Zikrullah
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers
Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers
"Cinta Hakiki Khaliq Terbit Dari Kalbu Nan Suci.Rintihan Hati Luahan Perasaan Yang Dituturkan DihadapanNya Menggamit Rasa Syahdu Memecah Kesunyian Malam Justeru Melahirkan Sentuhan Jiwa Dan Ketenangan Pada Hati ,Yang Merindui Penciptanya".

Monday, 21 November 2011

Ada Masa Kita Berada Di Atas, Ada Masa Akan Berada Di Bawah.

Hidup ini umpama putaran roda, ada masa kita berada di atas, ada masa akan berada di bawah. Menjadi pelajar, akhirnya saya berpeluang untuk mendalami ungkapan ayat tersebut. Memang ianya kena pada banyak situasi. Dulu, saya sering mengaitkan ayat tersebut kepada golongan artis  (waktu itu saya gila membaca Majalah MEDIA). Ya lah, kehidupan artis kan tidak selamanya berada di zaman popular, ada masa akan jatuh juga dan akhirnya akan hilang dalam ingatan masyarakat.


Bila menjejaki alam kerjaya, saya mula mengaitkan ungkapan ini dengan situasi yang lebih real, iaitu situasi di persekitaran kerja. Dalam sesebuah organisasi, kita maklum adanya tingkat-tingkat kepimpinan. Ada yang menjadi ketua, ada yang menjadi pekerja biasa. Ada ketua yang baik, ada ketua yang dihormati, ada ketua yang disegani, ada ketua yang ditakuti, ada ketua yang langsung tidak dipandang oleh golongan bawahan dan sebagainya.


Tetapi yang biasa terjadi ialah – ketua yang ditakuti tapi tidak dihormati. Golongan seperti ini selalu wujud dalam organisasi. Ketua yang ditakuti biasanya mempunyai kebolehan untuk mewujudkan suatu perasaan takut atau tertekan di kalangan pekerja bawahan atau rakan sekerja. Takut untuk bekerjasama.


Ketua seperti ini juga sangat suka mengarah-arah. Sangat suka ikut campur dalam setiap perkara dan suka juga memalukan rakan sekerja di hadapan rakan sekerja yang lain. Ya lah, sudah ada pangkat sebagai ketua. Mestilah dia boleh bertindak sesuka hatinya dan akhirnya mewujudkan situasi takut dan tidak senang (benci) di kalangan orang bawahan atau rakan sekerja.


Lalu, ramai yang ternanti-nanti dan berharap-harap ketua seperti ini menjadi pekerja biasa dan bukan lagi ketua.


Baru-baru ini berlaku sedikit perubahan organisasi di tempat saya bekerja dan si ketua yang jahat ini tidak lagi menjadi ketua.


Apa yang terjadi bila ketua yang jahat ini menjadi pekerja biasa?


Seperti dia tidak wujud dalam organisasi tersebut. Tidak ada lagi yang takut kepadanya. Apakan lagi hormat, sebab selama ini dia sendiri tidak menerapkan nilai hormat itu dalam dirinya dan juga orang lain.


Tahap kedudukanya pada masa ini adalah seperti berada di bahagian roda yang paling bawah sekali. Entah bila lagi akan berada di atas.


Nota sampingan: Maaf jika tulisan ini agak celaru. Saya sengaja menulis begitu agar tidak jelas sangat. Apa yang pasti, kisah si ketua jahat ini menjadi suatu pengajaran kepada diri saya sendiri agar sentiasa berpada-pada dalam segala situasi. Dan rasa syukur saya panjatkan bila mendapat ketua baru yang lebih baik dari sebelum ini dan disamping banyak menerapkan nilai keislaman dalam organisasi...dan paling saya kagum dengan ketua baru sekarang dia lebih suka menganggap pekerjanya sebagai kawan..sering memberi nasihat, memberi tunjuk ajar dan menegur pekerjanya dengan cara yang berhemah..

