Zikrullah
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers
Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers
"Cinta Hakiki Khaliq Terbit Dari Kalbu Nan Suci.Rintihan Hati Luahan Perasaan Yang Dituturkan DihadapanNya Menggamit Rasa Syahdu Memecah Kesunyian Malam Justeru Melahirkan Sentuhan Jiwa Dan Ketenangan Pada Hati ,Yang Merindui Penciptanya".

Friday, 12 August 2011

Masuk Syurga Neraka Kerana Lalat


Bagaimana seekor serangga yang berterbangan di tempat yang kotor, jijik dan busuk ini boleh menyebabkan seseorang itu dimasukkan ke syurga dan neraka?. Sila baca dan hayati hadis nabi saw ini yang bermaksud :

" Terdapat seorang masuk syurga kerana seekor lalat dan seorang yang masuk neraka kerana seekor lalat ". Para sahabat bertanya, "Bagaimana hal itu boleh terjadi, wahai Rasulullah?" Beliau menjawab, "Terdapat  dua orang berjalan melalui suatu kaum yang mempunyai berhala. Mereka tidak membenarkan seorang pun melewati berhala itu sebelum mempersembahkan kepadanya satu kurban.

 Maka berkatalah mereka (kaum itu) kepada salah seorang dari laki-laki tersebut, "Berkorbanlah!" Dia menjawab, "Aku tidak memiliki sesuatu pun untuk dikorbankan". Mereka berkata lagi kepadanya, "Berkorbanlah, walaupun hanya seekor lalat. Maka laki-laki itu berkorban dengan seekor lalat. Lalu mereka pun membenarkannya meneruskan perjalanan. Maka ia pun masuk neraka.


Kemudian kaum itu berkata lagi kepada seorang yang lain, "Berkorbanlah!!" Lalu laki-laki itu menjawab, "Aku sama sekali tidak pernah menjadikan kurbanku kepada seorang pun, selain Allah. Maka kaum itu memenggal lehernya dan masuklah ia ke dalam surga". [HR. Ahmad dalam Az-Zuhud (15), dan Abu Nu’aim dalam Al-Hilyah (1/203). Hadits ini di-shahih-kan oleh Abu Ya’la Muhammad Aiman As-Salafy dalam Bughyah Al-Mustafid (hal. 150)].

Keterangan :

Seseorang yang melakukan korban selain untuk Allah telah melakukan syirik yang menyebabkan dicampakkan ke dalam neraka . sabda Rasulullah saw:

Allah melaknat seseorang yang melakukan korban SelainNya. ( Imam Muslim)

Seorang yang menyembelih kepada selain Allah –Ta’ala- merupakan orang yang musyrik, telah mengangkat makhluk yang disembelihkan tersebut sebagai sembahan selain Allah.

Berkorban atau menyembelih merupakan ibadah yang hanya diarahkan kepada Allah, kerana Allah menciptakan kita untuk suatu tugas yang agung, iaitu hanya beribadah kepadaNya. Allah subhanahu wa ta’ala berfirman:

‘’Tidaklah aku menciptakan jin dan manusia kecuali agar mereka beribadah kepadaKu" (QS.Adz-Dzariyaat :56)

Sementara orang yang kedua tetap mempertahankan tauhidnya sehingga dia dibunuh. Maka dia telah meninggal dunia dengan mulia iaitu mempertahankan agamanya dan dimasukkan ke syurga. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

Sesiapa yang terbunuh kerana hartanya syahid, barangsiapa yang terbunuh kerana keluarganya syahid, barangsiapa yang terbunuh kerana agamanya syahid, barangsiapa yang terbunuh kerana darahnya syahid.( hadis sahih).
hadis ini menjelaskan tentang kepentingan menjaga akidah dan tauhid dan menghindari perbuatan yang boleh membawa kepada syirik kepada Allah. Semoga kita semua dapat mengambil iktibar daripada hadis ini.

Thursday, 11 August 2011

Ahli Syurga Yang Terakhir


Kisah kali ini diambil dari hadis nabi saw riwayat Imam al-Bukhari sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda :

Setelah Allah selesai dari mengadili hambaNya, tinggal lagi seorang lelaki yang menghadapkan wajahnya ke Neraka. Dia adalah ahli Syurga yang terakhir memasukinya. Dia berkata: Wahai Tuhanku, palingkanlah wajahku dari Neraka kerana wapnya benar-benar menampar mukaku dan nyalaannya membakarku. Dia terus memohon daripada Allah sepuas-puasnya.

