Zikrullah
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers
Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers
"Cinta Hakiki Khaliq Terbit Dari Kalbu Nan Suci.Rintihan Hati Luahan Perasaan Yang Dituturkan DihadapanNya Menggamit Rasa Syahdu Memecah Kesunyian Malam Justeru Melahirkan Sentuhan Jiwa Dan Ketenangan Pada Hati ,Yang Merindui Penciptanya".
Showing posts with label SAHABAT. Show all posts
Showing posts with label SAHABAT. Show all posts

Monday, 24 September 2012

Kita Merancang Allah Tentukan


Ujian selalu datang dalam hidup kita. Ujian itu hadir tika kita sedih dan juga tika kita bahagia. Allah telah memberikan banyak ujian kepada kita untuk menempuh kehidupan di dunia ini. Kekasih Allah juga diuji dengan bermacam-macam ujian yang menyantuni keimanan begitu jugak kita. Tetapi ujian yang diberikan kepada kita tidak sehebat para kekasih Allah itu. Bagaimana hati kita apabila menghadapi sesuatu musibah itu. Apa sebenarnya yang kita lakukan untuk mengubati hati kita yang tengah berduka itu. Adakah kita hanya terus-menerus bersedih atau kita mencari Allah untuk meluah rasa kasih.

Kita terkadang diuji dengan bermacam-macam ujian, ujian di dalam kehidupan seperti persahabatan, kewangan, percintaan dan sebagainya. Lebih sakit lagi apabila Allah memberikan seseorang yang kita cintai atau sayangi menjadi alat untuk menjadi ujian kita. Teruji kita pada ketika itu. Harus kita ingat mencintai bukan bererti kita memiliki. Di dalam perkahwinan juga hebat ujiannya. Ramai orang beranggapan apabila kita sudah mendirikan rumah tangga kita akan selamat dari perkara-perkara maksiat dan fitnah manusia. Sebenarnya, perkahwinan adalah permulaan bagi kita menjadi seorang manusia bagi kita untuk menilai siapa pasangan yang kita cintai itu. Ujian makin hebat, pergerakan akan menjadi terikat dan batasan harus diambil berat.

Tidak perlu kita hairan pasangan yang berkahwin selama berpuluh tahun juga turut menghadapi perceraian. Kerana apa? Kerana sudah tiada kepercayaan. Sekadar ungkapan cinta sahaja tidak mencukupi. Kepercayaan, ketaqwaan dan keimanan disulami dengan kejujuran harus diadun bersama agar kita mampu mempertahankan tembok yang kita bina itu. Hati memainkan peranan penting. Buat pasangan yang begitu hangat bercinta mungkin mereka tidak memikirkan soal ini. Hanya membayangkan bahagia semasa bercinta tetapi bagaimana bila sudah mendirikan rumah tangga.

Ingatlah, ketika mana kita melafazkan kata ‘cinta’ kepada seseorang itu bermakna kita berjanji untuk bertanggungjawab kepada dirinya. Oleh itu, jagalah dia sebaik mungkin. Lindungi dia bukan merosakkan! Mungkin Allah datangkan orang yang kita cintai itu merupakan ujian buat kita. Mungkin ujian untuk menjadikan kita tabah atau menjadikan kita lemah. Kita harus pandai menilainya. Boleh jadi apa yang kita benci itu akan memberikan kebaikan kepada kita dan boleh jadi apa yang kita suka itu akan memberikan kemudharatan kepada kita.Wassalam.