Saturday, 12 November 2011

TETAPI YANG SEPATUTNYA (CINTA ADD KASIH ADD SAYANG ADD HATI)

CINTA :
(sebelum kahwin)
Cubit kiri, kanan rasa.
Impian indah ibarat syurga.
Nikah impian utama.
Taat setia membawa bahagia.
Awal dan akhir bersama-sama

(selepas kahwin)
Cuka yang dituang pada luka.
Iblis yang merosak minda.
Nafsu semata-mata.
Tuba yang dibalas semula.
Api dalam neraka.

KASIH :
(sebelum kahwin)
Kongsi semua suka duka.
Abang adik, ayang anja.
Sumpah janji di bibir sentiasa.
Istana bahagia dah dicipta.
Hatiku hatimu jua.

(selepas kahwin)
Kaki tangan naik kat kepala.
Abuk pun tara, nak makan apa??
Simpati langsung tak ada.
Ironi membakar jiwa.
Hidup mati sama je.

SAYANG :
(sebelum kahwin)
Sikit-sikit SORRY, sikit-sikit SORRY, mengada!
Asal free mesti nak jumpa.
You lap me, I lap you!
Apa saja sanggup diduga.
Nak itu, nak ini... mesti dapat.
G ula-gula, coklat, teddy bear hadiah utama.

(selepas kahwin)
Salah sikit kiamat dunia..!!
Air tak sedap, basahlah mata.
Yang betul dia je.
Ada takde, bagi anak reti la.
Nak dilawan, digelar derhaka.
Gaduh sampai lebam.

HATI :
(sebelum kahwin)
Hanya dikau yang daku cinta.
Air paip pun manis macam gula.
Tak jumpa sehari boleh jadi gila.
Igauan indah tak terkira.

(selepas kahwin)
Hantu jembalang lagi sempurna.
Air mata jadi teman setia.
Tempat mengadu dah tak ada.
Ikut hati mati, ikut rasa binasa... nak buat macam mana?

TETAPI YANG SEPATUTNYA (CINTA ADD KASIH ADD SAYANG ADD HATI)

Cinta sebelum berkahwin, biar sederhana, tak melanggar batas agama.
Impian rumahtangga dirancangkan bersama (bukan praktikal sebelum nikah)
Nikah didahulukan pembuka gerbang kebahagiaan.
Timang cahaya mata sebagi pengikat kasih sayang.
Amalkan perintah Tuhan, Insyaallah bahagia membawa ke syurga.

Kasih berputik dikala pertunangan diikat.
Akad dilafaz cinta berbunga.
Suami disanjung-tinggi.
Isteri disayangi.
Harumlah kasih sepanjang zaman.

Sayangkan Isteri kasihkan suami.
Ada masalah, dibincangkan bersama.
Yang ringan sama dijinjing, berat sama dipikul.
Amalkan hidup bertoleransi.
Nak kekalkan bahagia, itu usaha bersama.
Gaduh sesekali tu perkara biasa.

Hati suami mesti dijaga.
Apatah lagi hati isteri yang mudah tersentuh.
Tanggung-jawab dipikul bersama.
Isteri tak makan hati, suami pun tak cari ganti.

Friday, 4 November 2011

Semua Itu Mendewasakan Aku

Assalamualaikum.....


Sudah lama rasanya aku membiarkan laman ini....bukan sudah di lupakan, tetapi kekangan masa yang menjadikan aku tidak sempat untuk mengupdate blog ini...


Benarlah manusia akan berubah, tapi itu semua terpulang pada individu itu sendiri..begitu juga dengan iman seseorang. Benarlah iman kita ini ada musimnya, ada pasang dan surutnya, ada naik dan turunnya. Sekejap di atas, beberapa minitnya mungkin di bawah. Astaghfirullahalazim.


sudah lama tiada sesi menulis di ruangan ini. lebih kepada luahan..


Ada masanya kita sangat suka melakukan kebaikan dan kebajikan, bijaksana dalam mentadbir perasaan dan mengawal hati. Dan ada masanya juga, hati kita menjadi goyah. Mudah terpengaruh dan tergoda dengan hasutan syaitan dan nafsu jahat.


