Zikrullah
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers
Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers
"Cinta Hakiki Khaliq Terbit Dari Kalbu Nan Suci.Rintihan Hati Luahan Perasaan Yang Dituturkan DihadapanNya Menggamit Rasa Syahdu Memecah Kesunyian Malam Justeru Melahirkan Sentuhan Jiwa Dan Ketenangan Pada Hati ,Yang Merindui Penciptanya".

Wednesday 31 August 2011

LUKISAN RINDU


Pada tangisan atau jua pada air mata
Hadir rasa yang tak bisa ku lari dari nya
Lukisan rindu yang terlakar di wajah ku
Hadir dari hati yang di himpit perasaan
Dirimu ku rindu oh kekasih Allah
Walau kita tak pernah bersua
Mengalir mutiara suci di pipi ku
Sambil di bibirku berselawat mengingati mu
Kerinduan bertamu tak bisa lagi ku bendung
Hanya bisa ku luah dengan kata bermadah
Ku harapkan rahmat Allah
Ku harapkan syafaat mu
Agar bisaku bersama mu
Oh Rasulullah..

Ku baca sirah mu
Ku hayati kata-kata mu
Betapa indah akhlak mu
Betapa erat ukhuwwah mu dan sahabat
Ku andaikan diriku
Berada disisi mu
Namun ku langsung terpana
Betapa hinanya aku disamping mu
Aku yang banyak berdosa
Mengharap maghfirah Allah
Aku malu pada mu
Duhai Rasulullah
Lukisan rindu pada mu
Penuh berwarna
Ya Rasulullah…..
Ya Allah…..

Sunday 21 August 2011

Allah Yang Di Cintai


"Ya Tuhanku,kurniakanlah aku dua mata yang suka menitiskan air mata, sebelum datangnya saat di mana dua mata ini menitiskan darah dan gigi-gigi menjadi bara..

Buat ALLAH yang amat ku kasihi…
Di kala insan lain sedang lena dalam dakapan mimpi, hambaMu yang hina ini bangkit untuk menghadap_Mu Ya Allah. Meskipun diri ini masih dalam keadaan ma'zurah, aku tetap ingin qiyam Ya Allah. Hati ini terlalu rindu untuk merasai kelazatan dan kenikmatan bermunajat kepada_Mu.. Hati ini sudah terlalu jauh dariMu Ya Allah.

Ya Allah yang amat ku cintai…
Aku tak punyai bahasa yang indah untuk digunakan ketika bermunajat ke hadratMu.. Susunan bahasaku sekadar ucapan biasa yang lahir dari hati yang kotor ini dan terucap di bibir.

Ya Allah..
Meskipun begitu,aku tetap berharap agar Kau mendengar rintihan hati ini.. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar setiap rintihan hamba-hambaMu ini sama ada dizahirkan ataupun tidak.

Ya Allah cinta agungku..
Telah aku terumbang-ambing di lautan kesepian tatkala diri ini benar-benar berjauhan dariMu. Telah aku harungi hari-hariku dalam kegelapan tanpa petunjuk dari_Mu. Hari ini, saat ini.. tiba-tiba hati ini terlalu rindu untuk bertemu dengan_Mu.. Diri ini terlalu mendamba kasih sayang dan pimpinan dari_Mu Ya Rahman. Dosa-dosa yang ku lakukan semalam telah menghitamkan hati ini, hingga payah bagi nur hidayah_Mu untuk menyelinap masuk walau seketika. Hati ini sesungguhnya telah ternoda oleh dosa-dosa semalam. Maka dengan itu Ya Allah.. kurniakanlah aku sekeping hati yang baru sekiranya hati yang kau berikan itu sudah rosak. Berilah daku hati yang sentiasa mengingatimu, yang cepat tersentuh tatkala mendengar kalimahmu.
Ya Allah,aku merindui syahid di jalanmu.. aku ingin kembali pada_Mu dengan hati yang bersih.. membawa bersama kuntuman cinta untukku hadiahkan pada_Mu
amiiin… ya rahman.

Amalan dan Akibat Berhutang

ISLAM membenar, malah mengharuskan seseorang itu berhutang ketika berdepan dengan kesusahan dan kesempitan hidup yang membabitkan masalah kewangan.

Pada masa sama, Islam memberi galakan kepada umatnya agar memberi bantuan dan pertolongan kepada mereka yang memerlukan dalam pelbagai bentuk seperti pinjaman secara hutang bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka, lebih-lebih lagi dalam hal keperluan asasi.


Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang lelaki yang bersedekah dan orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah (semata-mata untuk mendapatkan pahala) dengan pinjaman yang baik (ikhlas) akan digandakan balasannya dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia." (Surah al-Hadid, ayat 18)

Firman Allah bermaksud: "Dan bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketakwaan dan janganlah bertolong-tolong pada perkara dosa dan permusuhan." (Surah al-Maidah, ayat 2)



Namun, Islam begitu teliti dan memandang berat dalam soal memberi, menerima dan membayar semula hutang kerana ia membabitkan hubungan sesama manusia ketika hidup di dunia ini hingga ke akhirat kelak.


Mengapakah anda berhutang?
Ada banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu terjebak dalam hutang antaranya ialah:

l. Ingin memenuhi kehendak dan tuntutan hawa nafsu untuk memiliki sesuatu yang tidak mampu ditunaikan kecuali dengan berhutang.

2. Pengaruh daripada sahabat handai atau jiran tetangga yang sering memberi galakan untuk berhutang. Lantaran itu dia berbuat demikian, walaupun pada hakikat dirinya itu tidak memerlukan, tetapi hanya untuk berbangga dengan apa yang dimilikinya.



3. Sikap tidak berasa puas dan cukup dengan apa yang dimiliki dan sanggup berhutang demi memenuhi kehendak dan hajatnya tanpa memikirkan akibat yang mendatang.

4. Kemudahan pinjaman yang disediakan oleh beberapa pihak tertentu seperti institusi kewangan dan perbankan bagi menggalakkan lagi amalan berhutang.

5. Berkehendakkan sesuatu benda yang membabitkan kebendaan dengan cepat dan segera walaupun hakikatnya dia tidak mampu berbuat demikian.