Friday, 6 April 2012

Bila Diuji


بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama ALLAH SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Penat berjalan melalui rutin dan hidup hari demi hari. Terasa sakit dan pening kepala memikir semua benda yang perlu dilangsaikan. Itu hanya sakit lahiriah, bukan pada batinnya pulak! Memikirkan diri sendiri dan Ummah lebih membimbangkan. Apakah kesudahan.
Begitulah hidup kita dalam dunia ini. ALLAH sering sapa diri kita dengan ujian. Tidak dinamakan seseorang itu hamba ALLAh jika tidak menerima ujian yang ALLAh berikan. Dan tidak dapat dikatakan seseorang itu beriman jika tiada sifat sabar. Dan tiadalah dikatakan seseorang itu SABAR jika tiada dugaan yang akan menguji kesabarannya.
Kadang-kadang, kita cepat sangat untuk mengeluh dan merasa lelah atas semua apa yang telah menimpa dan apa yang telah kita lakukan. Lambat laun, keluhan yang keluar dari bibir, dan penat yang dituturkan akan membuahkan sifat malas dan rasa putus asa dalam diri seseorang
Ujian Allah = Kasih-Sayang Nya
Dalam menempuh hidup disertai dengan ujian daripada Allah SWT, perlu kita ingat..Ujian dan dugaan itu adalah tarbiah Allah. Cuba ingat kembali apakah hikmah selepas ujian Allah SWT itu, adakah kita merasa lebih tenang dalam kesenangan? Atau merasa lebih susah dalam kesusahan? Saya yakin!!! Kita semua boleh berfikir dan renung sejenak, disetiap ujian yang Allah SWT turunkan, ada kebaikan akhirnya.. Cuma, mahu tidak mahu saja untuk kita berfikir.
Ujian yang Allah berikan itu datang daripada pelbagai arah. Sama ada kita dipermainkan, dihina, dimaki dan dikhianati oleh hamba Allah yang kita kasihi, cintai, sayangi dan yang kita kenali, juga.. suatu penyakit yang Allah SWT turunkan. Itu semua adalah kasih-sayang Allah SWT.. Allah sebenarnya nak mengajar kita untuk lebih tabah dan tetap teguh dengan pendirian kita yang kita pegang. Allah nak bagitahu kita banyak sangat perkara yang boleh membuat kita mendapat tiket untuk ke syurga-Nya.
Apabila ujian datang menimpa.. Kadangkala, kita terasa ujian yang Allah berikan itu datangnya seperti hujan, tidak henti-henti sudahnya. Dan juga, kadangkala terasa seperti diri kita sahaja yang Allah berikan ujian seperti itu. Kita sering terlupa, bahawa setiap manusia telah dan akan Allah uji dengan cara yang lain. Kita terlupa, bahawa ada hamba Allah yang lain lebih teruk dan hebat ujian diri mereka. Begitulah sifat kita sebagai manusia.. Seringkali terlupa. Rasanya ungkapan Tun Mahathir yang berbunyi ‘Melayu Mudah Lupa’ patut digantikan dengan ungkapan ‘Hamba Allah Mudah Lupa’.
Sabar : Orang-orang Yang Hebat
Seringkali, apabila kita teruji dan mungkin menangis menumpang adu kepada sahabat, ungkapan SABAR seringkali kedengaran dan menunjukkan bahawa kekuatan sabar itu adalah KUAT. Ada orang, yang sudah lali dengan perkataan sabar yang diungkapkan oleh orang lain.. Ada orang, akan mendapat semangat dari perkataan sabar yang disebut oleh orang lain. Dan bagi diri saya sendiri, apabila saya memujuk diri saya untuk bersabar, seakan-akan ada suatu semangat yang sukar untuk saya gambarkan. Begitu juga apabila sahabat-sahabat yang lain memberikan sedikit semangat untuk diri saya.
Perlu kita renung sejenak dan tanam dalam hati.. Sifat SABAR itu adalah salah satu sifat yang paling tertinggi di sisi Allah SWT. Bukan semua orang boleh bersabar dengan dugaan yang dihadapi, boleh bertenang sambil tersenyum dalam menjalani kehidupan hari demi hari. Tiada sifat seorang Muslim yang paling tinggi di sisi Allah melainkan sifat sabar. Sabar adalah kekuatan. Ia tidak mengira keturunan atau darjat yang ada pada diri seseorang itu.
Pesanan buat diri saya sendiri.. Saya seringkali memujuk diri. Saya yakin dengan janji Allah.
Allah SWT tetap akan memandang hamba-hamba yang sabar itu lebih dari segalanya. Allah akan tetap memandang dengan pandangan yang penuh kasih-sayang melalui pandangan rahmatNya. Malah, para malaikat juga akan turut mendoakan hamba yang sabar, inshaAllah. Percaya dan yakinlah dengan Allah SWT. Sesungguhnya Allah tidak akan menimpakan sesuatu cubaan kepada kita melainkan kita mampu untuk menanggungnya. Allah tidak zalim untuk menyeksa kita dengan ujian yang Allah memang tahu kita tidak mampu untuk memikul ujian itu. Cuba renungkan kembali, atas dasar apa kita dilahirkan ke dunia dan apa niat kita di atas muka bumi ini.
Dengan sifat yang sabar, kita boleh menjadi seperti seteguhnya karang yang ada di laut. Tidak akan goyah walau dihampas badai yang melanda. Kita tetap akan menjadi lemah-lembut sepertimana rumput akur dengan belaian angin, tetapi kita tidak akan luruh dan tumbang akibat ditampar dengan ribut taufan yang sengaja datang untuk menyapa kekuatan SABAR yang kita ada.
Apabila sebarang musibah datang melanda, cepat-cepat bersuci dan menghadap Tuan Punya Dunia. Mengadulah.. Menangislah.. Memang sifat kita lemah apabila berada di hadapan-Nya. Pujuk jugalah hatimu untuk melunturkan ego agar dirimu lembut untuk menitiskan airmata dihadapan-Nya. Ingatlah wahai diriku, secubit ujian yang Allah berikan, bergumpal-gumpal pahala sebagai ganjaran Allah kepada hambaNya. Syaratnya adalah dengan BERSABAR.
Kita Semua Adalah Pejuang
Kita semua adalah askar! Kita semua adalah pejuang! Dan seorang pejuang itu ada perjuangan yang wajib untuk dia selesaikan hingga ke akhir hayat. Hamba Allah…. Perjuangan kita sebagai hamba Allah adalah untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi sepertimana perjuangan Rasulullah SAW dahulu. Dan dengan perjuangan inilah kita akan mendapat keredhaan Allah SWT.
Ingatlah, dalam barisan perjuangan kita ini memerlukan semangat yang tinggi, pengorbanan yang banyak.. Dan semua itu tidak akan dapat kita selesaikan seandainya kita tiada sifat sabar dalam diri. Maka dengan itu, suburkanlah sifat sabar dalam jiwa. Buangkan sejauh-jauhnya sifat amarah, jauhilah dendam jika dikhianat orang, dan maafkanlah kesalahan orang walaupun perbuatan itu sesuatu yang tidak dapat kita lupakan. Sesungguhnya, Allah juga sangat kasih kepada hamba yang pemurah dengan memaafkan kesalahan orang lain.
Pejuang Hidup Kerana Berjuang!
Seorang pejuang tetap wajib tegar di jalan perjuang. Seorang pejuang tidak boleh berputus-asa dengan perjalanan hidup yang masih panjang walaupun umur kita hanya Tuan Punya Dunia yang Maha Mengetahui. Apabila seorang pejuang itu rebah kerana berputus – asa, bermakna kita memberi peluang kepada iblis dan syaitan untuk bersorak kegembiraan kerana ada Anak Adam yang lemah padahal syurga telah Allah janjikan bagi mereka yang penyabar.
Rebah seorang pejuang itu, memang keinginan syaitan laknatullah. Ketahuilah wahai diriku, seisi alam ini ; haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan para Malaikat turut mendoakan kesejahteraan manusia yang baik-baik, yang tetap teguh seperti seteguh karang dijalan perjuangan ini.
Moga qalam ini dapat membuat diri saya berfikir kerana ku menulisnya untuk peringatan diriku sendiri. Aku perlu untuk tetap berdiri di jalan yang penuh duri yang berbisa. Aku perlu.. Aku wajib! Kerna, aku hanya mendambakan redha Allah.. Dan untuk mendapatkan redha Allah, aku perlu bersabar seiring melalui rintangan perjuangan yang tidak terduga. Allah~
Aku sayang Allah~ Aku sayang Rasulullah~
Semoga Allah merahmati..