Seketika kita mungkin tekun dan khusyuk di atas sejadah, membaca Quran, menolak segala bisikan-bisikan yang memudaratkan jasad dan rohani. Dan beberapa ketika kemudiannya, kita mungkin asyik berkumpul bersama sahabat. Mengumpat dan memfitnah tanpa sedikit rasa kesal di dalam jiwa.


Kita mungkin begitu. Saya juga tidak terkecuali. Ada masanya, saya juga tewas! Allah...ampunilah dosa hamba mu ini....


Sudah tiga tahun 6 bulan aku berkhidmat sebagai kakitangan di bawah naungan Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim  Sarawak (LKAYS)..Tanggungjawab menjaga kebajikan anak-anak yatim yang diamanahkan membuat aku sentiasa memohon pada Allah agar permudahkan segala urusan aku untuk menjadi seorang yang amanah, jujur, dan bertanggungjawab..Aku perlu tempuhi suasana yang begitu menguji ujian iman dan akhlakku, moga segala urusan aku ini akan dipermudahkan oleh Allah SWT.


Pengalaman ini banyak mengajar aku untuk sentiasa berhati-hati dan pandai menghormati orang sekeliling, jangan terlalu takbur atau sombong berada di Bumi Allah ini...Aku sentiasa memohon pada Allah moga setiap langkah dan perjalanan hidup ku didorong ke jalan kebaikan dan diredhai oleh Allah..insyAllah....


Mungkin bagi sesetengah orang, menjaga kelakuan dan pertuturan tidak susah. Apatah lagi menjaga hati. Bukanlah susah sangat kerana apa yang ada dalam hati kita, tiada siapa pun yang tahu. Kita mungkin membenci dan mendendami sahabat kita, tapi selagi kita tidak mengucapkannya dengan bibir kita, atau menunjukkan sebarang kelakuan yang mencurigakan.


Tiada siapa yang tahu!


Kita mungkin berprasangka negatif terhadap kawan kita. Mencurigai dan sering berburuk sangka padanya. Tidak ikhlas bersahabat dengannya. Tapi selagi kita tidak mengakuinya dengan lidah kita. Tiada siapa yang tahu.


Jadi, bukanlah susah menjaga hati. Siapa kata untuk menjaga hati bukanlah sesuatu yang susah, Tapi hakikat yang sebenar ianya bukanlah sesuatu yang mudah...Pengalaman pertama bergelar ibu, kakak kepada anak-anak yatim dan adik-adik yatim, bukanlah suatu yang mudah, aku masih mencari pendekatan untuk mudahkan mereka fahami apa yang akan aku sampaikan...Mungkin keadaan yang tidak mematangkan dan mendewasakan anak-anak yatim ini...rasa terguris dengan sikap anak-anak yatim, ya pegalaman ini sudah pun aku rasakan...Tapi itu mungkin bukan salah mereka, Mungkin keadaaan yang menjadikan mereka sedemikian...Hanya Allah Yang Maha Mengetahui....Wallahualam...


Tapi bagi saya, menjaga hati ini bukanlah suatu yang mudah. Sangat sukar. Kadang masanya, di awal perbuatan dimulakan dengan niat yang baik, namun dipertengahannya sempat hati ini menyeleweng. Terbit perasaan-perasaan negatif cuba mencuri tumpuan. Kadang-kadang mengerti niat sahabat adalah baik, menegur untuk mengingatkan. Tapi hati ini tetap juga negatif, degil untuk menidakkan. Memprotes. Dijentik amarah.


Allah berfirman;


"Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan Ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (A-li'Imraan 3:29)


"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". (Al-Baqarah 2:286)

Sunday, 30 October 2011

Rindu Ku Biarkan Terus Mekar

Pada saat kesunyian kita selalu kembali dalam kenangan. Sewaktu keseorangan kita sering tenggelam dalam kerinduan. Sehingga kita lupa bahawa masa lampau adalah sesuatu yang pasti tidak akan kembali, yang ada hanya hari ini yang berbaki dan esok yang belum pasti.


Rindu itu anugerah dari Tuhan. Menanggungnya umpama kesakitan yang membakar semangat. Menderita kerinduan jangan membunuh iman, tapi kurniaan yang membawa dekat kepada Tuhan.