Kemudian Allah s.w.t berfirman: Adakah kamu akan terus meminta sekiranya Aku menunaikan permintaanmu itu? Lalu dia menjawab: Aku tidak akan meminta lagi dariMu perkara lain. Lalu Allah memperkenankan permohonannya itu dan memalingkan mukanya dari Neraka. Apabila dia berpaling mengadap Syurga dia terus terpegun, lalu dia memohon daripada Allah dengan berkata: Wahai Tuhanku, hampirkanlah aku kepada pintu Syurga. Maka Allah menjawab: Tidakkah engkau telah berjanji tidak akan meminta lagi perkara lain dariKu, celaka sungguh engkau wahai anak Adam. Dia pun menjawab: Tidak, demi keagunganMu, lalu dia berjanji lagi kepada Tuhannya. Lalu Allah mendekatkannya ke pintu Syurga.
Setelah dia berdiri di ambang pintu Syurga, terbukalah pintu Syurga dengan luas untuknya, sehingga dia dapat melihat dengan jelas segala keindahan dan kesenangan yang terdapat di dalamnya. Dia terus diam terpegun untuk seketika, kemudian dia berkata lagi: Wahai Tuhanku, masukkanlah aku ke dalam Syurga. Maka Allah s.w.t berfirman kepadanya: Bukankah engkau telah berjanji tidak akan meminta selain perkara yang telah Aku berikan? Celaka engkau wahai anak Adam. Lalu dia menjawab: Tidak, wahai Tuhanku, aku tidak mahu menjadi makhlukMu yang paling malang.

Dia terus berdoa kepada Tuhannya tanpa berputus asa sehinggalah Allah memperkenankan permintaannya lalu berfirman kepadanya: Masuklah ke dalam Syurga. Setelah dia memasuki Syurga, Allah berfirman kepadanya: Pohonlah lagi. Maka dia terus memohon kepada Tuhannya dan dia terus meminta sehinggalah Allah mengingatkannya dengan beberapa perkara. Setelah habis permintaannya, Allah s.w.t pun berfirman: Apa yang berlaku itu merupakan kemurahanku kepadamu dan umatmu, begitu juga kepada umat lain bersama Nabi mereka.
Hadis yang panjang ini memberi banyak pengajaran kepada kita :

1- mukjizah ilmiah rasulullah saw yang menceritakan peristiwa di akhirat padahal ia belum terlaku.

2- Setiap orang Islam yang tidak menyekutukan Allah akan memasuki syurga akhirnya walaupun dia seorang yang fasik dan melakukan dosa-dosa besar.

3- Rahmat Allah mengatasi kemurkaanNya. Allah Maha Pengasih dan Penyayang kepada setiap hambaNya di dunia dan diakhirat.

4- Jangan berputus asa berdoa dan memohon kepada Allah bila inginkan sesuatu walaupun perkara itu seolah-olah mustahil diperolehi.

5- Khazanah dan kekayaan Allah tidak pernah berkurang.

6- Azab neraka tidak dapat dibayangkan penderitaannya.

7- Nikmat syurga juga tidak dapat dibayangkan kenikmatannya.

8- Allah sangat suka bila hambaNya memohon kepadaNya.

9- Kemuncak kesenangan yang sebenar ialah bila kita dimasukkan ke dalam syurga.

10- Berdoalah kepada Allah agar kita terselamat dari azab neraka.

Semoga Allah merahmati kita semua dan menempatkan kita semua ke dalam syurgaNya di akhirat kelak.

Tuesday, 9 August 2011

Terima Kasih Ya Allah

Kehidupan kita tidak pernah lari dari mendengar dari perkataan "kesulitan", "musibah", "dugaan", "kesedihan" dan sebagainya. Lalu ia diikuti dengan 2 jenis tindakan susulan dari seorang bernama insan - antara redha atau melawan takdir. Kemudian, ia ditambah dengan 2 jenis bentuk permohonan, - samada berdoa meminta ampun dan petunjuk dari Yang Maha Esa atau mencari isi-isi dunia untuk memohon menenangkan diri yang duka.

Diatas jalan mana kita akan berada nanti jika kita menempuh diari yang duka?
Dalam umur saya sekarang , mungkin sudah 1/3 kontrak kehidupan saya di alam dunia ini sudah saya lalui dan juga tidak lekang dari menerima episod-episod duka dan suka dalam mengemudi bahtera iman.

Kenapa saya menulis " terima kasih Ya Allah " pada artikel kali ini?

Sungguh, musibah yang datang memberi salam kepada kita itu ada keperitan di dalam hati. Ia meninggalkan bekas di dalam jiwa. Menyebabkan pengeluaran air mata kesedihan dari kolamnya kesepiannya. Membuka mulut kita untuk berkata-kata kepiluan. Mengoncang kekuatan di dalam diri.

Mencari keindahan di dalam senyuman seorang musafir di muka bumi.

Izinkan saya untuk menghuraikan satu benda sebagai kata-kata aluan. Memang benar, setiap kehidupan kita ini akan dikira sebagai jihad di jalan Allah jika ia menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan olehNya. Sebagai contoh yang paling dekat dengan saya ialah jihad untuk menuntut ilmu, jihad melawan nafsu dan lain-lain lagi. Dan jihad yang paling agung di masa kini boleh kita lihat menerusi pintu-pintu Palestin di bumi arab sana. Lihatlah keperitan mereka, penderitaan mereka, semangat mereka, kekuatan mereka, sifat mempertahankan agama Islam dari jiwa mereka.

