"Cinta Hakiki Khaliq Terbit Dari Kalbu Nan Suci.Rintihan Hati Luahan Perasaan Yang Dituturkan DihadapanNya Menggamit Rasa Syahdu Memecah Kesunyian Malam Justeru Melahirkan Sentuhan Jiwa Dan Ketenangan Pada Hati ,Yang Merindui Penciptanya".

Monday, 24 September 2012

Kita Merancang Allah Tentukan


Ujian selalu datang dalam hidup kita. Ujian itu hadir tika kita sedih dan juga tika kita bahagia. Allah telah memberikan banyak ujian kepada kita untuk menempuh kehidupan di dunia ini. Kekasih Allah juga diuji dengan bermacam-macam ujian yang menyantuni keimanan begitu jugak kita. Tetapi ujian yang diberikan kepada kita tidak sehebat para kekasih Allah itu. Bagaimana hati kita apabila menghadapi sesuatu musibah itu. Apa sebenarnya yang kita lakukan untuk mengubati hati kita yang tengah berduka itu. Adakah kita hanya terus-menerus bersedih atau kita mencari Allah untuk meluah rasa kasih.

Kita terkadang diuji dengan bermacam-macam ujian, ujian di dalam kehidupan seperti persahabatan, kewangan, percintaan dan sebagainya. Lebih sakit lagi apabila Allah memberikan seseorang yang kita cintai atau sayangi menjadi alat untuk menjadi ujian kita. Teruji kita pada ketika itu. Harus kita ingat mencintai bukan bererti kita memiliki. Di dalam perkahwinan juga hebat ujiannya. Ramai orang beranggapan apabila kita sudah mendirikan rumah tangga kita akan selamat dari perkara-perkara maksiat dan fitnah manusia. Sebenarnya, perkahwinan adalah permulaan bagi kita menjadi seorang manusia bagi kita untuk menilai siapa pasangan yang kita cintai itu. Ujian makin hebat, pergerakan akan menjadi terikat dan batasan harus diambil berat.

Tidak perlu kita hairan pasangan yang berkahwin selama berpuluh tahun juga turut menghadapi perceraian. Kerana apa? Kerana sudah tiada kepercayaan. Sekadar ungkapan cinta sahaja tidak mencukupi. Kepercayaan, ketaqwaan dan keimanan disulami dengan kejujuran harus diadun bersama agar kita mampu mempertahankan tembok yang kita bina itu. Hati memainkan peranan penting. Buat pasangan yang begitu hangat bercinta mungkin mereka tidak memikirkan soal ini. Hanya membayangkan bahagia semasa bercinta tetapi bagaimana bila sudah mendirikan rumah tangga.

Ingatlah, ketika mana kita melafazkan kata ‘cinta’ kepada seseorang itu bermakna kita berjanji untuk bertanggungjawab kepada dirinya. Oleh itu, jagalah dia sebaik mungkin. Lindungi dia bukan merosakkan! Mungkin Allah datangkan orang yang kita cintai itu merupakan ujian buat kita. Mungkin ujian untuk menjadikan kita tabah atau menjadikan kita lemah. Kita harus pandai menilainya. Boleh jadi apa yang kita benci itu akan memberikan kebaikan kepada kita dan boleh jadi apa yang kita suka itu akan memberikan kemudharatan kepada kita.Wassalam.

Saturday, 22 September 2012

Wanita :- Suara itukan Aurat


بسم الله الرحمن الرحيم

InsyaAllah... Entry kali ni nak cerita pasal suara pulak. Bukan suara orang lelaki tapi suara wanita...diulang lagi sekali: suara wanita..Bukanlah bermaksud nak cerita detail aurat ke tak aurat ke.. Bukan juga nak cerita cara kontrol pernafasan waktu bersenam, atau cara nak buat pitching suara waktu nyanyi ke apa ke... masih bukan. Untuk suara orang lelaki pula rasanya tak perlu dibincangkan dah, sebab takda apa-apa masalah. Boleh bercakap lagi dan lagi...boleh bagi bayan lagi dan lagi...kami pun nak dengar lagi dan lagi... :)

Bagaimana cara kaum wanita untuk mengontrol suara apabila perlu berbicara kepada kaum lelaki yang bukan mahram? Ingat ya, 'jika terpaksa'...bukan saja-saja...