Friday, 16 March 2012

Rindu Menulis, Rindu Sahabat-Sahabat Blogger

Rasanya dah lama tak menulis di dalam blog ni...maaf sangat-sangat..bukan tak rindu pada kawan2/ sahabat2 blogger ..rindu sangat pada kalian semua....kadangkala kekangan masa membuatkan ana tiada berkesempatan untuk menulis dan mengupdate di blog.. Sebenarnya banyak cerita yang mahu di kongsikan ..tetapi bila nak metulis dah lupa...banyak benda nak fikir...apa pun ana harap kita semua boleh sentiasa keep in touch kan..Ana tinggalkan lagu ni buat rakan/sabat blogger ana..moga jalinan ukhwah di sini berkekalan dan dapat keredhaan dariNYA. amin~

Friday, 13 January 2012

Tetap Bersama..Ukhwah Fillah

   

بسم الله الرحمن الرحيم

Saya senyum dan ketawa bersamanya ,
Sedang dalam hati yang sama
Masih memikirkan tentang dia dia dan dia..

YA ALLAH rindu sebenarnya….
Kerana dia dia dan dia menjadi teman yang sentiasa bersama saya..
Bukanlah jalan mudah untuk saya menjadi saya kini andai tidak ada mereka disisi..

Suka sama suka,
Duka derita ditanggung bersama..
Ya Allah..rindunya benar pada mereka..
Tapi saya simpan rindu ini dahulu
Agar segenggam impian berjaya saya gapai..
Kerana itulah azam yang telah lama saya pegang
Untuk saya lunaskan ia…

Sedang hati itu rindu,
Tidak pula saya suka untuk biarkan ia berlalu..
Kerana saya tetap yakin akan doa itu..
Ia penghubung kepadanya 
Meskipun dia dia dia dan dia itu sangat jauh dimata..

Biarlah airmata yang jatuh gugur,
Tetapi semangat itu tetap tidak pernah lentur..
Berjuanglah selagi mana mampu,
Dan biarlah khabaran rindu-rindu itu tetap segar dalam ingatanku 
Sebagai mukmin yang mencintai sahabatnya..
Ini adalah untuk dia dia dia dan dia yang sangat ku sayangi keranaNYA…
♥ ♥ ♥ Sayang Sahabat-sahabat Saya ♥ ♥ ♥

p/s Tiba ja ingat kata dari seorang sahabat di FB..semangat..semangat..semangat!!! sampaikan daku ambil kata tersebut sebagai penguat diri..syukran sahabat ^_^

Monday, 2 January 2012

Persinggahan Kehidupan

بسم الله الرحمن الرحيم
Dalam dunia ini kita tidak punya sesiapa, Kecuali diri sendiri..Tetapi dalam kita bersendirian, kita beruntung kerana.mempunyai seorang sahabat yang memahami kita.Sebagaimana kita mengharapakan keiklasan dan kejujuran seorang sahabat, begitulah juga dia.Tetapi kita sering terlupa akan hal itu. Cuma mengambil kira tentang harapan dan perasaan kita. Kita tidak memberi dia peluang untuk menerangkan keadaannya. Bagi kita, itu alasannya untuk menutup kesilapan dan membela diri.

Kita beri beribu alasan memaksa dia terima alasan kita. Waktu itu, terfikirkah kita perasaannya..? Seperti kita, dia juga tahu rasa kecewa..tetapi kita sering terlupa.

Untungnya mempunyai seorang sahabat yang sentiasa memahami..Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia bersandar harapan?..Sesekali jadilah sahabat yg mendengar dari yg hanya bercerita...Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan sahabat kerana dia juga seorang manusia, Dia juga ada rasa takut, ada rasa bimbang,sedih dan kecewa. Dia juga ada kelemahan dan memerlukan seorang sahabat..

Sebagai kekuatan Jadilah kita sahabatnya itu. Kita selalu melihat dia ketawa,tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangkakan. Di sebalik senyumannya mungkin banyak cerita sedih yg ingin diluahkan.. Di sebalik kesenangannya mungkin tersimpan seribu kekalutan.. Kita tidak tahu. Tetapi.jika kita cuba jadi sahabat sepertinya, mungkin kita akan tahu..

RENUNGILAH...

HARGAILAH SEBUAH PERSAHABATAN KERANA DISEBALIKNYA
TERSIMPUL SEGALA-GALANYA

Satu-satunya cara agar kita memperolehi kasih sayang,ialah jangan menuntut agar kita dicintai, tetapi mulailah memberi kasih sayang kepada orang lain tanpa mengharapkan balasan. (Dale Carnagie)

Orang yang menunjukkan kebaikan kepada anda adalah sahabat yang baik.Dan orang yang menunjukkan kesalahan anda adalah sahabat yang paling baik. (Hukama')

istimewa buat sahabat....

Teman,

Kekadang aku rasakan diari hidup ini terlalu panjang,
Jika didalamnya penuh dengan kekecewaan,kesedihan,kesunyian serta kegagalan,
Mahu saja aku menamatkannya,
Namun....hadirmu membuatkan diri ini semakin tabah menghadapi liku dan ranjau hidup ini...

Teman,

Kekadang aku rasakan diari perjalanan hidupku terlalu singkat,
Jika di dalamnya penuh dengan keceriaan, kebahagiaan dan kegembiraan,
Apatah lagi bila adanya dirimu disisi, Yang menjadi pembakar semangatku, penasihatku dan sahabatku yang setia,
Sungguh bertuah sesiapa yang memilikimu....

