Zikrullah
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers
Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers
"Cinta Hakiki Khaliq Terbit Dari Kalbu Nan Suci.Rintihan Hati Luahan Perasaan Yang Dituturkan DihadapanNya Menggamit Rasa Syahdu Memecah Kesunyian Malam Justeru Melahirkan Sentuhan Jiwa Dan Ketenangan Pada Hati ,Yang Merindui Penciptanya".

Monday 17 September 2012

Istiqarah Dulu Sebelum Dirimu Jatuh Cinta


بسم الله الرحمن الرحيم

REMAJA dan CINTA. Dua perkara yang berkait rapat, amatlah sukar untuk dipisahkan. Sewaktu umur mula mencecah belasan tahun, mulalah hati tertanya-tanya mengenai cinta. Timbullah pula perasaan ingin mencuba. Dan kemudiannya, berlakulah pula cinta sementara; sekadar mainan semata.

Apabila umur mencecah dewasa, semakin didalami dunia cinta. Kini nafsu pula menyulami rasa. Cinta kini bukan sekadar bersifat sementara, malah dibaluti maksiat menambahkan dosa. Tiadalah disedari betapa diri sudah dihanyuti. Apabila saban hari menambah kemurkaan Ilahi, akhirnya tersentap menanyakan diri; apakah benar yang dilakukan ini?

Sedangkan diri mula menyedari, bahawa bersama si kekasih itu hanyalah akan menambahkan dosa-dosa lagi. Namun diri ingin benar pulang ke pangkuan Ilahi. Bagaimana caranya Ya Rabbi? Tinggalkanlah sesuatu itu andai jelas ia hanya akan memberatkan lagi kantung dosamu. Sampai bila ingin berterusan dalam melakukan dosa sebegitu?

Benar. Bukan mudah untuk meninggalkan si dia, apatah lagi cinta yang disulami bertahun-tahun lamanya. Namun sanggupkah dirimu menjadi penghuni neraka hanya kerana ingin menyelamatkan cinta yang belum tentu bakal menjadi milikmu buat selamanya? Kalau benar dirimu sayang pada dirimu sendiri, cinta dan si dia, lepas-lepaskanlah. Andai cinta dan maksiat ini berterusan, sanggupkah dirimu dan dirinya bertarung seksa di neraka Allah kelak?

Tiada gunanya ke hulu ke hilir bersama kekasih tercinta, berpegangan tangan melepaskan rindu tetapi akhirnya tidak berkesudahan yang indah; tidak disatukan dengan si dia. Jodoh bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa. Kalau dia bukan untukmu, walau bercinta seribu tahun lamanya, kamu tetap tidak akan dapat memilikinya. Namun andai dia benar untukmu, walau tidak pernah bertemu, akan ditemukan jua oleh Allah untuk disatukan apabila tiba masanya.

Sudah begitu banyak cerita perihal jodoh yang baru bertemu pada pertama kali, namun terus disatukan tanpa perlu bercinta terlebih dahulu. Cintanya kemudian, yakni selepas disatukan. Fahamilah bahawa bila Allah sudah menetapkan dia untukmu, usah kau gusar kerana walau satu dunia menolaknya, jodoh itu tetap akan tiba dan engkau juga akan tetap dapat memilikinya.

Oleh yang sedemikian, janganlah engkau sesekali menggadaikan segala-galanya semata-mata untuk menjodohkan dirimu dengannya. Itu hanyalah perkerjaan yang sia-sia dan mendatangkan kemurkaan si Pencipta. Adalah menyedihkan apabila tiba masanya untuk disatukan dengan jodohmu yang sebenarnya, namun segala-galanya telah hilang kerana telah diserahkan pada kekasih yang terdahulu. Dan lebih menyedihkan andai engkau jelas tahu bahawa engkau sekarang terperangkap dan terhanyut dalam dosa cinta namun tetap berterus-terusan melakukan dosa yang sama.


Tinggalkanlah perkara itu andai ia membawa bibit-bibit dosa dalam hidupmu. Bahagiakah mendapat cinta manusia namun disulami kemurkaan Allah? Berkasih-sayang itu tidak salah. Mencintai seseorang itu juga tidak salah. Yang salah itu adalah apabila cinta itu salah dimanifestasikan.

Kalau benar sayangkannya, engkau akan sedaya upaya membawanya ke syurga. Andai tidak berjodoh sekalipun dengannya di dunia, mudah-mudahan engkau berjiran dengannya di sana. Namun andai ke hulu ke hilir bersama tanpa ikatan yg sah, apatah lagi berpegangan tangan dan melakukan perkara yang tidak bermaruah; itu hanya akan menjunamkan kamu berdua ke neraka.  Bercinta sehingga menimbulkan dosa-dosa maksiat itu bukanlah cinta sebenar. Itulah cinta yang diulit syaitan dan kenikmatan yang mengelabukan mata.

Cinta yang sejati ialah apabila cinta yang menemukan kembali dua hati di syurga. Cinta sebegini bukanlah cinta yang hina, malah cinta ini adalah cinta yang diredhaiNya. Oleh yang sedemikian, usahakanlah terlebih dahulu menjadikan dia sebagai cinta yang halal bagimu. Usahakanlah perkahwinan secepatnya; agar kamu berdua lebih terpelihara dan terjaga. Namun andai kata masih lagi terhalang dan belum tiba masanya, amanahkanlah si dia pada Allah. Allah akan mengembalikan dia kepadamu andai dia benar untukmu.

