Thabrani (dalam al-Kabir) 6127. Al-Khatib (dalam Mawadah) 1/263)

اِنَّهَا بَرَكَةٌ أَعْطَاكُمُ اللهُ اِيَّهَا فَلاَ تَدَعهُ
“Sesungguhnya bersahur itu adalah berkah yang Allah berikan kepada kamu maka janganlah kamu tinggalkannya”. (Hadis Riwayat Nasaii 4/145. Ahmad 5/270. Sanadnya sahih)

إِنَّ اللهَ جَعَلَ الْبَرَكَةَ فِى السَّحُوْرِ وَالْكَيْلِ.
“Sesungguhnya Allah telah memberi keberkatan pada makan sahur dan takaran (timbangan)”. (Diriwayatkan oleh Asy-Syirazi. Lihat: Jami’ as-Sagir 1715)

هَلُّمَ اِلَى الْغَدَاءِ الْمُبَارَكِ : يَعْنِيْ السَّحُوْرُ
“Marilah menuju ke makanan yang berkah: Iaitu bersahur”. (Hadis Riwayat Ahmad 4/133. Ibnu Hibban 223. Nasaii 4/146. Sanadnya sahih)

Perbuatan Bersahur Membezakan Dengan Puasanya Ahli Kitab

فَضْلَ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ
“Perbezaan puasa kami dan puasa Ahli Kitab ialah bersahur”. (Hadis Riwayat Muslim, 1096)

Bersahur Dengan Kurma
Jenis makanan sahur yang afdal/utama ialah buah kurma. Rasulullah bersabda:

مَنْ أَرَادَ أَنْ يَصُوْمَ فَلْيَتَسَحَّرْ بِشَيْءٍ
“Barangsiapa mahu berpuasa hendaklah bersahur dengan sesuatu”. (Hadis Riwayat Abi Syaibah 3/8. Ahmad. 3/367. Abu Ya’la 3/438. Al-Bazzar 1/465)

نِعْمَ سَحُوْرُ الْمُؤْمِنِ التَّمْرُ
“Sebaik-baik makanan sahur seorang mukmin ialah kurma”. (Hadis Riwayat Abu Daud 2/303. Ibnu Hibban 223. Baihaqi 4/237. Sanadnya sahih)

Melewatkan Makan Sahur

Adalah sunnah mensegerakan berbuka dan melewatkan makan sahur, kerana ‘Amr bin Maimun al-Audi dia berkata:

كَانَ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّى أَسْرَعَ النَّاسِ إِفْطَارًا وَأبْطَاءَ هُمْ سَحُوْرًا

“Para sahabat Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam adalah orang-orang yang paling cepat berbukanya dan yang paling lambat makan sahurnya”. (Hadis Riwayat Abdulrrazzak, dalam al-Musannaf, 7591. Hadis ini disahihkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fathul Bari 4/199. Dan Al-Haitami dalam Majma’ Zawaid 3/154

SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA

BERSAHUR


"Perbezaan antara puasa oang Islam dan puasa ahli kitab ialah makan sahur." - Hadis riwayat al-Tirmizi
"Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma." -Hadis riwayat Ibnu Hibban & Baihaqi

"Makan sahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya walaupun hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur." - Hadis riwayat Ahmad.

"Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan." - Hadis riwayat al-Bukhari

BERBUKA


"Doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa ialah ketika dia berbuka." (HR Ibn Majah)

"Rasulullah s.a.w berbuka puasa dengan rutab. Jika tiada rutab, baginda akan berbuka dengan tamar dan jika  tiada tamar, baginda akan minum beberapa teguk air." (HR Tirmidzi)

Rutab adalah buah kurma yang masak dan belum dikeringkan. Tamar adalah buah kurma yang telah dikeringkan.