Dipetik dari kitab Al-Azkar An-Nawawi (kitab panduan kehidupan beragama sehari-hari), mari kita baca...
[Masalah], Jika seorang wanita perlu untuk berbicara kepada lelaki yang bukan mahram kepadanya dalam hal jualbeli dan seumpama itu, maka hendaklah wanita itu menyaringkan suaranya dan mengkasarkannya. Dan jangan sesekali melembutkan suaranya kerana khuatir kalau-kalau orang yang mendengar suaranya itu akan terpikat kepadanya.
Sambungan dalam masalah ini lagi...
Berkata Imam Abul-Hasan Al-Wahidi dari para sahabat kami (dalam kitabnya, Al-Wasith): Memang dianjurkan bagi kaum wanita apabila dia berbicara dengan orang-orang asing (bukan mahram), supaya dikasarkan bicaranya, kerana cara begitu akan menghindarkan perhatian orang itu kepadanya. Allah Taala telah berpesan kepada Ummul Mukminin yang telah diharamkan secara peribadi dengan pesanan ini, dengan firmanNya:

يَـٰنِسَآءَ ٱلنَّبِىِّ لَسۡتُنَّ ڪَأَحَدٍ۬ مِّنَ ٱلنِّسَآءِۚ إِنِ ٱتَّقَيۡتُنَّ فَلَا تَخۡضَعۡنَ بِٱلۡقَوۡلِ فَيَطۡمَعَ ٱلَّذِى فِى قَلۡبِهِۦ مَرَضٌ۬

Ertinya: Wahai isteri-isteri Nabi. Bahawa kamu sekalian tidaklah sama dengan seorang pun dari wanita-wanita yang lain, jika kamu bertaqwa kepada Allah, maka janganlah kamu merendahkan suara kamu apabila berbicara, kelak akan tamak (terusik) orang yang di dalam hatinya ada penyakit...(al-Ahzab:32)

An-Nawawi berkata: Apa yang telah disebutkan Al-Wahidi tentang mengasarkan suara wanita itu, sama seperti yang dikatakan oleh para sahabat kami juga.
Berkata Syeikh Ibrahim Al-Mirwazi dari para sahabat kami: Cara hendak mengasarkannya, ialah dengan meletakkan belakang tangannya pada mulutnya, dan menjawab seperti itu (mengeraskan suara). Wallahu alam...
MasyaAllah...Kepada semua kaum wanita, mari kita praktik sekarang... Yang dah beristeri, boleh ajar isteri masing-masing... Nampak macam kecil ja kesnya. Sekarang ni akhir zaman, zaman kerosakan ummat, fitnah di mana-mana boleh berlaku...baik sangat jika dapat diamalkan. Maka inilah satu cara untuk mengelakkan kaum wanita daripada bahaya-bahaya fitnah.

Semoga dapat kekuatan untuk amal dan sampaikan. InsyaAllah...

Monday, 17 September 2012

Istiqarah Dulu Sebelum Dirimu Jatuh Cinta


بسم الله الرحمن الرحيم

REMAJA dan CINTA. Dua perkara yang berkait rapat, amatlah sukar untuk dipisahkan. Sewaktu umur mula mencecah belasan tahun, mulalah hati tertanya-tanya mengenai cinta. Timbullah pula perasaan ingin mencuba. Dan kemudiannya, berlakulah pula cinta sementara; sekadar mainan semata.

Apabila umur mencecah dewasa, semakin didalami dunia cinta. Kini nafsu pula menyulami rasa. Cinta kini bukan sekadar bersifat sementara, malah dibaluti maksiat menambahkan dosa. Tiadalah disedari betapa diri sudah dihanyuti. Apabila saban hari menambah kemurkaan Ilahi, akhirnya tersentap menanyakan diri; apakah benar yang dilakukan ini?

Sedangkan diri mula menyedari, bahawa bersama si kekasih itu hanyalah akan menambahkan dosa-dosa lagi. Namun diri ingin benar pulang ke pangkuan Ilahi. Bagaimana caranya Ya Rabbi? Tinggalkanlah sesuatu itu andai jelas ia hanya akan memberatkan lagi kantung dosamu. Sampai bila ingin berterusan dalam melakukan dosa sebegitu?

Benar. Bukan mudah untuk meninggalkan si dia, apatah lagi cinta yang disulami bertahun-tahun lamanya. Namun sanggupkah dirimu menjadi penghuni neraka hanya kerana ingin menyelamatkan cinta yang belum tentu bakal menjadi milikmu buat selamanya? Kalau benar dirimu sayang pada dirimu sendiri, cinta dan si dia, lepas-lepaskanlah. Andai cinta dan maksiat ini berterusan, sanggupkah dirimu dan dirinya bertarung seksa di neraka Allah kelak?