Doakanlah agar sepanjang perjalanan itu Allah melindunginya agar terpelihara dari gangguan yang lain dan pulangkanlah dia dan hatinya kembali kepadamu apabila tiba waktunya. Tidak perlu keluar berdua-duaan untuk menjaga hubungan cinta itu. Tidak perlu menayangkan gambar-gambar yang mendedahkan auratmu untuk meraih dan mengekalkan cintanya.

Tidak perlu meninggalkan mesej menggoda sehingga kesannya boleh menaikkan nafsu. Tidak perlu meluahkan kata cinta yang keterlaluan di Facebook sebagai bukti cintamu. Semua itu tidak perlu. Cukuplah kamu mengamanahkan dia pada Allah.

Namun andai dia berkesudahan dgn orang lain, usahlah kamu bersedih kerana Allah akan menggantikan apa yang kamu kehilangan dgn perkara yang jauh lebih baik.

Ummu Salamah sewaktu suaminya diambil Allah, dia berdoa agar Allah mengurniakan pahala di atas kehilangannya dan supaya Allah menggantikan kehilangan itu dengan perkara yang lebih baik. Waktu itu, tiadalah dia dapat menggambarkan siapakah yang lebih baik dari suaminya, Abu Salamah. Tidak tercapai dek akalnya siapa yang lebih baik dari suaminya itu.Namun tidak lama kemudian, Rasulullah S.A.W pun meminangnya. Benarlah bahawa Allah menggantikan apa yang Ummu Salamah kehilangan dgn yang lebih baik, dan tiadalah manusia yang lebih baik dari Rasulullah S.A.W.
Begitulah juga dengan kisah hidup manusia. Waktu ini mungkin dirimu merasakan bahawa mana mungkin perasaan cinta ini pada si dia ini dapat hilang walaupun dia ditemukan jodohnya dengan orang lain. Tahukah kamu bahawa dirimu sekarang dalam keadaan fikiran yang tidak tercapai dek akal sebagaimana Ummu Salamah tidak dapat membayangkan siapakah yang lebih baik dari suaminya? Namun apabila Allah menggantikan yang lebih baik kepadamu, waktu itu barulah kamu mula akan menyedari bahawa benarlah Allah menggantikan yang lebih baik.

Waktu itu perasaan cinta pada si pengganti yang telah ditetapkan Allah padamu itu akan bercambah dan mekar mewangi. Dirimu akan jauh lebih menyayangi dan mencintainya berbanding si dia yang hanya singgah sebentar dalam hidupmu.

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu pada hal ia amat buruk untuk bagimu. Allah Maha Mengetahui sedang kamu tidak mengetahui,"(Al-Baqarah:216)
Oleh itu, jangan gusar untuk melepaskan si dia sementara waktu dan mengamanahkan dia pada Allah. Allah pasti akan memberikan yang terbaik kepadamu kerana Dia benar-benar tahu apa yang terbaik bagimu, lebih daripada pengetahuan yang ada padamu. Adalah tidak salah berhubung dan bertanya khabar namun ikhtilat mesti dijaga. Tidak perlu berbual lama di telefon sehingga menimbulkan syahwat, apatah lagi berbual di malam hari. Tidak perlulah mesej 'sayang dan sayang' melampaui batas sehinggakan boleh menyebabkan boleh terjerumus ke kancah maksiat. Ingat, jangan sesekali menghampiri zina.

Simpan itu semua untuk dinikmati selepas disatukan sebagai suami isteri. Waktu itu tidak perlu takut-takut lagi, malah mendapat pahala kerana menyayangi si dia yang halal bagimu. Jangan ragu-ragu untuk meninggalkan perkara yang jelas mendatangkan dosa. Tinggalkanlah sahaja kerana Allah, dan agar engkau tidak menzalimi diri sendiri. Dan juga, berisitikharahlah. Keputusan jodoh ini adalah sesuatu yang besar dalam hidup seseorang insan, dan oleh itu serahkanlah pada Allah untuk menentukannya kerana Dia tahu apa yang terbaik untukmu.

Jawapan istikharah tidak semestinya datang dari mimpi, bimbang mimpi itu dipengaruhi keinginan hati dan gangguan syaitan. Hasil istikharah itu sebenarnya ketenangan hati yang tidak berbelah bahagi dan juga jalan yang dipermudahkan Allah. Jangan mendesak Allah untuk memberikan jawapan. Beristikharahlah sehingga hatimu tenang dan mendapat jawapan yang jelas. Sabarlah sementara menunggu keputusan dariNya. Dan apapun yang terjadi selepas dirimu beristikharah, ingatlah bahawa setiap yang terjadi itu adalah yang terbaik untukmu dan untuknya, sebagaimana apa yang didoakanmu sewaktu dirimu beristikharah. Ingatlah juga, bahawa Allah ada bersamamu. Yakinlah pada Dia dan setiap perancanganNya.

Akhir kalam, jangan sesekali biarkan dirimu terus hanyut dalam dosa kemaksiatan. Cintalah Allah terlebih dahulu sebelum dirimu mencintai makhlukNya. Wallahu'alam.

Moga Allah sayang dan redha ^_^

No comments:

Post a Comment