Dalam hal ini jika perkara yang hendak dimiliki itu adalah keperluan asasi (dharuriat) seperti makanan, minuman, tempat tinggal, pakaian dan pelajaran, maka Islam membenarkan berhutang sebagaimana dalam sebuah hadis bermaksud: "Daripada Abu Hurairah berkata seseorang: Ya Rasulullah, pekerjaan apakah yang paling baik? Baginda bersabda Memasukkan kepada saudara kamu kegembiraan atau melunaskan hutangnya atau memberi roti (makanan) kepadanya."

Jika perkara yang ingin dimiliki itu bukan perkara asasi atau penting dalam kehidupan seseorang itu, maka tidak perlulah dia berhutang. Ini kerana hanya akan menambahkan bebanan, lebih-lebih lagi jika membabitkan institusi kewangan dan perbankan yang mengamalkan sistem riba.

Kesan amalan berhutang.
l. Penyakit berhutang ini jika diamalkan akan menjadi satu budaya dalam kehidupan manusia yang boleh mendatangkan kesan negatif kepada pemiutang seperti muflis. Ini disebabkan bebanan hutang yang tinggi serta gagal melunaskan hutangnya.

2. Jiwa orang yang berhutang tidak akan tenteram dan aman, hidupnya dalam resah gelisah kerana dihantui bebanan dan tuntutan hutang yang tinggi.

3. Seseorang yang terbeban dengan hutang akan memungkinkan dia melakukan pelbagai perkara yang dilarang oleh syarak seperti mencuri dan menjual maruah diri semata-mata untuk melunaskan hutangnya.

4. Orang yang berhutang akan terikat hidupnya di dunia dan akan tergantung amalan dan rohnya selepas meninggal dunia hingga segala hutang piutangnya dilunaskan ketika hidup.

Sabda Rasulullah: "Jiwa orang mukmin akan tergantung dengan hutangnya (iaitu tidak dihukum selamat atau celaka) hingga dia menjelaskan hutangnya."

Rasulullah pernah berwasiat kepada sahabat Baginda agar mengurangkan hutang seperti sabdanya : "Kurangkanlah dirimu daripada melakukan dosa, maka akan mudahlah bagimu ketika hendak mati. Kurangkanlah daripada berhutang nescaya kamu akan hidup bebas."

Amalan berhutang bukan saja membabitkan kehidupan dunia semata- mata, bahkan berpanjangan hingga ke hari akhirat.

Sabda Rasulullah: "Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba itu berjumpa dengan Allah nanti selepas dosa besar lain yang ditegah ialah seseorang lelaki yang berjumpa dengan Allah pada hari hisab dengan mempunyai hutang yang belum dijelaskan lagi."

Sabda Rasulullah bermaksud: "Semua dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya." (Hadis riwayat Bukhari, Tarmizi, An- Nasai' dan Ibn. Majah)


Rasulullah sendiri tidak akan menyembahyangkan jenazah orang yang masih mempunyai hutang. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali bahawa apabila didatangkan kepada Rasulullah satu jenazah, Baginda tidak akan bertanya mengenai amalan si mati, tetapi bertanya apakah si mati mempunyai hutang atau tidak. Jika si mati mempunyai hutang, Rasulullah menyuruh sahabatnya menyembahyangkan jenazah itu atau Baginda meminta sesiapa yang sanggup menaggung hutang si mati. Jika tiada, maka hutang itu akan diserah atau ditanggung oleh pihak Baitulmal

Kejayaan sebagai Galakan..Kegagalan sebagai Cerminan


Manusia selalu sahaja kecewa. Bila kecewa kita akan tertekan, marah,celaru dan pelbagai lagi nilai-nilai yang buruk. Hari ini ramai yang menderita dan merasakan hidup tidak bahagia kerana banyak kekecewaan yang wujud di dalam hidup kita.Kenapa kita kecewa ?
Kita kecewa kerana kita hanya meletakkan harapan. Apabila harapan tidak dapat direalitikan maka kita akan kecewa.Mungkin anda kan menyoal, jika tidak diletakkan harapan,bagaimana mahu memotivasikan diri dan memajukan hidup?
Baik,meletakkan harapan tidak salah, malahan dialu-alukan. Cuma, satu aspekyang amat penting, kita sering terlupa untuk meletakkan perisai. Perisai ? Apabila kita meletakkan harapan, kita mesti memikirkan keberkecaian harapan itu dalam tahap yang paling teruk dan bersedia menerimanya. Selepas itu berusaha semampu mungkin, berdoa dan berserah pada Tuhan agar harapan itu mampu dicapai.
kejayaan sebagai galakan.
kegagalan sebagai cerminan.


" Jika kita betul2 percayakan yang Allah itu Maha Pemurah, kita tidak akan kecewa didlm kehidupan, dunia ini kaya dgn harta, wang, kegambiraan dan kasih sayang, cuma kita kena berusaha mencarinya, bermula lah dgn bersangka baik dgn Allah dan membetulkan niat yg solat, ibadah, hidup dan mati adalah untukNya seperti yg kita baca didlm doa iftitah.

Allah itu Maha kaya tetapi mengapa kebanyakan umat islam miskin? Jawapannya kerana dimulut aku mahu kaya tetapi dihati meragui, boleh ke aku jadi kaya? Jika minda sedar dan minda separuh sedar tidak sama, itu yg sebenarnya mensabotaj diri manusia itu sendiri."
 

Manusia lebih suka menuding jari kearah orang lain menafikan kelemahan sendiri, menuduh syaitan membisik sedangkan Allah memberikan akal, marahkan gaji tidak naik sedangkan diri sendiri berkerja dgn tidak ikhlas, marahkan peniaga menaikkan harga barang sedangkan diri sendiri malas nak berusaha/berikhtiar mencari pendapatan lebih. Jika kita menaruh harapan lebih kepada orang lain, akan selalu kecewa lah kita, harapan hanya padaNya.


Elemen percaya amat penting, sebab itu didlm Quran Allah menyeru "Wahai manusia yg beriman..." bukan wahai manusia yg berdoa, wahai manusia yg baca quran, wahai manusia yg sembahyang/puasa dll...

Apa itu iman? Percaya kepada sesuatu yg tidak boleh dibuktikan, kebanyakan manusia percaya Allah itu Esa tetapi tidak percaya Allah itu pemurah.

Mengubah minda separuh sedar.