Mana mungkin jika kita mengelarkan kita berjuang demi agama tanpa ada kesulitan di salah satu persimpangan.

Dalam edisi atau konteks student pula, kita mengatakan kita menuntut ilmu kerana Allah untuk memartabatkan Islam di muka bumi ini. Tetapi bila musibah itu ditiupkan kearah kita, kita meraung-raung untuk menidakkan keperitan itu. Membenci sesuatu ketetapan yang dilabelkan kesedihan. Renungkanlah.. Anda dan saya bergelar "pelajar", masing-masing telah, sedang dan bakal menerima satu ujian. Samada kita telah mengambil iktibar atau belum sahaja.

Dalam edisi atau konteks ibubapa pula, kita meletakkan setiap perkahwinan itu memberi kebahagian kepada setiap pasangan. Erti kebahagian itu mungkin disalah tafsir dari sebahagian dari jiwa-jiwa manusia. Ada pasangan yang kehidupan mereka miskin, tetapi kebahagian itu terletak di hati mereka. Mereka merasa aman dan tenang dalam menyusuri bahtera perkahwinan walaupun didalam kehidupan yang serba kekurangan.

Serta banyak lagi edisi-edisi kehidupan yang boleh saya huraikan, tapi izinkan saya untuk menyatakan sesuatu kepada diri saya dan anda sekalian sebagai peringatan diri.

  • Allah itu Maha Adil kepada setiap hamba-hambaNya. KeadilanNya jauh lebih baik dari keadilan seoarang pemimpin kepada rakyatnya.
  • Allah itu Maha Penyayang kepada setiap hamba-hambaNya. Kasih sayangNya lebih baik dari kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.
Berterima kasihlah kepada Allah pada setiap waktu, bukan hanya setakat mengingatinya di kala kesedihan dan melupakanNya di kala kegembiraan.

Betulkan konsep kehidupan kita dan luruskan akar tunjang kehidupan kita hanya kepadaNya.

Tidak salah untuk saya katakan disini, kita sebagai manusia yang lemah ini selalu "demand" lebih. Kalau boleh, segala muka surat diari yang berstatus kesedihan itu hilang dari tempatnya dan diganti 100% dengan kebahagian.

Mana lebih baik, 100% kebahagian atau terselit "sedikit sahaja" keperitan dalam hidupan?

Adakah anda menjamin, ketika anda dalam 100% kebahagian, anda pasti akan sentiasa mempunyai sifat syukur sentiasa dan semakin mendekatkan diri kepadaNya?

Ingatlah, tidak ada satu pun dalam dunia ini yang diciptakan oleh Allah tanpa faedah dan kebaikan untuk hamba-hambaNya. Usahlah kita bersangka buruk terhadap setiap kejadian yang menimpa kita atau orang lain. Yakinlah, setiap yang berlaku itu ada kebenaran untuk kita.

"Boleh jadi kita menyukai sesuatu, padahal ia tidak baik untuk kita" ( Q.S al-Baqarah:216)

"Apa sahaja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorang pun yang dapat menahannya, dan apa sahaja yang ditahan oleh Allah maka tidak ada seseorangpun yang sanggup untuk melepaskannya sesudah itu" ( Q.S Fathir: 2)

Terima kasih Ya Allah..
kerana dengan musibah itulah membuatkan diri kita semakin dekat kepadaNya,
lalu dapat mengukur tahap keimanan kita kepada Nya.


Percayalah, keindahan sesuatu kehidupan itu kerana kesedihan telah memberi warna-warna dalam pelangi hidup kita.

Satu cerita untuk kesimpulan artikel ini:

Bukalah pintu kehidupan yang telah kita lalui di hati kita, cuba semak,

  • Berapa kali kah kita menginkari perintahNya? 
  • Berapa banyakkah kita kufur nikmat kepadaNya?
  • Berapa kalikah kita melakukan maksiat dihadapanNya?
Persoalan untuk anda, pernahkah Dia menutup kasih sayangNya kepada anda? Fikirkan sebelum kita menyalah takdir dan melawanNya...Berterima kasihlah kepada Allah swt..

TIPS: Bila sifat sabar dan redha itu disemai dalam hati kita, ketenangan itu akan lahir dari setiap genap jiwa walaupun dihimpit keperitan.

Emotional Control During The Fight Against Defamation

Apakah perbezaan antara mengumpat dan fitnah?


Mengumpat itu adalah perbuatan mengeji atau mengutuk orang lain di luar pengetahuan orang tersebut. Fitnah pula adalah mengada-adakan sesuatu yang tidak ada atau mengaitkan diri seseorang dengan sesuatu yang tidak benar. Ia terhasil daripada persepsi atau gambaran dan bukannya berdasarkan realiti. Rasulullah s.a.w bersabda: Tahukah kamu apa itu memfitnah?