Rindu seorang hamba pada Tuhannya akan membawa amal yang berpanjangan. Rindu seorang umat pada rasulnya akan membakar semangat jihad ynag berkobar. Rindu seorang pejuang pada kemenangan yang sangat dekat akan mengesat peluh dan airmata yang tumpah dalam perjuangannya.


Dan rindu seorang aku, fitrah anak rantau yang jauh dari keluarga. Rindu ini tidak pernah padam, terus membara dan menyala. Kesakitan rindu ini yang meniup semangatku agar tabah mengutip ilmu. 


Sengsara rindu ini yang menjadikan aku berdiri pada siapanya aku. Agar tidak aku lupa diri pada susur galur kejadian dan kehidupan ku. Rindu ini akan membawa aku pulang, kelak bila amanah sudah langsai, bila kerja sudah selesai, kerana penawar rindu ini tiada disini. Biar rindu ini terus mekar agar aku tidak lupa aku siapa…

Didik Hati



Langkah-langkah hidup akan menemukan kita dengan persinggahan yang pelbagai. Setiap persinggahan pula akam melakarkan kenangan yang akan ditinggalkan. Hidupkan kenangan-kenangan itu sebagai pengajaran di masa mendatang.


Setiap persinggahan akan berbeza ceritanya, berlainan plotnya. Ada kisah gembira dan akan ada kisah gulana. Namun kalau ketemu insan-insan yang menyeksa kehidupan, belajarlah untuk tidak menyalakan api kebencian.


Bagaimana? Fikirkan begini…setiap yang Allah ciptakan tiada satu pun yang sia-sia melainkan kita yang selalu mensia-siakan kurnian Allah. Segalanya dengan hikmah yang terahsia. Hikmah itu yang perlu dicari dan digali. Ingatlah segala yang ada disekeliling kita adalah sesuatu yang Allah kirimkan sebagai rahmat, tapi sekadar pinjaman sementara yang akan pergi pada bila-bila masa.


Ada insan yang Allah kirimkan agar menjadi orang yang membantu segala sesuatu. Ada insan yang Allah hantar untuk memberikan ilmu, mengajarkan makna hidup, paling tidak pun menjadi teman-teman agar hidup ini tidak membosankan. 


Cuma, versinya berbeza kerana subjek kehidupan bukan seperti kuliah yang ada peperiksaan dihujung semester. Makna hidup perlukan pengalaman, penilaiannya setiap saat dan hasil ujiannya hanya ada di Mahsyar.


Pasti pernah ada ketika hadir manusia-manusia yang sengaja menyakitkan. Datang membawa seribu satu beban dan kemarahan. Berbicara dengan lidah melukakan hingga memberi tekanan dan kadang-kadang menyebabkan air mata berlinangan. Andai datang saat ini, belajarlah bersabar. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bersabar. Memang dia dikirimkan untuk menguji kesabaranmu. 


Redhakanlah hati bahawa diri ini bukanlah insan yang sempurna jadi mengapa mengharap semua orang yang ada dalam hidup kita ini adalah baik-baik belaka. Berikanlah kemaafan atas kesilapannya kerana dia juga insan sepertimu yang sedang mencari makna kehidupan. Mungkin dia khilaf kerana dia tidak tahu. 


Bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Sesungguhnya dengan memberi kemaafan engkau meringankan beban mu sendiri. Jika terasa terlalu payah maka titipkanlah namanya dalam bait doa-doamu. Agar kebencian dihatinya pudar bertukar kasih.


Janganlah tatkala berhadapan dengan insan seperti ini, kau lawan dengan api kebencian, tiada siapa yang akan menang. Kelak akan membawa kepada permusuhan yang panjang.Janganlah hati nan sekeping ini dicemari rasa benci. Diri sendiri yang akan rugi. 


Bukankah nabi pernah berpesan; “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga ia mencintai saudaranya seperti mana ia mencintai dirinya” (riwayat Bukahri dan Muslim)


p/s Didiklah hati, jangan hidupkan perasaan benci..

Friday, 28 October 2011

Bahaya Lidah


Sedikit renungan pendek untuk kita hayati bersama-sama. ...