Bagaimana kita boleh mengubah minda separuh sedar ini? Jawapannya

1. Sedar yg kita mempunyai dua minda, sedar dan separuh sedar, objektif dan subjectif.


2. Alihkan fokus anda pada apa yg anda ada dan bersyukur drpada pada sesuatu yg tidak ada dan mengeluh, contohnya ada mata untuk membaca artikel ini. Ubah fikiran dr memikirkan kesusahan hidup kepada nikmat2 Allah yg kita nikmati tetapi kita tidak nampak, terlalu melihat semut yg jauh tetapi gajah didepan mata tak perasan. Hati yg bersyukur akan lebih tenang, jiwa dan minda yg tenang akan memboleh kan sistem imunisasi badan berfungsi dgn lebih berkesan berbanding mereka yg selalu di dlm stress, bukankah disease tu "dis-ease" you are not at ease...


3. Berimiginasi kehidupan yg diingini, Einstein mengatakan yg imiginasi lebih berkuasa dr ilmu pengetahuan, bunyinya mengarut tetapi ada penerangan saintifiknya,.


4. Percaya bahawa Allah akan memberi apa yg kita ingini, jika kita selalu bersyukur, fokus pada yg positif, berimiginasi dan berkeyakinan dan percaya, tiada sebab Allah tidak memakbulkan, bukankah Dia Maha Pemurah. 


5. Jgn pernah berputus harapan, dan selalu nanti2kan kedatangan benda yg dihajati, 



expect the good things that we want.

6. Tambah ilmu, Iqra.. baca seperti ayat quran yg pertama.. bila kita selalu membaca ilmu2 baru minda akan lebih terbuka, ingin kaya baca tentang cara menjadi kaya, tidak akan kaya jika baca mengenai gossip artis, hadiri seminar mengenai pelaburan, tidak kaya jika hadiri AF secara live di gelanggang astro..

TV, surat khabar, majalah tabloid kebanyakannya memaparkan "sampah" kepada manusia supaya terus terlena dan kurang berfikir, jika anda ingin maju didlm hidup, kurangkan atau jgn tengok langsung TV.. saya dah 2 tahun tidak tgk tv dan saya dapat rasai perbezaannya..

Tetapi yg paling utama sekali solatlah, jika anda selalu solat, cubalah khusyuk dan fokus kerana solat itu selain dr mengucapkan syukur kepada Allah ia juga pengubat minda...

Sayang..Pertahankanlah Imanmu


kemanakah perginya bisa itu?


kamu seorang yang kuat, sayang.
jangan biar noda itu buat kamu hilang arah, hilang pedoman, hilang iman

kamu masih ada Dia untuk kembali
mungkin silap kita
mungkin dosa kita
mungkin sememangnya Dia mahu menguji kita
kerana kita mengaku kita beriman pada-Nya
pasti perlu ada buktinya

jangan biar yang kelam itu menenggelamkanmu, sayang

walau hari ada yang gelap
walau ada hari yang mendung
namun jangan biar ia selamanya luput sinarnya

kembalilah mencari cahaya
jangan biar imanmu goyah
walau dinoda serigala
walau apa jua yang melanda
pertahanankan imanmu
biar ia tetap kukuh

selagi Kau mengerti dan memahami
setiap yang berlaku hikmah dari-Nya
untuk buat kita lebih dekat pada-Nya

Friday 19 August 2011

Who We Are


Kata orang
jika kita PENGURUS
jalankan kerja dengan terurus
kerana tugas kita
bukan sekadar menunjuk itu dan ini
tugas kita berkata benar apa yang benar
berkata tidak apa yang mungkar
dengan suluhan iman dan fikir

kata orang
jika kita PEKERJA
laksanakan kerja dengan rela
kerana pada keringat yang tumpah
ada rezeki dan rahmat
ada pahala dan berkat
dan apabila pulang nanti
dengan jiwa yang tenang dan bahagia

kata orang
jika kita PELAJAR
amalkan apa yang diajar
pada guru diengkar jangan
nasihat guru jadikan pedoman
kerana daripadanya
terpancar cahaya al-kalam
yang gelap menjadi nyata
yang terang bersinar cahaya

kata orang
jika kita GURU
amalkan apa yang tahu
dengan jujur memikul amanah
tutur kata penuh hikmah
kerana tugas kita
bukan sekadar mengajar tutur bicara
bukan sekadar mengajar tulis baca
tugas kita
memanusiakan manusia
dengan setitis ilmu
melenturkan jiwa, melembutkan kalbu.

Tuesday 16 August 2011

~Ketenangan Hati~


Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang.

Ada orang berkata, "ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?"

Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan "membaca" kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli).

Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan. Katalah lidah kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli.

Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af'al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.

Dimensi Kata, Rasa Dan Tindakan
Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi "hadiah" kepadanya. Firman Allah:
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai..." (Surah At Tahrim: 8)

Firman Allah lagi:
"... Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri." (Surah Al-Baqarah: 222)
Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan – forgive yes, forget not! Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kita?

Ah, jauh panggang daripada api! Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini zikir qalbi namanya.

Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli!

Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara:
Rasa kehambaanRasa bertuhanMemahami maksud takdir.Mendapat hikmah di sebalik ujian.
Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti.

Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-haltersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

Monday 15 August 2011

Kasih Sayang vs Kemurkaan Allah




Murka Allah adalah suatu sifat Alah yang kita tidak akan dapat melarikan diri daripadanya kecuali bagi orang yang telah benar-benar dapat membersihkan hatinya. Di dalam Al Quran, murka atau marah Allah disebutkan sebagai  Zuntiqam yang bermaksud  Pembalas segala kejahatan dengan azab seksa.  Juga disebutkan sebagai Syadiidul ‘Iqab yang membawa maksud amat pedih seksaan-Nya.