Para sahabat berkata: “Allah dan Rasulnya lebih mengetahui”. Baginda bersabda: Memfitnah adalah mengatakan sesuatu tentang saudara (Muslim) ketika dia tidak ada dan yang dia tidak suka. Ditanya: “Wahai Rasulullah jika kekurangan itu sungguh ada dalam diri seorang Muslim, maka apa yang harus aku dikatakan?” Baginda menjawab: Jika apa yang dikatakan itu benar, maka itu adalah mengumpat. (riwayat Muslim)

Fitnah ini bukan hanya berlaku sekarang. Saidatina Aishah juga pernah difitnah, begitu juga fitnah yang membawa kepada kematian khalifah Uthman Ibn Affan. Mengapa ia berlaku?

Dalam sejarah awal Islam, fitnah adalah berbentuk perbuatan mengadu domba atau melaga-lagakan orang. Sebabnya, orang Arab ketika itu masih kuat dipengaruhi semangat assabiyah atau kedaerahan. Apabila nabi wafat, maka berlaku cubaan merampas kuasa oleh orang Muhajirin di Saqifah Bani Saad. Bagaimanapun, cubaan itu berjaya dipatahkan oleh Saidina Abu Bakar dan Umar.Selain itu, orang Yahudi menabur fitnah untuk memecah-belahkan masyarakat.Malah, pada ketika itu juga ada golongan yang ekstrem sehingga mewujudkan syiah (penyokong kuat) pemimpin tertentu seperti syiah Abu Bakar dan syiah Ali.

Dalam al-Quran, Allah berfirman, …dan ingatlah (angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada membunuh…(al-Baqarah: 191). Mengapakah begitu besar ancaman fitnah ini kepada masyarakat?

Ayat di atas menjelaskan bahaya fitnah dalam masyarakat. Antara sebabnya adalah fitnah itu boleh dibaratkan sebagai pembunuh senyap yang boleh menjadikan sesiapa sahaja mangsanya. Mangsanya pula akan tertekan dan masyarakat jadi porak peranda. Berbanding dengan membunuh, ia hanya melibatkan nyawa. Sebab itu, dalam Islam hukum merampas barang orang dan mencuri berbeza. Mencuri hukumnya lebih berat kerana ia mengambil barang orang lain secara senyap dan menyebabkan masyarakat rasa tertekan dan tidak tenteram. Walhal, merampas barang orang walaupun berdosa tetapi hukumannya adalah dengan membayar ganti rugi.

Di akhirat, orang yang menabur fitnah akan diseksa kerana ia adalah dosa besar. Bagi Muslim, perbuatan tersebut akan menghilangkan ‘status’ sebagai Muslim. Allah turut menjelaskan betapa buruknya perbuatan mengumpat dan fitnah itu menerusi firman-Nya yang bermaksud: “…dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati?…” (al-Hujurat: 12) Sedangkan Islam menyuruh umatnya menutup keburukan yang dilakukan oleh saudara sesama Muslim. Bagi mereka yang menyembunyikan keburukan ini, maka Allah akan sembunyikan keburukan mereka di akhirat. Ini dijelaskan menerusi sabda Rasulullah s.a.w.

Dalam surah al-Hujurat ayat 6, kita diingatkan supaya berhati-hati apabila menerima berita daripada orang fasik. Persoalannya, bagaimana hendak mengetahui kefasikan seseorang itu?

Pengajaran yang lebih penting dalam ayat ini adalah membudayakan berhati-hati apabila menerima berita daripada orang kita ragui. Demikian juga apabila mendapat berita sama ada melalui khidmat pesanan suara (SMS), khabar angin, tuduhan melulu atau melalui Internet yang boleh dipertikaikan kejujurannya atau ada udang di sebalik batu, maka ini juga tergolong dalam kategori fasik.

Tentang maksud fasik ini, ulama berbeza pandangan. Ada yang berkata, fasik itu ialah orang yang pernah membuat dosa besar. Satu pihak lagi mengatakan fasik itu ialah orang yang pernah melakukan dosa besar atau yang sentiasa membuat dosa besar. Ada juga berita-berita kecil yang disensasikan oleh media. Dan ada juga berlaku di mana orang yang terlibat itu seronok sebab berita tentang dirinya dapat liputan meluas. Padahal natijahnya ia menimbulkan kekacauan dalam masyarakat.Apabila masyarakat, terutama anak muda terbiasa hidup dalam suasana fitnah menjadi perkara biasa, mereka akan hilang sensitiviti. Akhirnya masyarakat jadi kucar-kacir dan menghakis idealisme perpaduan dalam Islam.

Apakah sikap dan tindakan yang perlu dilakukan oleh mangsa fitnah itu tadi?

Di dunia, mangsa berhak pertahankan diri dan minta pihak yang memfitnah itu kemukakan bukti dan kenyataan bagi menyokong kebenaran dakwaan tersebut. Dari segi doktrinnya, mereka tetap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah.Dari segi agama, mangsa perlu bersabar dan tidak melakukan fitnah balas kepada orang yang memfitnah atau kepada pihak ketiga. Kadang-kadang, kejadian ini adalah cubaan Allah untuk menguji keimanan seseorang. Baginda s.a.w sendiri pernah difitnah. Namun, fitnah atau tohmahan itu akan melahirkan peribadi yang lebih utuh.

