"Cinta Hakiki Khaliq Terbit Dari Kalbu Nan Suci.Rintihan Hati Luahan Perasaan Yang Dituturkan DihadapanNya Menggamit Rasa Syahdu Memecah Kesunyian Malam Justeru Melahirkan Sentuhan Jiwa Dan Ketenangan Pada Hati ,Yang Merindui Penciptanya".

Tuesday, 15 May 2012

16 MEI ~KHAS BUAT INSAN MULIA "GURUKU"

Kata seorang sarjana Barat,

“Guru yang terbaik adalah seorang guru yang memotivasikan pelajarnya berbanding mendominasi mereka, dan menginspirasi mereka dengan harapan untuk mendidik dirinya juga” Edward Bulwer-Lytton


Dialah seorang insan mulia, yang ditakdirkan ALLAH SWT untuk mendidik sekalian makhluk manusia di muka bumi ini dalam kepelbagaian cabang keilmuan. Madah sang seni di pentas dunia mengungkapkan tidak mungkin seorang yang bergelar raja itu tidak berguru dengan seorang guru.

> Tidak mungkin pada akal seorang alim itu tidak berguru dengan seorang guru.

> Tidak mungkin seorang hakim itu tidak berguru dengan seorang guru.

> Tidak mungkin seorang pereka cipta itu tidak berguru dengan seorang guru.

> Tidak mungkin seorang pemimpin masyarakat tidak berguru dengan seorang guru.

Bahkan, itulah jasa seberat Gunung Uhud oleh seorang insan yang bergelar guru!!

Sebaik-baik raja, Sultan Muhammed Al-Fateh turut mengungkapkan bahawa gurunya adalah insan yang paling dia hormati. Kerana dia serba sedar bahawa dirinya adalah bukan sesiapa jika bukan kerana asuhan dan didikan penuh dedikasi dan kesabaran seorang insan yang berjawatan guru itu.

Mulianya darjat kalian sebagai pendidik bangsa dan agama. Guru bukan hanya sekadar mengajar mengenal ABC dan 123, tetapi dialah guru yang menjadi pendidik sejati dan pencorak tegar perjalanan yang bakal ditempuhi oleh setiap anak muridnya.

Kalian adalah ibu bapa kedua kami sepanjang badan yang dikandung nyawa ini terus bernafas dan menghela lelah. Kamus kehidupan mencatatkan kalian adalah insan yang tidak lekang memberi panduan dan nasihat buat pedoman menghadapi segala mehnah kehidupan dunia. Jikalau kalungan kemuliaan itu wujud, pasti akan ku kalungkan ia pada leher yang penat menjerih urat memarahi aku tatkala melihat diri aku terlajak batasan yang sepatutnya.

Ungkapan serba sentimental ini bukan untuk membalas jasa seorang guru yang pernah mendidik diri ini, kerana dunia pasti akan mentertawakan aku jika cuba membalas jasa seorang guru dengan cebisan coretan kecil sebegini. Akan tetapi ia tidak lain cuma penghargaan hati kecil diri ini yang pernah bergelar pelajar yang dididik oleh seorang insan bergelar guru.

Mulianya darjat kalian, dan peri pentingnya kalian yang bergelar seorang guru sehinggakan diungkapkan sebegini,

“If a doctor makes a mistake, it will kill a life…but if a teacher makes a mistake, it will kill a generation”

Beruntunglah kalian yang diberi jawatan oleh Pemilik syurga dan neraka sebagai seorang guru. Di pundakmu terletak sejuta harapan, sejuta bebanan, sejuta emosi, sejuta kasih sayang, sejuta kegirangan, sejuta penah lelah dan sejuta segala-galanya.

Namun, percaya dan yakinlah betapa jerih perih itu pasti dibayar tunainya kelak. Piara kemuliaan seisi langit dan bumi pasti melingkari kalian kelak. Percayalah.

Bingkisan ringkas ini didedikasikan buat seluruh insan yang bergelar pendidik dan guru yang telah bersusah payah mencorakkan anak bangsa Malaysia menjadi manusia yang berguna. Dari saya, Selamat Hari Guru buat seluruh insan yang pernah mengajarkan sebutir abjad buat insan di sisinya..