Di dalam Al Quran telah berulang-ulang diingatkan akan sifat murka Allah SWT ini.  Antaranya: “Mahukah kamu Aku tunjukkan tentang orang-orang yang lebih buruk pembalasannya daripada (orang-orang fasiq) itu di sisi Allah, iaitu orang-orang yang dikutuki dan dimurkai Allah, di antara mereka ada yang dijadikan kera dan babi iaitu orang-orang yang menyembah berhala. Merekalah orang yang paling buruk kedudukannya, paling sesat dari jalan yang lurus.” – Al Maidah : 60
Sifat marah atau murka Allah tidak tergolong di dalam salah satu daripada Asmaul Husna-Nya seperti sifat-sifat Ar Rahman, As Syabur, Al Ghafur, Al Wali dll. Sifat-sifat Pengasih, Penyabar, Pemaaf, Pemelihara itu adalah sifat-sifat yang sentiasa, tetap dan kekal adanya pada Zat Allah sehingga dijadikanlah nama-nama indah bagi-Nya. Sedangkan sifat murka atau marah Allah bukan satu suatu sifat yang tetap bagi-Nya.
Tetapi lain pula keadaannya terhadap orang-orang kafir. Murka Allah kepada mereka akan kekal selama mana mereka mengekalkan dosa mensyirikkan Allah. Namun akan hilang juga murka Allah kepada mereka yang bertaubat dan kembali meng-Esakan Tuhan dengan menganut agama Islam.
Sepertilah seorang ibu yang begitu sayang kepada anaknya. Apa saja permintaan si anak, ibu akan berusaha memenuhi kehendaknya. Cuma kadangkala apabila anaknya berbuat kesalahan atau kejahatan, akan timbul rasa marah, kecil hati dan tidak suka pada tingkah laku anaknya. Tetapi apabila si anak meminta maaf serta mengubah kelakuannya pasti ibu akan segera memaafkan. Si ibu akan kembali melahirkan kasih dan sayang terhadap anaknya.
Kemarahan si ibu hanya sekali sekala iaitu apabila anaknya melakukan kesalahan. Kemarahan tersebut bukanlah suatu sifat yang tetap dan sentiasa ada tetapi datangnya sesekali.
Begitulah hakikatnya murka Allah sebenarnya adalah diselaputi Rahmat ( Kasih Sayang) Tuhan yang Maha Perkasa. Ada rahmat dan hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap bencana yang menimpa akibat kemurkaan Allah.
Murka Allah bukanlah sengaja di ada-adakan, tetapi ada sebab-sebabnya. Sekiranya kita tergolong di kalangan orang yang sentiasa mengingati Allah sewaktu ditimpa kesusahan, kegelisahan dan bala, pasti kita akan dapat rasakan belaian kasih sayang Allah yang tersembunyi di sebalik setiap kesusahan yang menimpa kita. Hanya orang-orang yang tidak pernah pedulikan Allah sahaja yang merasakan ujian dan bala yang menimpa itu adalah untuk menyusahkan dan menyiksa diri mereka.
Begitu baiknya Allah terhadap makhluk-Nya. Marah Allah adalah kerana sayang bukan kerana benci. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya Allah setelah menciptakan makhluk, Dia tulis suatu tulisan di samping-Nya di ‘ Arasy:  Kasih SayangKu mengatasi kemurkaanKu.”

Friday 12 August 2011

Masuk Syurga Neraka Kerana Lalat


Bagaimana seekor serangga yang berterbangan di tempat yang kotor, jijik dan busuk ini boleh menyebabkan seseorang itu dimasukkan ke syurga dan neraka?. Sila baca dan hayati hadis nabi saw ini yang bermaksud :

" Terdapat seorang masuk syurga kerana seekor lalat dan seorang yang masuk neraka kerana seekor lalat ". Para sahabat bertanya, "Bagaimana hal itu boleh terjadi, wahai Rasulullah?" Beliau menjawab, "Terdapat  dua orang berjalan melalui suatu kaum yang mempunyai berhala. Mereka tidak membenarkan seorang pun melewati berhala itu sebelum mempersembahkan kepadanya satu kurban.

 Maka berkatalah mereka (kaum itu) kepada salah seorang dari laki-laki tersebut, "Berkorbanlah!" Dia menjawab, "Aku tidak memiliki sesuatu pun untuk dikorbankan". Mereka berkata lagi kepadanya, "Berkorbanlah, walaupun hanya seekor lalat. Maka laki-laki itu berkorban dengan seekor lalat. Lalu mereka pun membenarkannya meneruskan perjalanan. Maka ia pun masuk neraka.


Kemudian kaum itu berkata lagi kepada seorang yang lain, "Berkorbanlah!!" Lalu laki-laki itu menjawab, "Aku sama sekali tidak pernah menjadikan kurbanku kepada seorang pun, selain Allah. Maka kaum itu memenggal lehernya dan masuklah ia ke dalam surga". [HR. Ahmad dalam Az-Zuhud (15), dan Abu Nu’aim dalam Al-Hilyah (1/203). Hadits ini di-shahih-kan oleh Abu Ya’la Muhammad Aiman As-Salafy dalam Bughyah Al-Mustafid (hal. 150)].

Keterangan :

Seseorang yang melakukan korban selain untuk Allah telah melakukan syirik yang menyebabkan dicampakkan ke dalam neraka . sabda Rasulullah saw:

Allah melaknat seseorang yang melakukan korban SelainNya. ( Imam Muslim)

Seorang yang menyembelih kepada selain Allah –Ta’ala- merupakan orang yang musyrik, telah mengangkat makhluk yang disembelihkan tersebut sebagai sembahan selain Allah.

Berkorban atau menyembelih merupakan ibadah yang hanya diarahkan kepada Allah, kerana Allah menciptakan kita untuk suatu tugas yang agung, iaitu hanya beribadah kepadaNya. Allah subhanahu wa ta’ala berfirman:

‘’Tidaklah aku menciptakan jin dan manusia kecuali agar mereka beribadah kepadaKu" (QS.Adz-Dzariyaat :56)

Sementara orang yang kedua tetap mempertahankan tauhidnya sehingga dia dibunuh. Maka dia telah meninggal dunia dengan mulia iaitu mempertahankan agamanya dan dimasukkan ke syurga. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

Sesiapa yang terbunuh kerana hartanya syahid, barangsiapa yang terbunuh kerana keluarganya syahid, barangsiapa yang terbunuh kerana agamanya syahid, barangsiapa yang terbunuh kerana darahnya syahid.( hadis sahih).
hadis ini menjelaskan tentang kepentingan menjaga akidah dan tauhid dan menghindari perbuatan yang boleh membawa kepada syirik kepada Allah. Semoga kita semua dapat mengambil iktibar daripada hadis ini.

Thursday 11 August 2011

Ahli Syurga Yang Terakhir


Kisah kali ini diambil dari hadis nabi saw riwayat Imam al-Bukhari sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda :

Setelah Allah selesai dari mengadili hambaNya, tinggal lagi seorang lelaki yang menghadapkan wajahnya ke Neraka. Dia adalah ahli Syurga yang terakhir memasukinya. Dia berkata: Wahai Tuhanku, palingkanlah wajahku dari Neraka kerana wapnya benar-benar menampar mukaku dan nyalaannya membakarku. Dia terus memohon daripada Allah sepuas-puasnya.