Namun, jika sudah tidak mampu ditanggung atau ditahan lagi, kita akan melenting dan boleh membawa kepada kehancuran. Apabila terkena fitnah atau musibah, ia bukanlah 100 peratus keburukan. Mungkin yang kena fitnah itu akan terima sokongan ramai yang bersimpati dengannya. Barangkali juga kesulitan dan ujian Allah ini baik untuk kita sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “…Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik untuk kamu dan dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu perkara padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah) Allah jualah yang yang mengetahui semuanya itu, sedang kamu tidak mengetahuinya.” (al-Baqarah: 216).

Mari kita hayati kata-kata Imam Ghazali, “kekuatan itu bukan terletak orang yang boleh bergusti atau menang tetapi orang yang kuat ialah yang boleh menahan diri daripada bertindak liar apabila mereka dalam keadaan marah”. Kebanyakan pemimpin dunia mempunyai sifat begini. Malah dalam Islam, kita juga perlu beriman dengan qada dan qadar. Ini membolehkan kita berasa tenang dan tidak resah gelisah walau apa pun yang berlaku kerana semuanya telah ditentukan Allah. Malah pergantungan terakhir adalah pada Allah Yang Esa. Bagi budaya peradaban yang lebih tinggi, adalah dicadangkan supaya mangsa fitnah itu bersyukur kerana mujur tidak difitnah lebih besar daripada yang sekarang.

Apa pula reaksi orang Islam apabila berhadapan dengan hal sebegini?

Setiap Muslim tidak boleh terima bulat-bulat tohmahan atau fitnah yang disampaikan kecuali setelah diperiksa kesahihannya. Sebab itu Islam sangat menentang sifat jahiliah iaitu sifat yang menggunakan persepsi semata-mata untuk menentukan kebenaran atau tidak. Sebaliknya, umat Islam perlu menggunakan keyakinan data ilmiah dalam menentukan benar atau salah sesuatu berita itu.

Bagi pengikut mana-mana individu, apabila berhadapan dengan fitnah hendaklah mereka bertenang dan tidak bertindak melampau. Sebagai manusia, kita bukan maksum (terpelihara daripada dosa). Malah, apabila berlaku kematian kita menyebut Inna Lillahi wa Inna Ilaihirajiiun (dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali). Apabila mendapat nikmat pula kita menyebut Alhamdulillah (segala puji bagi Allah). Mereka yang tunjukkan reaksi bukan menunjukkan sifat Muslim yang ideal. Bukanlah langsung kita tidak boleh bereaksi spontan seperti rasa marah. Yang dilarang ialah rasa marah yang berpanjangan. Sebabnya apabila emosi menguasai, kita tidak lagi menggunakan akal. Sedangkan yang sepatutnya akal menguasai emosi atau nafsu manusia. Yang perlu kita ingat adalah apabila Allah turunkan bala, ia akan mengenai semua orang sama ada yang melakukan maksiat atau orang yang beriman.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.” (al-Anfal: 25).

Sunday, 7 August 2011

Berikan Aku Setitis Air CintaMu Ya Allah




Dalam kesibukan mengejar keduniaan dan keredhaan Ilahi, rasa terpanggil untuk turut sama melayarkan pena ini dan menulis di blog ana ini sesuatu yang mungkin memberikan sesuatu erti yang dapat dikongsi bersama. Sebenarnya tiada apa yang ingin dituliskan, namun disebalik ketiadaan itu seperti ada sesuatu  yang sepatutnya jari jemari ini sudah lama menuliskan sesuatu yang mungkin ada  manfaat  disebaliknya untuk semua sahabat-sahabat di luar sana.

Firman Allah SWT  ini kurenungi..dan kubaca berulang-ulang kali...

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdo'a): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."
(al-baqarah:286)


 Ya Allah, perjalanan kian jauh namun hakikatnya sudah hampir ke destinasi akhir usia, usiaku  hari demi hari kian berlalu pergi. Di manakah daku? Sesungguhnya daku yakini bahwa Allah tidak membebankan sesuatu kaum itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

Pertemuan dan perpisahan adalah suatu ilmu untuk kukutip. Dalam perjalanan mencariMu ya Allah, daku hampir tewas dan  aku kini merayu syahdu di pinggir doaku, agar ada waktu yang tersisa ini dapat kuatur untuk hampir padaMu. Daku akui kelemahan diri ini ya Allah, daku benar-benar lemah, tolonglah daku ya Allah! Di saat daku berdiri teguh di sisi sahabat dan keluarga, rupa-rupanya didepan-Mu, daku umpama mawar layu kekeringan.  Mawar yang kekeringan air cintaMu, berikan daku sedikit air cintaMu. Sesungguhnya daku dahaga di padang pasir duniawi. Ya Allah, kurniakan daku sahabat-sahabat dan pendamping hatiku insan-insan yang mendekatkan ku kepada-Mu.