Pepatah mengatakan, lembut lidah tidak bertulang, tetapi kata-katanya menusuk seperti belati. Berhati-hati, jenayah menggunakan lidah tidak akan kita nampak dosanya di hadapan mata, tetapi dosa-dosa ini akan diperlihatkan di kampung akhirat nanti.

Lidah untuk berkata-kata tetapi adakah kita menggunakan lidah untuk meluahkan perkataan yang elok-elok? Sebabnya yang sering berlaku, kita menggunakan lidah untuk berbual kosong, mengumpat, bercakap perkara sia-sia sehingga kadang kala melampaui batas.

Jenayah lidah juga menjadi 
racun yang mematikan kasih sayang dalam pergaulan sesama insan, menyuburkan benih dendam dan kebencian dalam persaudaraan. Apabila manusia terdedah kepada bahaya fitnah, saling mencela, berprasangka buruk atau menghina secara terang-terangan maka akan rosaklah kehidupan yang asalnya aman dan damai.

Disebabkan itu, Rasulullah SAW mengingatkan kita dalam sabdanya yang bermaksud,
“Sesungguhnya seorang hamba Allah mengucapkan satu perkataan yang dibenci Allah ia tidak ambil hirau, menyebabkan dia terjerumus ke dalam api neraka (jahanam).” (Hadis riwayat Bukhari)

Banyak sekali peringatan mengenai bahaya lidah ini. 
Dalam bahasa kita, istilah yang kita gunakan adalah mulut jahat. Lidah memang tidak bertulang, mudah berkata tetapi kadang kala percakapan itu menolak seseorang ke jurang neraka.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud, “Tidak ada sesuatu yang menjerumuskan manusia ke dalam api neraka kecuali dosa-dosa percakapan kotor dan jahat.” (Hadis riwayat ahli sunnah dan Ahmad)

Berbahasa kasar dan mulut jahat bukan tabiat orang beriman. Hal ini seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Seseorang mukmin bukan seorang yang suka mencaci atau suka melaknat orang lain dan dia juga tidak bersifat jahat di samping ia tidak bersikap buruk.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Rasulullah SAW bersabda bermaksudnya,
“Tidak lurus (istiqomah) iman seseorang hamba itu sehingga hatinya lurus dan hatinya tidak akan lurus sehingga lurus lidahnya.” (riwayat Ahmad)

Maksud istiqomah ialah tetap teguh di atas jalan yang betul lurus yang membawa keredhaan Allah SWT. Dasar istiqomah adalah istiqomah hati iaitu lurusnya hati di atas tauhid. Apabila hati telah beristiqomah kepada Allah dalam erti kata takut, cinta, tawakkal dan mengagungkan Allah maka seluruh anggota tubuh akan taat kepadanya. 
Ini ialah kerana hati adalah raja kepada badan manakala anggota badan adalah rakyatnya.

Anggota terpenting selepas hati yang mesti diberi perhatian serius agar beristiqomah ialah lidah kerana lidah adalah terjemahan hati yang menggambarkan pemikiran seseorang.

Oleh itu, peliharalah lidah sebaik-baiknya. Strategi paling berkesan bagi menghindari maksiat lidah sudah diajar Baginda SAW melalui penyaksian Ummul Mukminin Aisyah yang berkata, “Sesungguhnya Rasulullah sentiasa berzikir kepada Allah setiap saat.” (Hadis riwayat Muslim)


Alangkah eloknya apabila kita boleh memujuk diri dan membulatkan tekad untuk sentiasa berzikir seperti mana amalan Baginda SAW. Walaupun tujuan sebenarnya ialah untuk menghadirkan Allah pada setiap perbuatan, supaya lurus segala amal zahir dan batin, amalan zikrullah juga diyakini boleh menyibukkan lidah dan hati sehingga keduanya tidak berpeluang melakukan maksiat. Zikrullah menjamin hati yang sempurna, hati yang hidup dan jasad sentiasa bergerak untuk kebaikan.

Renung-renungkan!