Kemudian Allah s.w.t berfirman: Adakah kamu akan terus meminta sekiranya Aku menunaikan permintaanmu itu? Lalu dia menjawab: Aku tidak akan meminta lagi dariMu perkara lain. Lalu Allah memperkenankan permohonannya itu dan memalingkan mukanya dari Neraka. Apabila dia berpaling mengadap Syurga dia terus terpegun, lalu dia memohon daripada Allah dengan berkata: Wahai Tuhanku, hampirkanlah aku kepada pintu Syurga. Maka Allah menjawab: Tidakkah engkau telah berjanji tidak akan meminta lagi perkara lain dariKu, celaka sungguh engkau wahai anak Adam. Dia pun menjawab: Tidak, demi keagunganMu, lalu dia berjanji lagi kepada Tuhannya. Lalu Allah mendekatkannya ke pintu Syurga.
Setelah dia berdiri di ambang pintu Syurga, terbukalah pintu Syurga dengan luas untuknya, sehingga dia dapat melihat dengan jelas segala keindahan dan kesenangan yang terdapat di dalamnya. Dia terus diam terpegun untuk seketika, kemudian dia berkata lagi: Wahai Tuhanku, masukkanlah aku ke dalam Syurga. Maka Allah s.w.t berfirman kepadanya: Bukankah engkau telah berjanji tidak akan meminta selain perkara yang telah Aku berikan? Celaka engkau wahai anak Adam. Lalu dia menjawab: Tidak, wahai Tuhanku, aku tidak mahu menjadi makhlukMu yang paling malang.

Dia terus berdoa kepada Tuhannya tanpa berputus asa sehinggalah Allah memperkenankan permintaannya lalu berfirman kepadanya: Masuklah ke dalam Syurga. Setelah dia memasuki Syurga, Allah berfirman kepadanya: Pohonlah lagi. Maka dia terus memohon kepada Tuhannya dan dia terus meminta sehinggalah Allah mengingatkannya dengan beberapa perkara. Setelah habis permintaannya, Allah s.w.t pun berfirman: Apa yang berlaku itu merupakan kemurahanku kepadamu dan umatmu, begitu juga kepada umat lain bersama Nabi mereka.
Hadis yang panjang ini memberi banyak pengajaran kepada kita :

1- mukjizah ilmiah rasulullah saw yang menceritakan peristiwa di akhirat padahal ia belum terlaku.

2- Setiap orang Islam yang tidak menyekutukan Allah akan memasuki syurga akhirnya walaupun dia seorang yang fasik dan melakukan dosa-dosa besar.

3- Rahmat Allah mengatasi kemurkaanNya. Allah Maha Pengasih dan Penyayang kepada setiap hambaNya di dunia dan diakhirat.

4- Jangan berputus asa berdoa dan memohon kepada Allah bila inginkan sesuatu walaupun perkara itu seolah-olah mustahil diperolehi.

5- Khazanah dan kekayaan Allah tidak pernah berkurang.

6- Azab neraka tidak dapat dibayangkan penderitaannya.

7- Nikmat syurga juga tidak dapat dibayangkan kenikmatannya.

8- Allah sangat suka bila hambaNya memohon kepadaNya.

9- Kemuncak kesenangan yang sebenar ialah bila kita dimasukkan ke dalam syurga.

10- Berdoalah kepada Allah agar kita terselamat dari azab neraka.

Semoga Allah merahmati kita semua dan menempatkan kita semua ke dalam syurgaNya di akhirat kelak.

Tuesday 9 August 2011

Terima Kasih Ya Allah

Kehidupan kita tidak pernah lari dari mendengar dari perkataan "kesulitan", "musibah", "dugaan", "kesedihan" dan sebagainya. Lalu ia diikuti dengan 2 jenis tindakan susulan dari seorang bernama insan - antara redha atau melawan takdir. Kemudian, ia ditambah dengan 2 jenis bentuk permohonan, - samada berdoa meminta ampun dan petunjuk dari Yang Maha Esa atau mencari isi-isi dunia untuk memohon menenangkan diri yang duka.

Diatas jalan mana kita akan berada nanti jika kita menempuh diari yang duka?
Dalam umur saya sekarang , mungkin sudah 1/3 kontrak kehidupan saya di alam dunia ini sudah saya lalui dan juga tidak lekang dari menerima episod-episod duka dan suka dalam mengemudi bahtera iman.

Kenapa saya menulis " terima kasih Ya Allah " pada artikel kali ini?

Sungguh, musibah yang datang memberi salam kepada kita itu ada keperitan di dalam hati. Ia meninggalkan bekas di dalam jiwa. Menyebabkan pengeluaran air mata kesedihan dari kolamnya kesepiannya. Membuka mulut kita untuk berkata-kata kepiluan. Mengoncang kekuatan di dalam diri.

Mencari keindahan di dalam senyuman seorang musafir di muka bumi.

Izinkan saya untuk menghuraikan satu benda sebagai kata-kata aluan. Memang benar, setiap kehidupan kita ini akan dikira sebagai jihad di jalan Allah jika ia menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan olehNya. Sebagai contoh yang paling dekat dengan saya ialah jihad untuk menuntut ilmu, jihad melawan nafsu dan lain-lain lagi. Dan jihad yang paling agung di masa kini boleh kita lihat menerusi pintu-pintu Palestin di bumi arab sana. Lihatlah keperitan mereka, penderitaan mereka, semangat mereka, kekuatan mereka, sifat mempertahankan agama Islam dari jiwa mereka.

Mana mungkin jika kita mengelarkan kita berjuang demi agama tanpa ada kesulitan di salah satu persimpangan.

Dalam edisi atau konteks student pula, kita mengatakan kita menuntut ilmu kerana Allah untuk memartabatkan Islam di muka bumi ini. Tetapi bila musibah itu ditiupkan kearah kita, kita meraung-raung untuk menidakkan keperitan itu. Membenci sesuatu ketetapan yang dilabelkan kesedihan. Renungkanlah.. Anda dan saya bergelar "pelajar", masing-masing telah, sedang dan bakal menerima satu ujian. Samada kita telah mengambil iktibar atau belum sahaja.