            Perpisahan itu juga sebuah ilmu untukku. Sahabat, perpisahan adalah sebuah memori, walau entah dengan siapa kita pernah  memberi dan  menerima kenangan itu. Tapi yang pasti.... bagi siapa yang  pernah memberi dan menerima kenangan bersamaku, akan ku abadikan ia sebagai lakaran sebuah lukisan ujian dari Allah buat diriku. Sedikit pun tak pernah terlintas difikiranku akan melukiskan sebuah kenangan yang tragis, penuh emosi, penuh kekecewaan, pengorbanan yang tak berbalas, cinta yang tidak kesampaian, hidup yang tersia-sia,  kesetiaan yang tak dihargai.. di manakah daku ya Allah? Apabila ku kutip semula FirmanMu...  di dalam ayat-ayatMu memberikan daku jawapan atas semua itu, di sebalik semua itu air mataku menjadi kekeringan. Walau air mata ini hakikatnya sudah tiada lagi, yang ada hanya air mata di hati yang tak terlihatkan.  Doa kudus ku berikan dari jauh untuk semua insan di luar sana. Semoga rahmat Allah memayungi hati kita. Membuka hati-hati agar lebih kenal akan  cinta Allah dan dunia yang cuma sekadar alam fana ini

"Wahai diriku, bersabarlah..janganlah berputus asa dalam kehidupan ini. Allah itu dekat, terlalu dekat dari urat lehermu. Jika engkau tidak mendapat  apa yang engkau inginkan mungkin Allah akan menggantikan engkau sesuatu pengganti yang lebih baik." Allah tahu, tetapi engkau tidak tahu apa yang ada di depanmu. Kesatlah air matamu itu, gantikannya dengan senyuman  penawar hati di setiap musibah itu. selalulah menyebut Alhamdulillah....Wahai diriku, Allah sayang padamu, dia tahu apa saja keburukan dan kebaikan untukmu, jadi terimalah seadanya takdir PenciptaMu itu. Yakini dan berdoa agar diberikan terbaik dalam hidupmu dna itulah yang terbaik apabila terjadi sesuatu ketetapan.

Ya Allah, adakah daku ini terlalu jujur, terlalu baik, terlalu setia, terlalu memberi, terlalu menerima seadanya, terlalu sabar dengan apa pun yang manusia lemparkan padaku,  terlalu simpati dan terlalu mudah memaafkan...namun tiadakah sedikit kebahagiaan buatku. Kusedari diri ini penuh dosa, penuh kesalahan dan kekhilafan. setiap waktu ku ingin insafi diri...ku sedar ku tak layak utk syurgaMu, namun  kuharapkan mahgfirah dan kasihsayangMu selalu ada dihatiku. Ya Allah, Adakah kerana kebaikan itu daku tak mampu memiliki secebis kebahagiaan dalam hati ini. Ku Cuma inginkan sedikit dan setitis kebahagian itu akan terbit utkku satu hari nanti. Walau setitis cuma, aku amat menghargainya wahai Pencipta hati.   

"Wahai Pencipta hati, daku redho akan takdirMu.  Di sebalik ini semua daku bersyukur padaMu Ya Rabbi. Syukur ku panjat atas segalanya. Daku kini mengerti... sifat sebagai hambaMu, daku sekadar berusaha, sabar... dan jangan sekali berputus asa, segala natijah dan keputusan hanya Allah yang berhak memutuskan dan mengetahui yang terbaik untuk  diri setiap manusia. Jalan terakhir hanya berDOA. DIA Maha Tahu apa yang berlaku dihadapan sana. Cuma.. bagaimana kita ingin menghadapi dugaan hati  selepas sesuatu hajat kita tidak kesampaian. Ya Allah! Lemahnya diriku ini rupa-rupanya.

Ya Allah, hakikatnya cinta Mu adalah cinta segala-galanya.  Tetapi bisikan syaitan telah mengoda dan mengalihkan cinta ini agar jauh dariMu. Ya Allah, ku tak seteguh siti khadijah, tak sesuci cinta Rabiatul Adawiyah dan sekental iman siti Asiah. Namun ku ingin mati di saat cintaku satu hanya untukMu. Mati dalam perjuangan mendapatkan redhoMu. Terlalu sukarnya mengapai impian itu...

Buat insan yang pernah memberi dan menerima kenangan bersamaku atau bersama insan-insan lain, sesungguhnya  kenangan suka atau duka itu adalah sebuah ujian dari Allah utk hati kita.  Segala emosi yang lahir adalah merupakan  dugaan untuk hati. Kekdang saat kita teruji syaitan telah memainkan jarum memarakkan suasana, dan di saat itu kita terlupa. Astaghfirullahal'azim..sesungguhnya aku telah menzalimi diri sendiri. Wahai diriku, janganlah kecewa atau putus asa, orang beriman apabila terlupa ia akan segera kembali kepada Tuhan, itulah fitrah kejadian manusia....jadikanlah esok adalah hari yang terbaik untuk ku bina hati yang baru bersamaMu.