Tiada gunanya ke hulu ke hilir bersama kekasih tercinta, berpegangan tangan melepaskan rindu tetapi akhirnya tidak berkesudahan yang indah; tidak disatukan dengan si dia. Jodoh bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa. Kalau dia bukan untukmu, walau bercinta seribu tahun lamanya, kamu tetap tidak akan dapat memilikinya. Namun andai dia benar untukmu, walau tidak pernah bertemu, akan ditemukan jua oleh Allah untuk disatukan apabila tiba masanya.

Sudah begitu banyak cerita perihal jodoh yang baru bertemu pada pertama kali, namun terus disatukan tanpa perlu bercinta terlebih dahulu. Cintanya kemudian, yakni selepas disatukan. Fahamilah bahawa bila Allah sudah menetapkan dia untukmu, usah kau gusar kerana walau satu dunia menolaknya, jodoh itu tetap akan tiba dan engkau juga akan tetap dapat memilikinya.

Oleh yang sedemikian, janganlah engkau sesekali menggadaikan segala-galanya semata-mata untuk menjodohkan dirimu dengannya. Itu hanyalah perkerjaan yang sia-sia dan mendatangkan kemurkaan si Pencipta. Adalah menyedihkan apabila tiba masanya untuk disatukan dengan jodohmu yang sebenarnya, namun segala-galanya telah hilang kerana telah diserahkan pada kekasih yang terdahulu. Dan lebih menyedihkan andai engkau jelas tahu bahawa engkau sekarang terperangkap dan terhanyut dalam dosa cinta namun tetap berterus-terusan melakukan dosa yang sama.


Tinggalkanlah perkara itu andai ia membawa bibit-bibit dosa dalam hidupmu. Bahagiakah mendapat cinta manusia namun disulami kemurkaan Allah? Berkasih-sayang itu tidak salah. Mencintai seseorang itu juga tidak salah. Yang salah itu adalah apabila cinta itu salah dimanifestasikan.

Kalau benar sayangkannya, engkau akan sedaya upaya membawanya ke syurga. Andai tidak berjodoh sekalipun dengannya di dunia, mudah-mudahan engkau berjiran dengannya di sana. Namun andai ke hulu ke hilir bersama tanpa ikatan yg sah, apatah lagi berpegangan tangan dan melakukan perkara yang tidak bermaruah; itu hanya akan menjunamkan kamu berdua ke neraka.  Bercinta sehingga menimbulkan dosa-dosa maksiat itu bukanlah cinta sebenar. Itulah cinta yang diulit syaitan dan kenikmatan yang mengelabukan mata.

Cinta yang sejati ialah apabila cinta yang menemukan kembali dua hati di syurga. Cinta sebegini bukanlah cinta yang hina, malah cinta ini adalah cinta yang diredhaiNya. Oleh yang sedemikian, usahakanlah terlebih dahulu menjadikan dia sebagai cinta yang halal bagimu. Usahakanlah perkahwinan secepatnya; agar kamu berdua lebih terpelihara dan terjaga. Namun andai kata masih lagi terhalang dan belum tiba masanya, amanahkanlah si dia pada Allah. Allah akan mengembalikan dia kepadamu andai dia benar untukmu.

Doakanlah agar sepanjang perjalanan itu Allah melindunginya agar terpelihara dari gangguan yang lain dan pulangkanlah dia dan hatinya kembali kepadamu apabila tiba waktunya. Tidak perlu keluar berdua-duaan untuk menjaga hubungan cinta itu. Tidak perlu menayangkan gambar-gambar yang mendedahkan auratmu untuk meraih dan mengekalkan cintanya.

Tidak perlu meninggalkan mesej menggoda sehingga kesannya boleh menaikkan nafsu. Tidak perlu meluahkan kata cinta yang keterlaluan di Facebook sebagai bukti cintamu. Semua itu tidak perlu. Cukuplah kamu mengamanahkan dia pada Allah.

Namun andai dia berkesudahan dgn orang lain, usahlah kamu bersedih kerana Allah akan menggantikan apa yang kamu kehilangan dgn perkara yang jauh lebih baik.

Ummu Salamah sewaktu suaminya diambil Allah, dia berdoa agar Allah mengurniakan pahala di atas kehilangannya dan supaya Allah menggantikan kehilangan itu dengan perkara yang lebih baik. Waktu itu, tiadalah dia dapat menggambarkan siapakah yang lebih baik dari suaminya, Abu Salamah. Tidak tercapai dek akalnya siapa yang lebih baik dari suaminya itu.Namun tidak lama kemudian, Rasulullah S.A.W pun meminangnya. Benarlah bahawa Allah menggantikan apa yang Ummu Salamah kehilangan dgn yang lebih baik, dan tiadalah manusia yang lebih baik dari Rasulullah S.A.W.
Begitulah juga dengan kisah hidup manusia. Waktu ini mungkin dirimu merasakan bahawa mana mungkin perasaan cinta ini pada si dia ini dapat hilang walaupun dia ditemukan jodohnya dengan orang lain. Tahukah kamu bahawa dirimu sekarang dalam keadaan fikiran yang tidak tercapai dek akal sebagaimana Ummu Salamah tidak dapat membayangkan siapakah yang lebih baik dari suaminya? Namun apabila Allah menggantikan yang lebih baik kepadamu, waktu itu barulah kamu mula akan menyedari bahawa benarlah Allah menggantikan yang lebih baik.