Dalam edisi atau konteks ibubapa pula, kita meletakkan setiap perkahwinan itu memberi kebahagian kepada setiap pasangan. Erti kebahagian itu mungkin disalah tafsir dari sebahagian dari jiwa-jiwa manusia. Ada pasangan yang kehidupan mereka miskin, tetapi kebahagian itu terletak di hati mereka. Mereka merasa aman dan tenang dalam menyusuri bahtera perkahwinan walaupun didalam kehidupan yang serba kekurangan.

Serta banyak lagi edisi-edisi kehidupan yang boleh saya huraikan, tapi izinkan saya untuk menyatakan sesuatu kepada diri saya dan anda sekalian sebagai peringatan diri.

  • Allah itu Maha Adil kepada setiap hamba-hambaNya. KeadilanNya jauh lebih baik dari keadilan seoarang pemimpin kepada rakyatnya.
  • Allah itu Maha Penyayang kepada setiap hamba-hambaNya. Kasih sayangNya lebih baik dari kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.
Berterima kasihlah kepada Allah pada setiap waktu, bukan hanya setakat mengingatinya di kala kesedihan dan melupakanNya di kala kegembiraan.

Betulkan konsep kehidupan kita dan luruskan akar tunjang kehidupan kita hanya kepadaNya.

Tidak salah untuk saya katakan disini, kita sebagai manusia yang lemah ini selalu "demand" lebih. Kalau boleh, segala muka surat diari yang berstatus kesedihan itu hilang dari tempatnya dan diganti 100% dengan kebahagian.

Mana lebih baik, 100% kebahagian atau terselit "sedikit sahaja" keperitan dalam hidupan?

Adakah anda menjamin, ketika anda dalam 100% kebahagian, anda pasti akan sentiasa mempunyai sifat syukur sentiasa dan semakin mendekatkan diri kepadaNya?

Ingatlah, tidak ada satu pun dalam dunia ini yang diciptakan oleh Allah tanpa faedah dan kebaikan untuk hamba-hambaNya. Usahlah kita bersangka buruk terhadap setiap kejadian yang menimpa kita atau orang lain. Yakinlah, setiap yang berlaku itu ada kebenaran untuk kita.

"Boleh jadi kita menyukai sesuatu, padahal ia tidak baik untuk kita" ( Q.S al-Baqarah:216)

"Apa sahaja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorang pun yang dapat menahannya, dan apa sahaja yang ditahan oleh Allah maka tidak ada seseorangpun yang sanggup untuk melepaskannya sesudah itu" ( Q.S Fathir: 2)

Terima kasih Ya Allah..
kerana dengan musibah itulah membuatkan diri kita semakin dekat kepadaNya,
lalu dapat mengukur tahap keimanan kita kepada Nya.


Percayalah, keindahan sesuatu kehidupan itu kerana kesedihan telah memberi warna-warna dalam pelangi hidup kita.

Satu cerita untuk kesimpulan artikel ini:

Bukalah pintu kehidupan yang telah kita lalui di hati kita, cuba semak,

  • Berapa kali kah kita menginkari perintahNya? 
  • Berapa banyakkah kita kufur nikmat kepadaNya?
  • Berapa kalikah kita melakukan maksiat dihadapanNya?
Persoalan untuk anda, pernahkah Dia menutup kasih sayangNya kepada anda? Fikirkan sebelum kita menyalah takdir dan melawanNya...Berterima kasihlah kepada Allah swt..

TIPS: Bila sifat sabar dan redha itu disemai dalam hati kita, ketenangan itu akan lahir dari setiap genap jiwa walaupun dihimpit keperitan.

Emotional Control During The Fight Against Defamation

Apakah perbezaan antara mengumpat dan fitnah?


Mengumpat itu adalah perbuatan mengeji atau mengutuk orang lain di luar pengetahuan orang tersebut. Fitnah pula adalah mengada-adakan sesuatu yang tidak ada atau mengaitkan diri seseorang dengan sesuatu yang tidak benar. Ia terhasil daripada persepsi atau gambaran dan bukannya berdasarkan realiti. Rasulullah s.a.w bersabda: Tahukah kamu apa itu memfitnah?

Para sahabat berkata: “Allah dan Rasulnya lebih mengetahui”. Baginda bersabda: Memfitnah adalah mengatakan sesuatu tentang saudara (Muslim) ketika dia tidak ada dan yang dia tidak suka. Ditanya: “Wahai Rasulullah jika kekurangan itu sungguh ada dalam diri seorang Muslim, maka apa yang harus aku dikatakan?” Baginda menjawab: Jika apa yang dikatakan itu benar, maka itu adalah mengumpat. (riwayat Muslim)

Fitnah ini bukan hanya berlaku sekarang. Saidatina Aishah juga pernah difitnah, begitu juga fitnah yang membawa kepada kematian khalifah Uthman Ibn Affan. Mengapa ia berlaku?

Dalam sejarah awal Islam, fitnah adalah berbentuk perbuatan mengadu domba atau melaga-lagakan orang. Sebabnya, orang Arab ketika itu masih kuat dipengaruhi semangat assabiyah atau kedaerahan. Apabila nabi wafat, maka berlaku cubaan merampas kuasa oleh orang Muhajirin di Saqifah Bani Saad. Bagaimanapun, cubaan itu berjaya dipatahkan oleh Saidina Abu Bakar dan Umar.Selain itu, orang Yahudi menabur fitnah untuk memecah-belahkan masyarakat.Malah, pada ketika itu juga ada golongan yang ekstrem sehingga mewujudkan syiah (penyokong kuat) pemimpin tertentu seperti syiah Abu Bakar dan syiah Ali.

Dalam al-Quran, Allah berfirman, …dan ingatlah (angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada membunuh…(al-Baqarah: 191). Mengapakah begitu besar ancaman fitnah ini kepada masyarakat?

Ayat di atas menjelaskan bahaya fitnah dalam masyarakat. Antara sebabnya adalah fitnah itu boleh dibaratkan sebagai pembunuh senyap yang boleh menjadikan sesiapa sahaja mangsanya. Mangsanya pula akan tertekan dan masyarakat jadi porak peranda. Berbanding dengan membunuh, ia hanya melibatkan nyawa. Sebab itu, dalam Islam hukum merampas barang orang dan mencuri berbeza. Mencuri hukumnya lebih berat kerana ia mengambil barang orang lain secara senyap dan menyebabkan masyarakat rasa tertekan dan tidak tenteram. Walhal, merampas barang orang walaupun berdosa tetapi hukumannya adalah dengan membayar ganti rugi.