Tapi Teman...

Seandainya suatu masa nanti... kita punya haluan sendiri..
Kenangan bersamamu akan sentiasa dihati, Ku ingin ukhwah ini abadi dan sejati,
Namun siapa aku untuk menentukannya,
Siapa aku untuk menyatakannya...

Harapanku hanya satu...
Ingin melihatmu bahagia..selamanya....
Untukmu teman...terima kasih atas segalanya...

.. tiada ungkapan perpisahan dalam persahabatan walaupun maut menjadi noktahnya kerana seorang SAHABAT itu terlalu istimewa dalam doa sahabatnya yang lain meskipun tanpa bayangnya ..

p/s : terima kasih pantai, terima kasih kerana setia ditepian saat lautan dilanda badai..dan tidak jemu mengalunkan bayu sealun irama nyanyian perindu damai..sungguh indahnya ciptaan Allah ^^,

Dia Adalah Sahabat

بسم الله الرحمن الرحيم

Dia adalah yang Allah beri kepadaku,
walau yang mencarinya adalah aku,
maka dia adalah hadiah,
mustahil sekadar dilempar begitu.

Biarlah dia berbicara hanya sedikit,
Biarlah dia berjauhan,
Biarlah kadangkala ada salah sangkaan,
Biarlah ada waktu dia melukakan,

Sebab dia adalah sahabat,
maka aku tidak pernah menghiraukan.

Mengira bahagia-bahagia yang wujud bila dia ada di sisi,
itu sahaja sudah melebihi dunia dan segala isi.

Kalau dia tiba-tiba menyimpang,
aku adalah yang akan menghulurkan tangan dan tidak berjauhan,
Kalau aku adalah yang tersungkur,
aku akan segera bangkit agar dia tidak kususahkan.

Sebab dia adalah sahabat,
dan aku tahu sahabatku adalah manusia,
maka aku hormati kekurangan yang ada,
dan aku besar-besarkan kelebihannya,

Hanya iman yang mampu melestari hubungan ini,
mengekstensi hingga ke syurga nanti.
Sebab dia adalah sahabat,
mustahil aku mahu berada di syurga tanpa dia di sisi.

p/s Assalamualaikum...semoga sahabat-sahabat Sutera Qasih dalam rahmat dan kasih sayang-Nya sentiasa..semoga bahagia di samping sahabat sejati yang dapat menghiasi peribadi kita..salam rindu dari saya untuk kalian (^_^) "Sebaik-baiknya sahabat yang kamu gauli adalah orang yang meminta kamu untuk bersahabat denganmu untuk kemanfaatan dirimu sendiri bukan kerana kemanfaatan baginya"

Thursday, 15 December 2011

♥ ♥ ♥Jadilah Orang Yang Memberi Kebahagiaan♥ ♥ ♥

Pedang paling kuat dan tajam adalah logam besi yang mendapatkan tempaan paling keras pada nyala api yang sangat panas, maka jangan kamu berharap menjadi kuat jika tidak berani hadapi ujian dan kerasnya hidup ini.

Sebatang mancis tidak akan bernyala,bercahaya dan bermanfaat sebelum ia terbakar..jangan pernah harap kejayaan tanpa perjuangan dan pengorbanan tidak akan berhasil seseorang sebelum merasakan kegagalan.

Jadilah orang yang selalu memberikan kebahagian..walaupun hanya dengan sapaan, salam dan sebuah senyuman, jangan pernah mementingkan diri sendiri.

Belajarlah dari Matahari yang mampu untuk bersinar lebih lama lagi…
Tetapi dia tetap memberi peluang untuk sang bulan untuk menunjukkan diri..

Sahabat….
Kemenangan adalah saat dimana kita dalam keterbatasan..tetapi masih sanggup menghasilkan karya terbaik yang mengagumkan..kemenangan adalah saat kita ikhlas memberikan jalan-jalan kebahagiaan kepada orang-orang yang begitu memerlukan pertolongan

Sahabat….
Kemenangan adalah saat kita mampu memaafkan kesalahan..meskipun kita telah dikecewakan dengan begitu dahsyatnya

Kemenangan adalah saat kejujuran lebih kita utamakan..daripada mendahulukan ego dan kepentingan diri sendiri

Kemenangan adalah saat kita mampu memberikan yang terbaik..meskipun kita dalam keadaan yang apa adanya.

Sahabat….
Jika kamu tidak tahu atau bingung..tentang siapa yang kamu sangat sayangi..Ingatlah saat-saat dimana kamu berada..dalam suasana yang tidak ingin kamu kenang disitulah kamu mengenali dirimu sebenarnya..disitulah kamu juga tahu siapa yang paling kamu sayangi

Cara membalas dendam terbaik adalah hidup dengan lebih baik..daripada orang yang membenci atau menyakiti kita..♥ ♥ ♥♥ ♥ ♥

Saturday, 1 October 2011

Indahnya Ukhwah Filah

Melewati kesepian, teringat sahabat-sahabat lama yang sudah jarang kelihatan..program pun tidak banyak yang ana dapat turut sertai. Sibuk tugasan di pejabat dan belajar memang amat memeritkan..tapi akan ada kepuasan bila datangnya Ikhlas menemani. Jika akan ada pun, belum tentu ana dapat pergi, melainkan dengan tenaga yang berbaki..jika ada persoalan/ perbualan pun, ana akan cuba menjawab dan berhubung ketika benar-benar free~..tidak mahu mengganggu.. apatah lagi menyinggungkan perasaan. Iyalah, mereka pun semakin banyak tugas & tanggungjawab juga..apatah lagi tugas dengan masyarakat & dakwah yang memerlukan komitmen tinggi..salute la.. 