Waktu itu perasaan cinta pada si pengganti yang telah ditetapkan Allah padamu itu akan bercambah dan mekar mewangi. Dirimu akan jauh lebih menyayangi dan mencintainya berbanding si dia yang hanya singgah sebentar dalam hidupmu.

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu pada hal ia amat buruk untuk bagimu. Allah Maha Mengetahui sedang kamu tidak mengetahui,"(Al-Baqarah:216)
Oleh itu, jangan gusar untuk melepaskan si dia sementara waktu dan mengamanahkan dia pada Allah. Allah pasti akan memberikan yang terbaik kepadamu kerana Dia benar-benar tahu apa yang terbaik bagimu, lebih daripada pengetahuan yang ada padamu. Adalah tidak salah berhubung dan bertanya khabar namun ikhtilat mesti dijaga. Tidak perlu berbual lama di telefon sehingga menimbulkan syahwat, apatah lagi berbual di malam hari. Tidak perlulah mesej 'sayang dan sayang' melampaui batas sehinggakan boleh menyebabkan boleh terjerumus ke kancah maksiat. Ingat, jangan sesekali menghampiri zina.

Simpan itu semua untuk dinikmati selepas disatukan sebagai suami isteri. Waktu itu tidak perlu takut-takut lagi, malah mendapat pahala kerana menyayangi si dia yang halal bagimu. Jangan ragu-ragu untuk meninggalkan perkara yang jelas mendatangkan dosa. Tinggalkanlah sahaja kerana Allah, dan agar engkau tidak menzalimi diri sendiri. Dan juga, berisitikharahlah. Keputusan jodoh ini adalah sesuatu yang besar dalam hidup seseorang insan, dan oleh itu serahkanlah pada Allah untuk menentukannya kerana Dia tahu apa yang terbaik untukmu.

Jawapan istikharah tidak semestinya datang dari mimpi, bimbang mimpi itu dipengaruhi keinginan hati dan gangguan syaitan. Hasil istikharah itu sebenarnya ketenangan hati yang tidak berbelah bahagi dan juga jalan yang dipermudahkan Allah. Jangan mendesak Allah untuk memberikan jawapan. Beristikharahlah sehingga hatimu tenang dan mendapat jawapan yang jelas. Sabarlah sementara menunggu keputusan dariNya. Dan apapun yang terjadi selepas dirimu beristikharah, ingatlah bahawa setiap yang terjadi itu adalah yang terbaik untukmu dan untuknya, sebagaimana apa yang didoakanmu sewaktu dirimu beristikharah. Ingatlah juga, bahawa Allah ada bersamamu. Yakinlah pada Dia dan setiap perancanganNya.

Akhir kalam, jangan sesekali biarkan dirimu terus hanyut dalam dosa kemaksiatan. Cintalah Allah terlebih dahulu sebelum dirimu mencintai makhlukNya. Wallahu'alam.

Moga Allah sayang dan redha ^_^

Friday, 7 September 2012

Telah Tertulisnya Takdir..Yakinlah Pada Allah



بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 

Teruji sekeping hati dengan kehadiran insan yang memiliki ciri-ciri insan idaman. Hati yang tertutup rapat dari sesiapa yang pernah datang mula menerima kehadiran seseorang yang menghulurkan tali ikatan. Sungguh tidak terduga sebuah perasaan yang terpendam sendirian rupanya mendapat balasan. Hati mana tidak berbunga harapan.

Setulus itu dia datang dan menyampaikan pesanan beserta sekalung ucapan yang terlalu indah dirasakan. Namun, tidak terduga tangan yang sedang berupaya menyambut rupanya tidak kesampaian. Dicantas tegahan dan mundur segala keriangan.

Di saat hatimu teruji dengan ujian yang sukar dilawan, kehendakmu ditentang tiada sokongan, pertemuan kian di jemput perpisahan, sudah pasti tiada suatu kata bisa menggambarkan hancurnya perasaan. Namun, kita harus percaya pada takdir dan ketentuan. Setiap segala yang berlaku diluar perancangan kita, barulah kita sedar bahawa ada kuasa yang maha Agung telah mengaturkan semuanya.