Di akhirat, orang yang menabur fitnah akan diseksa kerana ia adalah dosa besar. Bagi Muslim, perbuatan tersebut akan menghilangkan ‘status’ sebagai Muslim. Allah turut menjelaskan betapa buruknya perbuatan mengumpat dan fitnah itu menerusi firman-Nya yang bermaksud: “…dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati?…” (al-Hujurat: 12) Sedangkan Islam menyuruh umatnya menutup keburukan yang dilakukan oleh saudara sesama Muslim. Bagi mereka yang menyembunyikan keburukan ini, maka Allah akan sembunyikan keburukan mereka di akhirat. Ini dijelaskan menerusi sabda Rasulullah s.a.w.

Dalam surah al-Hujurat ayat 6, kita diingatkan supaya berhati-hati apabila menerima berita daripada orang fasik. Persoalannya, bagaimana hendak mengetahui kefasikan seseorang itu?

Pengajaran yang lebih penting dalam ayat ini adalah membudayakan berhati-hati apabila menerima berita daripada orang kita ragui. Demikian juga apabila mendapat berita sama ada melalui khidmat pesanan suara (SMS), khabar angin, tuduhan melulu atau melalui Internet yang boleh dipertikaikan kejujurannya atau ada udang di sebalik batu, maka ini juga tergolong dalam kategori fasik.

Tentang maksud fasik ini, ulama berbeza pandangan. Ada yang berkata, fasik itu ialah orang yang pernah membuat dosa besar. Satu pihak lagi mengatakan fasik itu ialah orang yang pernah melakukan dosa besar atau yang sentiasa membuat dosa besar. Ada juga berita-berita kecil yang disensasikan oleh media. Dan ada juga berlaku di mana orang yang terlibat itu seronok sebab berita tentang dirinya dapat liputan meluas. Padahal natijahnya ia menimbulkan kekacauan dalam masyarakat.Apabila masyarakat, terutama anak muda terbiasa hidup dalam suasana fitnah menjadi perkara biasa, mereka akan hilang sensitiviti. Akhirnya masyarakat jadi kucar-kacir dan menghakis idealisme perpaduan dalam Islam.

Apakah sikap dan tindakan yang perlu dilakukan oleh mangsa fitnah itu tadi?

Di dunia, mangsa berhak pertahankan diri dan minta pihak yang memfitnah itu kemukakan bukti dan kenyataan bagi menyokong kebenaran dakwaan tersebut. Dari segi doktrinnya, mereka tetap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah.Dari segi agama, mangsa perlu bersabar dan tidak melakukan fitnah balas kepada orang yang memfitnah atau kepada pihak ketiga. Kadang-kadang, kejadian ini adalah cubaan Allah untuk menguji keimanan seseorang. Baginda s.a.w sendiri pernah difitnah. Namun, fitnah atau tohmahan itu akan melahirkan peribadi yang lebih utuh.

Namun, jika sudah tidak mampu ditanggung atau ditahan lagi, kita akan melenting dan boleh membawa kepada kehancuran. Apabila terkena fitnah atau musibah, ia bukanlah 100 peratus keburukan. Mungkin yang kena fitnah itu akan terima sokongan ramai yang bersimpati dengannya. Barangkali juga kesulitan dan ujian Allah ini baik untuk kita sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “…Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik untuk kamu dan dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu perkara padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah) Allah jualah yang yang mengetahui semuanya itu, sedang kamu tidak mengetahuinya.” (al-Baqarah: 216).

Mari kita hayati kata-kata Imam Ghazali, “kekuatan itu bukan terletak orang yang boleh bergusti atau menang tetapi orang yang kuat ialah yang boleh menahan diri daripada bertindak liar apabila mereka dalam keadaan marah”. Kebanyakan pemimpin dunia mempunyai sifat begini. Malah dalam Islam, kita juga perlu beriman dengan qada dan qadar. Ini membolehkan kita berasa tenang dan tidak resah gelisah walau apa pun yang berlaku kerana semuanya telah ditentukan Allah. Malah pergantungan terakhir adalah pada Allah Yang Esa. Bagi budaya peradaban yang lebih tinggi, adalah dicadangkan supaya mangsa fitnah itu bersyukur kerana mujur tidak difitnah lebih besar daripada yang sekarang.

Apa pula reaksi orang Islam apabila berhadapan dengan hal sebegini?

Setiap Muslim tidak boleh terima bulat-bulat tohmahan atau fitnah yang disampaikan kecuali setelah diperiksa kesahihannya. Sebab itu Islam sangat menentang sifat jahiliah iaitu sifat yang menggunakan persepsi semata-mata untuk menentukan kebenaran atau tidak. Sebaliknya, umat Islam perlu menggunakan keyakinan data ilmiah dalam menentukan benar atau salah sesuatu berita itu.

Bagi pengikut mana-mana individu, apabila berhadapan dengan fitnah hendaklah mereka bertenang dan tidak bertindak melampau. Sebagai manusia, kita bukan maksum (terpelihara daripada dosa). Malah, apabila berlaku kematian kita menyebut Inna Lillahi wa Inna Ilaihirajiiun (dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali). Apabila mendapat nikmat pula kita menyebut Alhamdulillah (segala puji bagi Allah). Mereka yang tunjukkan reaksi bukan menunjukkan sifat Muslim yang ideal. Bukanlah langsung kita tidak boleh bereaksi spontan seperti rasa marah. Yang dilarang ialah rasa marah yang berpanjangan. Sebabnya apabila emosi menguasai, kita tidak lagi menggunakan akal. Sedangkan yang sepatutnya akal menguasai emosi atau nafsu manusia. Yang perlu kita ingat adalah apabila Allah turunkan bala, ia akan mengenai semua orang sama ada yang melakukan maksiat atau orang yang beriman.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.” (al-Anfal: 25).

Sunday 7 August 2011

Berikan Aku Setitis Air CintaMu Ya Allah




Dalam kesibukan mengejar keduniaan dan keredhaan Ilahi, rasa terpanggil untuk turut sama melayarkan pena ini dan menulis di blog ana ini sesuatu yang mungkin memberikan sesuatu erti yang dapat dikongsi bersama. Sebenarnya tiada apa yang ingin dituliskan, namun disebalik ketiadaan itu seperti ada sesuatu  yang sepatutnya jari jemari ini sudah lama menuliskan sesuatu yang mungkin ada  manfaat  disebaliknya untuk semua sahabat-sahabat di luar sana.