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh
jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui
sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah :216)
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku
bertawakkal." – (Surah At-Taubah :129)

Hamba Terpilih

Aduhai hati yang selalu gundah gulana.. Mengapa perlu difikirkan kehidupan duniawimu. Sedangkan dunia itu sering menipumu. Bukankah kehidupan ini penuh dengan majazi? Tipu daya di sana sini? Maka, hendaklah engkau susun langkahmu penuh hati-hati, Ingatlah, syaitan itu sentiasa tidak mahu mengaku kalah dan tidak pernah putus asa. Setiap saat masanya adalah berharga. Tidak dibiar kosong tanpa menyesatkan adam dan hawa. Lantas, bagaimana engkau masih lagi memikirkan hal duniamu? Perbanyakkanlah berfikir, renung penuh bererti.. 


Bagaimana bakal kehidupanmu sewaktu mengadap Tuhan Rabbul ’Izzati..? Selamatkah dirimu di hari yang tiada pelindung melainkanNYA? Akan beratkah amal yang akan engkau bawa? Justeru, renungkanlah duhai diri yang lemah. Agar kehidupanmu di dunia sentiasa waspada.. Semoga, akan hadir dalam hatimu jiwa yang sensitif dengan dosa. Merasakan dosa itu besar sekalipun pada kesilapan sekecil zarah. Ketahuilah.. itulah antara ciri-ciri mereka yang aqrab dengan tuhanNya. Yang punya Ihsan dalam hatinya. Merasa kehadiran Allah dalam setiap sentuhan masa yang ada.. sekalipun mata tidak melihat, tetapi hati menyakini Allah MAHA MELIHAT.

Untuk apa perlu dirisaukan, aduhai hati yang rawan.. sebuah kehilangan itu hanya secebis dugaan.. dari Tuhan sekalian alam.. Hilang bukan bererti tamatnya sebuah kehidupan, tetapi dengan kehilangan itulah darjatmu ditinggikan. Hairan? Mengapa perlu dihairankan, Allah itu Maha berkuasa, zat yang sempurna penuh keagungan. Lupakah duhai hati, Allah telah berjanji dalam kalamNya Izzati.. ”Adakah kamu mengaku beriman, sedangkan kamu belum diuji?” Maka, hadapilah ujian dengan sejuta kesabaran. Percayalah, yakinlah sepenuh hatimu.. Hanyasanya Allah bersama-sama mereka yang SABAR.

Aduhai hati yang penuh kesedihan.. Mengapa perlu ditangisi sebuah perpisahan? Bukankah semua kita akan pergi.. pulang kepangkuan Tuhan. Dialah yang menjadikan.. Dan padaNya jua segalanya akan dikembalikan. Lupakah engkau, hidup di dunia ini sekadar persinggahan. Yang kekal hanyalah amalan sebagai teman. Itulah teman dalam perjalanan menuju sebuah keabadian.. Maka, janganlah engkau lalaikan hatimu dengan kehidupan yang sementara ini. 



Janganlah engkau tangisi lagi sebuah perpisahan sementara.. akan tetapi, hadapkanlah wajahmu sentiasa kepada Allah.. Penuhkanlah jiwa dan hatimu dengan dzikrullah memuji kebesaranNya. Juga sibukkanlah hari-harimu dengan amalan makruf nahi mungkar , mengikut sunnah kekasihNya. Yakinlah, barangsiapa yang dihatinya ada Allah, dan mengutamakan Allah atas segala apa yang dilakukannya, Allah akan seiringkan pekerjaannya dengan pertolonganNya. Bekerja keraslah engkau untuk hari esokmu yang abadi. Berbekallah dengan amalan yang menguntungkanmu di sana nanti. Ingatlah, sebaik-baik bekalan adalah TAQWA.

Duhai diri yang lemah.. Kembalikanlah hatimu kepada Rab.. Kerana DIA lah pemilik segala yang engkau ‛miliki’.. Segalanya hanya pinjaman untuk menguji. Kentalkanlah semangat juangmu. Jadilah seperti syaidatina Aisyah, putrinya Syaidina Abu Bakr.. Walau fitnah mencalar maruah, Dia tetap Aisyah! Walau rumahtangganya di landa badai anggkara si munafiq durjana, tetap teguh pendiriannya, menggunung Tawakkalnya. Pada Allah sw.t dia berdoa, mengharap furqan agar tenggelam segala nista. Insafilah duhai diri yang lemah, Allah sengaja menguji sekeping hati yang kecil.. sebagai tukaran untuk mendapatkan habuan yang lebih besar kelak. Maka bersyukurlah.. bersyukurlah.. bersyukurlah kerana engkau insan terpilih.

Jangan Ditangisi Jika Bukan Kepunyaan


Dalam meniti liku-liku kehidupan ini, kita seringkali berasa kecewa. Kecewa kerana sesuatu yang terlepas dari genggaman tangan, keinginan yang tidak kesampaian, kenyataan yang tidak dapat diterima.. dan akhirnya ia mengakibatkan sesuatu yang mengganggu jiwa dan perasaan.