Hadis Rasulullah SAW: Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW., sabdanya: "Siapa yang tasbih tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya seratus dengan membaca: "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan." (Hadis riwayat Muslim)

Friday, 21 October 2011

Iman Teguh Elak Penyakit Jiwa


PENYAKIT psikologi seperti tekanan perasaan, bimbang, sedih, hasad dengki serta putus asa sebenarnya berpunca daripada fikiran tidak rasional yang ada dalam minda seseorang. Ia berlegar di sekitar salah faham terhadap empat perkara pokok iaitu :
1- Allah
2- Hakikat diri insan
3- Hakikat dunia
4- Hari akhirat.
Beberapa contoh salah faham terhadap Allah ialah seseorang yang berusaha keras dan berasakan dengan pasti bahawa dia akan mendapat apa yang diusahakannya. Namun apabila gagal, dia akan berasa sedih dan tertekan.
Begitu juga keadaan seseorang yang putus kasih, akhirnya menyebabkan dia berada dalam kesedihan yang melampau serta putus harap. Sama juga yang sedih dan terkilan kerana segala pengorbanannya tidak diiktiraf oleh majikan hingga melemahkan semangat untuk terus cemerlang.
Banyak lagi contoh yang dapat diketengahkan, namun apa yang pasti semua permasalahan psikologi tadi disebabkan jahilnya kita dengan hakikat Allah atau jauhnya Allah daripada kehidupan kita.
Harus diingat bahawa Allah yang menentukan segala keputusan. Kita hanya sekadar merancang dan melakukan yang terbaik. Selebihnya serahkan kepada Allah . Dengan berpendapat bahawa kita mesti dapat apa saja diusahakan adalah sesuatu yang tidak rasional dan akhirnya menyebabkan kita tertekan serta merana.
Di sinilah konsep tawakal dan kepercayaan kepada qada dan qadar perlu diingatkan. Bagi individu yang putus kasih, seharusnya beliau memahami jodoh pertemuan di tangan Tuhan dan di sebalik apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)
Dalam hal seseorang yang terkilan kerana tidak mendapat perhatian sewajarnya, beliau harus ingat bahawa Allah Maha Mengetahui dan segala sesuatu pastinya tidak terlepas daripada pandangan-NYA.
Sebab itulah kita sewajarnya bersikap ikhlas dalam pekerjaan kerana mungkin kita tidak mendapat perhatian dan pengiktirafan duniawi, namun kita akan mendapat ganjaran lebih besar dan bermakna di akhirat nanti. Contoh di atas, jelas menunjukkan kejahilan terhadap Tuhan punca penyakit psikologi yang kita alami.
Salah faham terhadap hakikat diri, contohnya seseorang yang berfikiran bahawa harta dapat menjamin kabahagiaan, tetapi apabila harta sudah banyak, bukannya hati bertambah senang, malah semakin tertekan.
Anak beranak berpecah belah kerana harta dan ada yang sanggup berbunuhan kerana tamakkan harta. Tidur malam tidak sempurna sama ada asyik memikirkan bagaimana mahu menambah harta atau takut harta dilarikan orang.
Jika kita mengenali siapa kita sebenarnya, iaitu hakikat ruh dan jasad, kita akan mengetahui hakikat diri yang sebenar adalah ruh bukannya jasad. Jasad hanya kenderaan bagi ruh dan harta pula hanya sekadar memenuhi kehendak jasad.
Apabila mati, jasad kita tinggalkan akan hancur musnah, tetapi roh (yang kita rujuk sebagai ‘aku’) akan meneruskan perjalanan ke alam berikutnya.
Faktor utama yang membahagiakan roh adalah kenal dan dekatnya ia dengan Tuhannya. Sebab itu, lagi dekat kita dengan Allah , lagi bahagia kita rasakan, tetapi lagi jauh kita dengan Tuhan, bertambah sengsara kita rasakan.
Orang kaya-raya dan berkedudukan, tetapi tidak mengamalkan ajaran Allah dan Rasul, rohnya sakit dan tidak akan bahagia. Hatinya penuh dengan tamak haloba, hasad dengki dan segala macam penyakit psikologi lain. Namun jika rohnya sihat, tetapi berkurangan sedikit daripada aspek keperluan jasadiah, dia masih tersenyum bahagia.
Salah faham terhadap dunia berlaku apabila kita mengharapkan sesuatu bersifat duniawi akan kekal. Kasih suami pada isteri, ibu pada anak, biar seutuh mana sekalipun, pastinya akan berkesudahan dengan perpisahan.
Tiada yang kekal kecuali Allah . Oleh itu, mengharapkan sesuatu yang tidak kekal supaya kekal adalah tidak rasional. Kita yang akan merana jika fahaman sebegini berada dalam kotak fikiran.
Disebabkan itu, dalam hadis Rasulullah SAW berkaitan pemilihan pasangan, Rasulullah SAW menyuruh kita memilih pasangan yang beragama, kerana agama adalah sesuatu yang kekal. Rumah tangga yang dibina atas asas agama pasti lebih utuh daripada yang dibina atas asas kecantikan dan harta yang sifatnya sementara.
Salah faham terhadap hari kemudian berlaku apabila kita menganggapnya tidak penting kerana ia jauh dan tidak nampak. Namun sebaliknya, hari akhirat adalah penting kerana ia adalah destinasi terakhir dan abadi.
Memahami hakikat ini, kita sewajarnya tidak mudah menangis dan berasa sedih apabila berhadapan dengan permasalahan duniawi. Kita sepatutnya tahu menyusun keutamaan dengan mendahulukan apa yang dapat menjamin kebahagiaan kita di sana.
Ada tiga perkara yang perlu kita usahakan sebagai bekalan di akhirat nanti seperti yang disaran Rasulullah SAW iaitu anak salih yang mendoakan kedua ibu bapanya, ilmu yang bermanfaat dan sedekah jariah.
Bersesuaian dengan pentingnya amal jariah, penubuhan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sebagai institusi amal jariah haruslah dimanfaatkan sebaik-baiknya.
Banyak penyakit psikologi dialami masyarakat hari ini berpunca daripada kejahilan atau kurangnya ilmu khususnya berkaitan empat perkara. Sumber ilmu yang benar seharusnya daripada agama. Agama memberikan mekanisme pertahanan yang kuat untuk kita berdepan segala cabaran di dunia.