Jika sesuatu ditakdir menjadi milik kita, berbekal usaha yang sedikit cuma, sudah mampu diraih dengan mudah. Namun, jika sesuatu itu bukanlah ditakdirkan menjadi milik kita, perancangan paling mega yang kita cetuskan pun tidak mampu menandingi takdir Ilahi, sudah pasti kita tidak akan bisa memilikinya.

Segala yang ada di dunia ini adalah hak Allah. kerajaanNya luas meliputi alam raya, angkasa dan segala-galanya adalah milik Allah. Dan apa yang Allah kurniakan kepada kita, itulah rezeki kita jua dariNya. Bersyukurlah. Jangan di tangisi apa yang bukan menjadi milik kita. Allah tidak mengizinkannya kerana Allah tahu kita berhak memiliki yang lain. Allah sedang menilai kesabaran kita dan jika kita bersabar tentunya ada anugerah dariNya buat kita.

Ibnu Atoillah : “Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”

Terkadang cinta yang menginap di hati manusia jua suatu ujian. Dihadirkan perasaan itu dan pula dijauhkan dari mendapatkannya. Makanya, kita teruji dan mendepani hari-hari suram. Cubalah sedaya upaya untuk menepis setiap godaan. Percayalah bahawa jika sesuatu yang ditakdirkan betul-betul untuk kita, sesukar apa pun, dia akan kembali kepada kita. Begitu jua lah sebaliknya.

“Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal. (Surah al-Taubah 9: 51).”

Sapulah air mata yang terbit dari rasa kecewa. Kau terluka dan merana, tentunya Dia mengetahuinya. Alangkah indahnya jika perasaan itu diganti dengan tawakal dan reda. Berdoalah pada Allah yang memiliki segalanya. Semoga Allah ubati kekecewaan yang dirasa dengan bahagia yang akan hadir di kemudiannya.

InsyaAllah…yakini bahawa Allah lah sebaik-baik pengatur kehidupan insan.

Tuesday, 4 September 2012

Tak Ku Pinta Kesempurnaan


بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


Ya Allah…
Aku tidak meminta seseorang yang sempurna dari sisiMu, tidak ya Rabb…
kerana Engkau pun pasti Maha Mengetahui sesungguhnya keadaanku,
Engkau tahu dulu aku ini hanyalah musuhMu yang pernah singgah di jurang nerakaMu, dan akupun tahu, tiada seorangpun yang sempurna di dunia ini dari kesalahan atau kekurangan,

Maka, aku meminta padaMu seorang yang tak sempurna ya Rabb, supaya dia merasa sempurna ketika diriku hadir dalam kehidupannya keranaMu…

  • Seseorang yang kan ku sayangi kerana kelembutan hatinya
  • Seseorang yang kan ku cintai kerana keindahan akhlaknya
  • Seseorang yang kan ku kasihi kerana kehalusan budinya
  • Seseorang yang kan ku kagumi kerana kesantunan sikapnya
  • Seseorang yang kan ku puja kerana kerendahan hati dan kesederhanaannya
  • Seseorang yang mahu menerima ku seikhlas hatinya…
  • Yang tak akan pernah ku menduakan cintanya hingga akhir hayatku tiba
  • Seseorang yang kan ku hibur hatinya bila dia sedang bersedih
  • Seseorang yang kan ku sapu air matanya ketika dia menangis
  • Seseorang yang kan ku jadikan bahuku tempatnya bersandar saat dia penat
  • Seseorang yang kan ku dengar segala kuluh – kesahnya
  • Seseorang yang kan ku pertaruhkan nyawaku demi menjaga kehormatannya
  • Seseorang yang ketulusan dan kesetiaan hati ini hanyalah untuknya…
  • Yang kan selalu ku janji bersamanya hingga malaikat maut menjemputku tiba…

Ya Allah…
wahai Tuhan yang memegang rahsia segala sesuatu,
jadikanlah aku redha terhadap apa-apapun yang Engkau tetapkan

Dan jadikan barakah dalam apa-apa yang Engkau takdirkan,
Wahai Tuhan yang memegang hikmah segala sesuatu,
Andai Engkau berkehendak lain,
Sesungguhnya sebenar-benarnya kehidupan adalah kehidupan akhirat,
Maka jadikanlah kehendakMu, bukan kehendakku…

"Sesungguhnya aku tidak mengetahui, sedangkan Engkau Maha Mengetahui, Takdirkanlah kebaikan bagiku, dan jadikanlah hatiku meredhainya…"