Dari kejauhan ana hanya dapat menitip doa..melihatkan kemajuan mereka pun sudah cukup untuk membuatkan ana tersenyum & bahagia..namun terus terang.. dalam kesibukan waktu, ana tetap tidak dapat melupuskan rasa RINDU..rindu sahabat & teman ana..

Rasanya cukup setakat itu..
sekurang-kurangnya dapat juga melegakan rasa terpendam di jiwa ini..
sememangnya selagi hidup kita tidak dapat lari dari masalah..
kita mesti menyelesaikannya atau hadapi dengan cara yang baik..
sungguh..
kesedihan /' emo melampau hanya akan mengundang penyakit & tidak memajukan..
penat berhujan air mata hampir setiap malam.. akhirnya rosak mood sendiri untuk belajar..
oh agak sia-sia.. [sikit-sikit takpa lagi, lumrah untuk melepaskan tekanan..hu~]

"Ketahuilah dengan "zikrullah" (mengingati Allah) itu, tenang tenteramlah hati manusia"

Ana mahu hadapi hidup ini dengan kebahagiaan..
kebahagiaan itu tak semestinya perkara baik yang berlaku untuk diri sendiri..
melihatkan rakan, sahabat & teman pun dapat membuahkan kebahagiaan..
Kebahagiaan dari ikatan kekeluargaan, berkongsi rasa dengan ibu bapa dan adik beradik..
Kebahagiaan dalam mempelajari ilmu dunia & akhirat..
Kebahagiaan dalam menghadapi pelbagai jenis insan..
dan yang utamanya kebahagiaan merasai nikmat Iman, melihat keindahan ciptaan Allah, seisi alam ini.. 
betapa indahnya ukhwah yang dikurniakan olehNya apabila menghadapi kesukaran / kesenangan bersama cara hidup Islam.. dan.. ana sedari, adalah satu kesalahan ana untuk melupakan kenangan lalu.. yang memang kini sentiasa terpatri indah, hingga ke akhir hayat ana..


~buang yang keruh, ambil yang jernih.. ambil iktibar dari yang lalu~

moga tabah & dipermudahkan menghadapi hidup ini.. wahai diri & para pembaca sekalian... InsyaAllah.. ana mohon ampun & maaf

"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." ~Surah At-Taghabun, Ayat 11~

Saturday, 17 September 2011

Wahai Sahabat, Peliharalah Rasa Cinta Itu


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Demi Tuhanku yang diriku di bawah penguasaan-Nya dan sentiasa dalam pengawasan-Nya, aku tidak menulis melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan dengan izin-Nya. Sesungguhnya aku menulis dengan penuh kasih sayangku kepadamu sebagai seorang sahabat, sebagai seorang saudara seagamaku. Aku tidak inginkan melainkan kebaikan bagi dirimu dan bagi diriku agar kita sama-sama beroleh syurga yang sangat kita impikan di pengakhiran sebuah perhitungan.

Wahai sahabatku,
Cinta itu letaknya di hati dan hati itu milik Allah. Tidak mungkin kita dapat menyentuh hati seseorang tanpa izin Allah dan jika Allah tidak mengkehendaki. Tidak patut kita serahkan hati kita yang dimiliki Allah itu kepada orang lain untuk dikuasai atau diperintah. Bahkan memang sepatutnya kita serahkan jiwa dan raga kita seluruhnya kepada Allah. Adapun rasa cinta yang lahir sesama manusia itu hanya jalan menuju cinta Allah. Janganlah sekali-kali kita menukarkan tujuan cinta di hati yang sepatutnya untuk Allah kepada manusia hanya kerana kita dapat melihat kecantikan manusia dan kita tidak dapat melihat Allah, kita cuma merasa dan melihat kecantikan segala ciptaan-Nya. Kita lupa dan selalu tidak sedar hakikat segala kecantikan itu adalah milik Allah. Jadikanlah cinta kepada manusia itu sebagai jalan menuju Tuhan, bukan matlamat dan pengakhiran destinasi cinta. Maka engkau akan lebih tenang menerima segala penolakan.
  
Wahai sahabatku,
Hati kita meronta untuk mencintai dan dicintai. Alangkah remuk redamnya hati tatkala apa yang kita cintai tidak kita miliki. Alangkah kecewanya jiwa tatkala cinta kita tidak dibalas oleh orang yang kita cintai. Ternyata hati itu bukan milik kita, ia milik Allah. Kita tidak bersalah tatkala cinta itu lahir terhadap seseorang, tetapi kita keterlaluan tatkala kita memaksa ia kepada seseorang. Bukankah sepatutnya kita redha dengan ketentuan Allah yang tidak menumbuhkan cinta terhadap kita di hati orang yang kita cintai? Alangkah zalimnya kita tatkala kita tidak dapat menerima apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sedangkan saban hari kita sering tidak menghargai cinta Allah, kita tidak pula membalas segala anugerah cinta yang Allah berikan kepada kita pada setiap hembusan nafas, pada setiap detik kehidupan yang kita lalui. Bukankah Allah lebih layak untuk murka kepada kita kerana kita tidak membalas-Nya dengan ketaatan yang sepatutnya?

Wahai sahabatku,
Allah menjanjikan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Yakinlah akan janji Allah, sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji. Perbaikilah setiap inci kehidupanmu agar engkau termasuk di kalangan orang yang beroleh pasangan yang baik. Allah tahu tentang dirimu lebih daripada engkau sendiri. Maka Allah telah menetapkan untukmu lebih baik daripada apa yang engkau kehendaki. Boleh jadi engkau cintakan sesuatu tetapi ia buruk bagimu dan begitu juga sebaliknya. Pada setiap persimpangan kehidupanmu, apakah engkau merasakan bahawa Allah tiada bersamamu? Bahkan dia sentiasa mendengar dan melihatmu. Persoalannya, apakah engkau sudah merintih pada-Nya, meminta pada-Nya dan memperlihatkan apa yang sepatutnya kepada –Nya? Aku berlindung dengan Allah daripada menjadi hamba yang kufur dan lupa diri.
  