Hidup ini ibarat sebuah belantara. Tempat kita mengejar segala keinginan dan sememangnya manusia diciptakanNya mempunyai kehendak dan keinginan. Namun, tidak semua yang kita inginkan akan tercapai, tidak setiap yang kita idamkan mampu menjadi realiti. Dan, bukan sesuatu yang mudah untuk menyedari dan menerima kenyataan bahawa apa yang bukan menjadi milik kita tidak perlu kita tangisi. Ramai orang yang tidak sedar bahawa hidup ini tidak punya satu hukum iaitu kita mesti berjaya, mesti bahagia atau yang lainnya.

Berapa ramai orang yang berjaya tetapi lupa bahawa segalanya adalah pemberian Allah yang Maha Pemurah sehingga kejayaan itu membuatnya sombong dan bertindak mengikut nafsunya. Begitu juga kegagalan sering tidak dihadapi dengan tenang dan sabar sedangkan dimensi tauhid dari kegagalan adalah tidak tercapainya apa yang memang bukan hak kita.

Apa yang memang menjadi hak kita di dunia, pasti akan Allah tunaikan. Namun apa yang memang bukan milik kita, ia tidak akanmungkin kita miliki, walaupun ia mungkin telah menghampiri kita, walaupun kita telah bermati-matian mengusahakannya. Seorang mukmin tidak akan bersedih ketika ditimpa musibah, malapetaka, dan sebagainya. Tetapi dia bersyukur kepada Allah dan menjadikan musibah itu sebagai peringatan dari Allahterhadap dirinya.

Oleh itu, bila seorang mukmin merasa sedih ketika ditimpa musibah, maka dia bukan mukmin sejati. Sebab, apa pun musibah yang menimpa seorang mukmin, selalu menguntungkan dirinya, sebagaimana sabda Rasulullah dalam sebuah hadis: “Sungguh menakjubkan! Urusan orang mukmin selalu menjadi hal yang menguntungkan bagi dirinya. Dan yang demikian itu hanyalah dialami oleh seorang mukmin.”

Seorang mukmin bila ditimpa kesusahan, dan dia mengingat Allah, dengan jalan itulah dia akan memperoleh jalan penyelesaian yang terbaik. Dia tidak merasa tekanan batin dalam bentuk apapun, kerana penderitaan yang paling berat sekalipun, pasti ada jalan penyelesaiannya. Seorang mukmin adalah selalu mengingati Allah dalam keadaan ditimpa penderitaan yang amat sangat sekalipun, baik dengan mengucapkan tasbih, takbir, istighfar, doa mahupun dengan membaca Al-Quran, sehingga membuat jiwanya bersih, bening, perasaannya tenang dan tenteram.

Rasulullah SAW pun bersabda: “Ingat akan Allah adalah penawar kalbu,” diriwayatkan oleh Ad-Dailami oleh Anas.

Maka wahai jiwa yang sedang gundah berduka lara, dengarkanfirman Allah SWT; “ Boleh jadi kalian membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kalian. Dan boleh jadi kalian mencintai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kalian. Allah Maha Mengetahui kalian tidak mengetahui.” (QS. Al-Baqarah 216) 


Maka setelah ini wahai jiwa, jangan kau hanyut dalam nestapa yang berpanjangan terhadap apa-apa yang terlepas dari genggamanmu, dari dakapanmu. Kita lihat di sekeliling kita, kemudian cerminlah diri sendiri. Andai kita tidak kenal siapa yang ada di dalam cermin itu, mulai hari ini ada baiknya kita mulakan mencari diri sendiri!

Manusia yang mulia adalah yang menyedari dengan sepenuh hati bahawa dia hanyalah hamba, benar-benar hamba, dalam pengertian hamba yang sebenar-benarnya, baik secara teori mahupun praktikal. Dia hanya berfikir bagaimana memberikan yang terbaik bagi kehidupan ini, semata-mata mengharap cintaNya, keredhaanNya, dan lebih dari itu kerana dia mencintai Allah, terpesona kepada keindahan Maha Pencipta, mabuk kepayang dengan ‘kecantikan’ Maha Pemurah.

Andai ternyata keinginannya tidak selari dengan keinginan Allah SWT, ternyata apa yang diharapkannya esok hari tidak menjadi nyata, malah yang terjadi adalah sesuatu yang sebaliknya, maka kita mesti tetap ikhlas! Kita menerima semuanya dengan senyum yang mengembang, dengan redha yang tidak terhitung. Hidupnya hanya untukNya. DIAlah tujuan hidup, sebaik-baik tujuan hidup! Sedang yang lainnya adalah wasilah, alat, bekal, modal untuk mencapai keredhaan Allah SWT.

Maka, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu! Kerana, ia memang bukan milikmu! Maka, bersihkan hatimu, ikhlaslah.. redha dengan ketentuanNya. Kerana, kita ini adalah sebenar-benar hamba! Moga kita lebih kuat dan dekat kepadaNya.

Ameen Ya RABBal 'Alameen.