Firman Allah SWT  ini kurenungi..dan kubaca berulang-ulang kali...

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdo'a): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."
(al-baqarah:286)


 Ya Allah, perjalanan kian jauh namun hakikatnya sudah hampir ke destinasi akhir usia, usiaku  hari demi hari kian berlalu pergi. Di manakah daku? Sesungguhnya daku yakini bahwa Allah tidak membebankan sesuatu kaum itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

Pertemuan dan perpisahan adalah suatu ilmu untuk kukutip. Dalam perjalanan mencariMu ya Allah, daku hampir tewas dan  aku kini merayu syahdu di pinggir doaku, agar ada waktu yang tersisa ini dapat kuatur untuk hampir padaMu. Daku akui kelemahan diri ini ya Allah, daku benar-benar lemah, tolonglah daku ya Allah! Di saat daku berdiri teguh di sisi sahabat dan keluarga, rupa-rupanya didepan-Mu, daku umpama mawar layu kekeringan.  Mawar yang kekeringan air cintaMu, berikan daku sedikit air cintaMu. Sesungguhnya daku dahaga di padang pasir duniawi. Ya Allah, kurniakan daku sahabat-sahabat dan pendamping hatiku insan-insan yang mendekatkan ku kepada-Mu.

            Perpisahan itu juga sebuah ilmu untukku. Sahabat, perpisahan adalah sebuah memori, walau entah dengan siapa kita pernah  memberi dan  menerima kenangan itu. Tapi yang pasti.... bagi siapa yang  pernah memberi dan menerima kenangan bersamaku, akan ku abadikan ia sebagai lakaran sebuah lukisan ujian dari Allah buat diriku. Sedikit pun tak pernah terlintas difikiranku akan melukiskan sebuah kenangan yang tragis, penuh emosi, penuh kekecewaan, pengorbanan yang tak berbalas, cinta yang tidak kesampaian, hidup yang tersia-sia,  kesetiaan yang tak dihargai.. di manakah daku ya Allah? Apabila ku kutip semula FirmanMu...  di dalam ayat-ayatMu memberikan daku jawapan atas semua itu, di sebalik semua itu air mataku menjadi kekeringan. Walau air mata ini hakikatnya sudah tiada lagi, yang ada hanya air mata di hati yang tak terlihatkan.  Doa kudus ku berikan dari jauh untuk semua insan di luar sana. Semoga rahmat Allah memayungi hati kita. Membuka hati-hati agar lebih kenal akan  cinta Allah dan dunia yang cuma sekadar alam fana ini

"Wahai diriku, bersabarlah..janganlah berputus asa dalam kehidupan ini. Allah itu dekat, terlalu dekat dari urat lehermu. Jika engkau tidak mendapat  apa yang engkau inginkan mungkin Allah akan menggantikan engkau sesuatu pengganti yang lebih baik." Allah tahu, tetapi engkau tidak tahu apa yang ada di depanmu. Kesatlah air matamu itu, gantikannya dengan senyuman  penawar hati di setiap musibah itu. selalulah menyebut Alhamdulillah....Wahai diriku, Allah sayang padamu, dia tahu apa saja keburukan dan kebaikan untukmu, jadi terimalah seadanya takdir PenciptaMu itu. Yakini dan berdoa agar diberikan terbaik dalam hidupmu dna itulah yang terbaik apabila terjadi sesuatu ketetapan.

Ya Allah, adakah daku ini terlalu jujur, terlalu baik, terlalu setia, terlalu memberi, terlalu menerima seadanya, terlalu sabar dengan apa pun yang manusia lemparkan padaku,  terlalu simpati dan terlalu mudah memaafkan...namun tiadakah sedikit kebahagiaan buatku. Kusedari diri ini penuh dosa, penuh kesalahan dan kekhilafan. setiap waktu ku ingin insafi diri...ku sedar ku tak layak utk syurgaMu, namun  kuharapkan mahgfirah dan kasihsayangMu selalu ada dihatiku. Ya Allah, Adakah kerana kebaikan itu daku tak mampu memiliki secebis kebahagiaan dalam hati ini. Ku Cuma inginkan sedikit dan setitis kebahagian itu akan terbit utkku satu hari nanti. Walau setitis cuma, aku amat menghargainya wahai Pencipta hati.   

"Wahai Pencipta hati, daku redho akan takdirMu.  Di sebalik ini semua daku bersyukur padaMu Ya Rabbi. Syukur ku panjat atas segalanya. Daku kini mengerti... sifat sebagai hambaMu, daku sekadar berusaha, sabar... dan jangan sekali berputus asa, segala natijah dan keputusan hanya Allah yang berhak memutuskan dan mengetahui yang terbaik untuk  diri setiap manusia. Jalan terakhir hanya berDOA. DIA Maha Tahu apa yang berlaku dihadapan sana. Cuma.. bagaimana kita ingin menghadapi dugaan hati  selepas sesuatu hajat kita tidak kesampaian. Ya Allah! Lemahnya diriku ini rupa-rupanya.

Ya Allah, hakikatnya cinta Mu adalah cinta segala-galanya.  Tetapi bisikan syaitan telah mengoda dan mengalihkan cinta ini agar jauh dariMu. Ya Allah, ku tak seteguh siti khadijah, tak sesuci cinta Rabiatul Adawiyah dan sekental iman siti Asiah. Namun ku ingin mati di saat cintaku satu hanya untukMu. Mati dalam perjuangan mendapatkan redhoMu. Terlalu sukarnya mengapai impian itu...

Buat insan yang pernah memberi dan menerima kenangan bersamaku atau bersama insan-insan lain, sesungguhnya  kenangan suka atau duka itu adalah sebuah ujian dari Allah utk hati kita.  Segala emosi yang lahir adalah merupakan  dugaan untuk hati. Kekdang saat kita teruji syaitan telah memainkan jarum memarakkan suasana, dan di saat itu kita terlupa. Astaghfirullahal'azim..sesungguhnya aku telah menzalimi diri sendiri. Wahai diriku, janganlah kecewa atau putus asa, orang beriman apabila terlupa ia akan segera kembali kepada Tuhan, itulah fitrah kejadian manusia....jadikanlah esok adalah hari yang terbaik untuk ku bina hati yang baru bersamaMu.

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh
jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui
sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah :216)
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku
bertawakkal." – (Surah At-Taubah :129)