Wahai sahabatku,
Sungguh cinta itu telah menjadi faktor yang dapat mengubah sesuatu kepada lebih baik atau sebaliknya. Ada manusia biasa yang berubah menjadi wali kerana kuasa cinta, dan ada pula yang bisa menjadi hina kerana dikuasai cinta. Ya, tamadun itu berkembang dan boleh jadi hancur kerana cinta. Tidakkah engkau melihat Taj Mahal yang terbina kerana cinta? Sebaliknya, ada pula yang membunuh kerana cinta. Persoalanku kepadamu, apakah engkau ingin berubah kerana cinta ke arah Redha Allah atau mungkin lebih jauh daripada Allah?

Wahai sahabatku,
Aku tidak mengatakan bahawa aku mengetahui segala isi hatimu atau segala kekacauan yang mengisi jiwamu. Aku cuma ingin berpesan agar engkau tidak meletakkan keinginanmu lebih tinggi daripada ketentuan Allah. Aku ingin engkau mengerti bahawa milik Allahlah segala kejadian. Kemudiannya aku ingin engkau membawa kefahaman tersebut kepada pengamalan dalam kehidupan yang kau lalui agar ia hidup bersamamu di dalam setiap inci kehidupan. Janganlah engkau mengatakan bahawa engkau mentaati Allah di saat hidupmu bergelumang dengan jahiliah. Aku juga sepertimu, anak muda yang bergelora jiwanya. Maka aku berpesan kepadamu agar aku juga dipelihara Allah daripada segala penyelewengan dalam memahami hakikat cinta. Aku memohon keampunan kepada Allah atas segala kesalahan yang kuungkapkan dan kumohon kau doakanlah kebahagiaanku di dunia dan di akhirat. Moga kita dipertemukan Allah untuk hidup di syurga yang kekal selama-lamanya.

Thursday, 4 August 2011

Sinar Cahaya Ilahi

Alhamdulillah.
Moga Allah terus menititipkan buah – buah kekuatan buat kita semua, terutama untuk bersungguh – sungguh beramal dan menjaga mutaba’ah amal kita lebih – lebih lagi dalam ramadhan yang penuh barakah ini. Agar a’mal – a’mal itu yang menggerakkan kita, iAllah.
Suatu pencarian rahmat , keampunan dan pembebasan api neraka.
Ketaqwaan itu yang kita kejar dalam madrasah tarbiyyah ramadhan ini iAllah
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa”
(Al-baqarah, 2:183)
Buat hati – hati yang ingin menginfaqkan seluruh hidup kita untuk jalan Allah, kadangkala kita tercari – cari kekuatan yang kadangkala lesu, pudar dan hilang. mencari mutiara mutiara tarbiyyah , kemanisan iman yang acap kali kita rasai selaku memiliki jiwa yang beriman, tarbiyyah diri yang kadangkala tidak tercater, terutama pabila masuk musim cuti, kerja da’wah yang tak putus-putus, malah meruntun segala jiwa, fikiran, harta dan masa kita, email yang beratus – ratus masuk dalam inbox kita yang mengkhabarkan apa yang berlaku di dunia nyata,
Allahuakbar. Kadangkala kita pun boleh rasa lost, terasa perlahan pergerakannya, bahkan kita merasakan tidak betul-betul kuat untuk menapaki jalan da’wah yang mulia ini.
jiwa ini juga selalu begitu, saat kita merasai betapa dahaganya jiwa kita akan sentuhan-sentuhan tarbawi,
apatah lagi sentuhan murobbi, saat itulah kita perlu bangkit, menjaga level iman kita agar sentiasa dalam keadaan stabil dan meningkat, merasai kemanisan berhubung dengan Allah, apatah lagi bercinta dengan Allah.
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran”
(Al-Baqarah, 2:186)
Ayuh, kita sama-sama kembali kepada Allah, meluruskan niat-niat kita untuk apa kita melakukan semua ini.
Kita sangat fahami, jalan da’wah ini sajalah yang menghantar kita ke syurgaNya, tiada jalan lain.
Ayuh, sama-sama kita kuatkan hati – hati kita, biarpun terlalu banyak kelemahan – kelemahan yang kita ada,
Allah telah memuliakan kita dengan risalah agung ini,
Allah telah memilih hati – hati kita untuk mengemban da’wah yang suci ini,
Masakan tiada ujian yang diberikan olehNya buat hamba-hambaNya yang beriman.
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan,
“Kami telah beriman,”, dan mereka tidak diuji?”
(Al-Ankabut, 29:2)
Bukan kita saja yang merasai keperitan ujian, bahkan generasi terdahulu sudah pun merasai yang lebih dasyhat.
Buat kita yang baru setahun jagung dalam dunia da’wah dan tarbiyyah, sangat perlu menguatkan jiwa-jiwa kita untuk terus tegar berada dalam jalanNya.
Bukankah kita ingin betul – betul menjadi individu-individu muslim yang sempurna muwasafatnya
lalu menjadi bongkah – bongkah tapak asas ke atas kemenangan islam di atas muka bumi Allah ini.
Moga Allah terus memberikan kekuatan-kekuatan buat kita,
kekuatan iman yang mendalam lalu menggerakkan menjadi amal insyaAllah.
Sungguh jalan da’wah ini tidak mudah, apatah lagi payah, meruntun pengorbanan jiwa, harta, fikiran, masa dan segala-galanya.
Makin lama kita di jalan ini, makin banyaak pertanggungjawaban yang wajib kita galasi.
Lantas, kitaaa wajibb menyiapkan diri – diri kita dengan bekalan-bekalan agar kita tak kan termengah-mengah dipertengahan jalan ataupun terberhenti di mana – mana persimpangan. Nauzubillah.
Moga Allah memberikan kita thabat, istiqamah dan syahid di dalam jalanNya.
Moga kita terus mensucikan jiwa-jiwa kita untuk kembali padaNya.
Kembalilah pada Allah, minta dan rayulah padaNya, punca segala kekuatan.
Bersyukurlah atas ni’mat ukhuwwah fillah yang superr cool,
sahabat-sahabat seperjuangan yang juga merasai ujian-ujian Allah ini, biarpun dalam skala yang berbeza.
berukhuwwah dan berkasih sayang di atas aqidah yang satu.
Moga kita sentiasa memiliki himmah aliyyah dan iradah qowiyyah.
Moga Allah mendengar rintihan – rintihan kita di balik tikar sejadah dan gelap malam.  Motivasi terbaik itu datangnya dari Allah.
Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.
(At-Taubah, 9:111)