Tentang Penyakit
Ada 2 macam penyakit:
  • Penyakit Jasmani
  • Penyakit Jiwa
Penyakit Jasmani
Penyakit Jasmani adalah penyakit yang sudah banyak kita kenal dan hampir seluruh manusia pernah mengalaminya. Hal tersebut dapat kita obati dengan cara secara medis maupun secara tradisionil/ pengobatan alternative.
Penyakit Jiwa
Sedangkan penyakit Jiwa adalah penyakit yang berasal dari dalam diri manusia itu sendiri yang mengakibatkan terganggunya system syaraf,sehinga mengakibatkan gerak gerik dari pada manusia tersebut menjadi tidak terkontrol atau tidak normal.
Sifat-sifat yang banyak menimbulkan penyakit dan menggerogoti jiwa seperti;
  • HASAD (iri hati)
  • HAQAD (dengki atau benci) SUUZ-ZAN (sangka buruk)
  • KIBIR (sombong) UJUB (merasa sempurna diri dari orang lain)
  • RIYA (memamerkan kelebihan)
  • SUMA (cari-cari nama atau kemasyuran)
  • BUKHUL (kikir)
  • HUBBUL MAL (kebendaan)
  • TAFAHUR (membanggakan diri)
  • GHADAB (pemarah)
  • GHIBAH (pengumpat)
  • NAMINAH (bicara belakang orang)
  • KIZIB (dusta)
  • KHIANAT (munafik)
Cara Membersihkan Diri
  1. Niat yang baik dan benar
  2. Tidak menyekutukan Allah/syirik
  3. Sholat diawal waktu
  4. Perbanyak sholat sunah
  5. Tidak batal wudhu
  6. Perbanyak baca Al Quran
  7. Perbanyak wirid/zikir
  8. Tidak menyia-nyiakan perkataan dan perbuatan
  9. Kurangi makan
  10. Kurangi tidur.