Monday, 1 August 2011

ANTARA KAWAN, SUAMI & ISTERI

Ini dari bahan bacaan yang aku baca... bukunya bertajuk AKU TERIMA NIKAHNYA.  Untuk dikongsi bersama.  Semoga kita semua mendapat manfaat darinya

Suami, Isteri dan Kawan
Kerana soal emosi dan logik, saya cuba untuk  memahami sesuatu.  Sering saya ketemu, isteri-isteri tidak begitu berminat atau komited lagi dengan persahabatan mereka.  Mereka ada ramai best frends semasa anak dara, hingga tidur berkongsi bantal dan mimpi, namun selepas berkahwin dan beranak-pinak, mereka tidak lagi serapat dulu.  Tumpuan dan attachment mereka sangat tertumpu pada suami dan anak-anak.



    "Kalau Yang nak pergi kedai dengan kawan-kawan, do some shopping, Abi tak kesah pun.  Take your time, I'll mind the kids," saya membuka tawaran kepada isteri. (Ohh... alangkah indahnya kalau laki aku berkata demikian... DO SOME SHOPPING... duitnya sekali ye bang... )

    Bukan apa, saya sering rasa bersalah kerana selalu terpaksa meninggalkan isteri. Mesyuarat, bekerja out station, ceramah, program dan macam-macam aktiviti luar, menyebabkan saya sering meninggalkan isteri dan anak-anak di rumah.  Bukan bersuka-suka bercuti dan bercanda, tetapi tugas dan tanggjungjawab yang menjadi punca. 


    Lantas, saya tidak keberatan jika isteri saya mahu mengambil sedikit ruang untuk beliau pergi menziarahi sahabat atau menghadiri kursus-kursus rasmi dan tidak rasmi. Waktu untuknya tanpa saya.  Tetapi lazimnya isteri saya memilih untuk berada di rumah.  Dan sebahagian besar sahabat yang saya temui, mengakui hal ini.  



   Oleh kerana perempuan kuat pada emosi, maka emosinya terpilih untuk hanya disuburkan oleh suami tercinta dan anak-anak.  Kepuasa pada mengisi keperluan emosi hanya boleh diperoleh daripada insan yang diberikan emosi itu iaitu suami dan anak-anak.  Tidak ada apa sangat yang hendka dicari di luar sana.


   Namun bagi si suami, kehidupannya banyak dipengaruhi oleh rasional kerana itulah alat utama dia berperanan sebagai pemimpin keluarga.  Mungkin kerana itu, saya merasakan bahawa suami perlu kepada rakan bincang.  Sesekali suami perlu mendapatkan pandangan ketiga.  Dan kerana ini, seorang lelaki yang telah berkahwin, tetap menjaga hubungan dengan rakan karib, kerana beliau perlu kepada input-input yang membantu dia mempuat keputusan, terutamanya ketika berkonflik dengan isteri dan keluarga (ye ke???? musykilllll)

   Janganlah si isteri salah faham, dengan menyangkakan suami yang pergi kepada rakan karib itu, telah membelakangkan dirinya.  Lebih mengutamakan sahabat daripada isterinya. Lebih percaya kepada orang luar daripada teman hidup yang dinikahinya.  Jangan begitu.


   Suami pergi berjumpa dengan rakan karibnya dengan motif rasional.  Mencari panduan dan penyelesaian.  Sedangkan emosi, perasaan dan kasih sayangnya tetap teguh pada isteri dan anak-anak.  Suami memerlukan rakan bukan untuk urusan emosi sebagaimana yang sering difikirkan oleh isteri. (Alasaaaann....)


   Emosi dan perasaan itu ekslusif dan  hanya ada antara suami, isteri dan anak-anak.  Namun keperluan mendapatkan input rasional, izikan suami mencarinya daripada seorang rakan, kerana hasil perbualan mereka, akan memulangkan kebaikannya kepada kasing sayang antara suami, isteri dan anak-anak. (Adakah anda pasti itu topik perbualan bila mereka berjumpa?? never... )


   Saya yakin, jika setiap insan menghargai keunikan diri masing-masing mengiktiraf kelebihan dan mengakui kelemahan, hidup kita akan seimbang.  Bacalah buku Men Are from mars, Women are from Venus itu agar kita dapat belajar untuk saling memahami.  Dengan bekalan syariat Allah dan sunnatullah, sempurnalah perjalanan sebuah rumah tangga.


    "Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan separuh daripada agamanya.  Maka bertaqwalah kepada Allah untuk menyempurnakan separuh yang berbaki" (Al-Hadith)
  
"You complete me" - itulah realiti hubungan antara suami dan isteri.

Sunday, 31 July 2011

Warkah Buat Sahabat Qarib


WARKAH BUAT SAUDARAKU

Bismillahirrahmanirrahiim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

            Segala puji bagi Allah ta’ala, Tuhan yang menciptakan sekalian alam. Yang telah menciptakan manusia pada seindah dan sebaik-baik kejadian. Berjuta nikmat kurniaan-Nya tak mungkin terbalas oleh kudrat manusia selama hayatnya. Selawat dan salam buat junjungan Muhammad S.A.W, kekasih Allah, insan kecintaan seluruh umat manusia.

Salam perjuangan.
Salam ukhuwwah fillah.
            Buat Muslimin dan muslimat yang bijaksana. Semoga sahabat-sahabat semua berada dalam keadaan yang baik. Semoga tenang dan bahagia dalam keredhaan dan rahmat Allah S.W.T. Semoga selamanya dalam jalan perjuangan yang suci ini, dalam nikmat Iman dan Islam sampai ke akhir hayat.

            ‘Selemah-lemah ukhuwwah adalah bersangka baik pada sahabat’

            Semoga ukhuwwah yang terbina ini selamanya dalam syariat dan diredhai Allah serta berkekalan sampai ke akhir hayat. Walau jauh di mata, Insya-Allah selamanya dalam kenangan dan doa. Ukhuwwah akan benar-benar teruji  bilamana perpisahan datang mengundang. Hargailah ukhuwwah yang terbina, buanglah segala praasangka dan hasad dari dalam diri. Buka pintu hati seluas-luasnya untuk berukhuwwah, redha menerima kelebihan dan kekurangan sahabat-sahabat sabagaimana sahabat-sahabat cuba untuk menerima kelebihan dan kekurangan kita. Semakin kita cuba mengenali dan mempelajari mengenai sikap seseorang, ternyata kita semakin tidak mengenalinya.

Itulah hakikat. Kerana kita sendiri belum tentu seratus-peratus sudah mengenali diri sendiri seperti mana orang lain mengenali diri kita. Terimalah seadanya. Seandainya didapati kita bermasalah dengan sahabat, marilah bersama-sama memeriksa diri, tidak mustahil puncanya adalah kerana kita bermasalah dengan Pencipta kita sendiri. Allah adalah sumber kekuatan, sebaik-baik Pembantu dan Pembimbing.

            ‘Senyum itu sedekah’  

            Seyumlah… kerana senyuman adalah titik tolak sebuah pertemuan dan penyeri kepada suatu ukhuwwah. Buang segala terasa, marah dan dendam di hati. Berbahagialah untuk kejayaan sahabat, bantu dan tampunglah kekurangan mereka.

            ‘Sesungguhnya setiap orang Islam itu bersaudara’

           Jujurlah, kerana kejujuran adalah sesuatu yang indah dalam kehidupan. Kejujuran dan berterus terang akan menghilangkan kemarahan dan kegusaran di hati. Kejujuran melahirkan kepercayaan. Kejujuran  hendaklah diterima dengan hati yang terbuka dan redha. Saling memberi dan menerima. Itulah indahnya berada dalam Taman Islami, ada sahabat yang sudi menegur dan memperbetulkan kesilapan diri. Teguran adalah tanda sayang dan kasih mereka.

Jadilah insan yang bertanggungjawab dan bertimbang rasa dalam segala urusan. Sudilah membantu pada mana-mana kelompangan yang kelihatan. Runtuhkan keegoan yang melangit kepada kerendahan hati yang serendah pepasir di dasar lautan. Jangan biarkan keegoan dan prinsip diri merosakkan ukhuwwah yang indah dan jalan perjuangan yang suci ini. Semoga kelemahan dan kehinaan diri kita tidak menjadi asbab terdindingnya hidayah dan bantuan Allah untuk perjuanganan dan kemenangan Islam..

            Jalan perjuangan ini tidak terbentang padanya permaidani yang indah. Di hadapan menanti liku-liku cabaran serta onak dan duri yang tidak diduga. Perjuangan baru bermula, tabahkan hati menghadapinya. Jangan biarkan ia hancur. Biar berlinangan air mata, pasti akan ada jalannya. Ibarat aliran sungai, walau padanya terdapat batu-batu besar dan pokok yang menghalang, pasti ada laluan untuknya. Sungai itu akan terus mengalir walau hanya melalui satu celahan sekecil zarah. Walau perlu menentang arus, jalan itu harus diteruskan. Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. ‘Dok perlu’ risau dan gusar. Yakinlah pada keajaiban dan bantuan Allah. Tidak ada yang tidak mungkin di mata Allah.

            Akhirul kalam, mohon ampun dan maaf sekali lagi andai ada tersilap kata atau 
terkasar bahasa. Mohon ampun dan maaf atas segala keterlanjuran dan kesilapan kata-
kata dan perbuatan samada yang disengajakan ataupun tidak, yang terzahir atau 
tersembunyi, awal akhir, dunia akhirat. Semoga sentiasa dalam keredhaan-Nya walau 
di mana jua berada. Semakin jauh kaki melangkah, semakin panjang jalan perjuangan. 
Onak dan duri sedia menanti. Tabahkan hati, kuatkan semangat, mantapkan ruhiyyah. 
Berbahagialh kerana termasuk di kalangan mereka yang diuji. Ujian tanda kasih Allah 
pada hambaNya. Ujian bukanlah untuk diminta dijauhkan dari kita. tetapi adalah untuk 
ditempuhi dengan sabar dan taqwa. Ujian mematangkan fikiran, mengampunkankan dosa,
 mendekatkan hamba pada Tuannya. Setiap detik adalah tarbiyyah dari-Nya. Wallahu’alam...
                       
Ampuni kami Ya Ghaffar. Kedua ibu bapa kami, saudara, kaum kerabat, sahabat-sahabiah kami serta sekalian muslimin dan muslimat. Berilah kami hidayah dan taufiq-Mu. Kurniakan kami redha-Mu serta jauhkanlah kami dari murka dan azab api neraka-Mu. Wahai Yang Memperkenankan doa, perkenankanlah doa kami ini Amin Ya Rabbal ‘alamin….

            Syukran. Wassalam...