"Cinta Hakiki Khaliq Terbit Dari Kalbu Nan Suci.Rintihan Hati Luahan Perasaan Yang Dituturkan DihadapanNya Menggamit Rasa Syahdu Memecah Kesunyian Malam Justeru Melahirkan Sentuhan Jiwa Dan Ketenangan Pada Hati ,Yang Merindui Penciptanya".

Friday, 6 April 2012

Bila Diuji


بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama ALLAH SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Penat berjalan melalui rutin dan hidup hari demi hari. Terasa sakit dan pening kepala memikir semua benda yang perlu dilangsaikan. Itu hanya sakit lahiriah, bukan pada batinnya pulak! Memikirkan diri sendiri dan Ummah lebih membimbangkan. Apakah kesudahan.
Begitulah hidup kita dalam dunia ini. ALLAH sering sapa diri kita dengan ujian. Tidak dinamakan seseorang itu hamba ALLAh jika tidak menerima ujian yang ALLAh berikan. Dan tidak dapat dikatakan seseorang itu beriman jika tiada sifat sabar. Dan tiadalah dikatakan seseorang itu SABAR jika tiada dugaan yang akan menguji kesabarannya.
Kadang-kadang, kita cepat sangat untuk mengeluh dan merasa lelah atas semua apa yang telah menimpa dan apa yang telah kita lakukan. Lambat laun, keluhan yang keluar dari bibir, dan penat yang dituturkan akan membuahkan sifat malas dan rasa putus asa dalam diri seseorang
Ujian Allah = Kasih-Sayang Nya
Dalam menempuh hidup disertai dengan ujian daripada Allah SWT, perlu kita ingat..Ujian dan dugaan itu adalah tarbiah Allah. Cuba ingat kembali apakah hikmah selepas ujian Allah SWT itu, adakah kita merasa lebih tenang dalam kesenangan? Atau merasa lebih susah dalam kesusahan? Saya yakin!!! Kita semua boleh berfikir dan renung sejenak, disetiap ujian yang Allah SWT turunkan, ada kebaikan akhirnya.. Cuma, mahu tidak mahu saja untuk kita berfikir.
Ujian yang Allah berikan itu datang daripada pelbagai arah. Sama ada kita dipermainkan, dihina, dimaki dan dikhianati oleh hamba Allah yang kita kasihi, cintai, sayangi dan yang kita kenali, juga.. suatu penyakit yang Allah SWT turunkan. Itu semua adalah kasih-sayang Allah SWT.. Allah sebenarnya nak mengajar kita untuk lebih tabah dan tetap teguh dengan pendirian kita yang kita pegang. Allah nak bagitahu kita banyak sangat perkara yang boleh membuat kita mendapat tiket untuk ke syurga-Nya.
Apabila ujian datang menimpa.. Kadangkala, kita terasa ujian yang Allah berikan itu datangnya seperti hujan, tidak henti-henti sudahnya. Dan juga, kadangkala terasa seperti diri kita sahaja yang Allah berikan ujian seperti itu. Kita sering terlupa, bahawa setiap manusia telah dan akan Allah uji dengan cara yang lain. Kita terlupa, bahawa ada hamba Allah yang lain lebih teruk dan hebat ujian diri mereka. Begitulah sifat kita sebagai manusia.. Seringkali terlupa. Rasanya ungkapan Tun Mahathir yang berbunyi ‘Melayu Mudah Lupa’ patut digantikan dengan ungkapan ‘Hamba Allah Mudah Lupa’.
Sabar : Orang-orang Yang Hebat
Seringkali, apabila kita teruji dan mungkin menangis menumpang adu kepada sahabat, ungkapan SABAR seringkali kedengaran dan menunjukkan bahawa kekuatan sabar itu adalah KUAT. Ada orang, yang sudah lali dengan perkataan sabar yang diungkapkan oleh orang lain.. Ada orang, akan mendapat semangat dari perkataan sabar yang disebut oleh orang lain. Dan bagi diri saya sendiri, apabila saya memujuk diri saya untuk bersabar, seakan-akan ada suatu semangat yang sukar untuk saya gambarkan. Begitu juga apabila sahabat-sahabat yang lain memberikan sedikit semangat untuk diri saya.
Perlu kita renung sejenak dan tanam dalam hati.. Sifat SABAR itu adalah salah satu sifat yang paling tertinggi di sisi Allah SWT. Bukan semua orang boleh bersabar dengan dugaan yang dihadapi, boleh bertenang sambil tersenyum dalam menjalani kehidupan hari demi hari. Tiada sifat seorang Muslim yang paling tinggi di sisi Allah melainkan sifat sabar. Sabar adalah kekuatan. Ia tidak mengira keturunan atau darjat yang ada pada diri seseorang itu.
Pesanan buat diri saya sendiri.. Saya seringkali memujuk diri. Saya yakin dengan janji Allah.
Allah SWT tetap akan memandang hamba-hamba yang sabar itu lebih dari segalanya. Allah akan tetap memandang dengan pandangan yang penuh kasih-sayang melalui pandangan rahmatNya. Malah, para malaikat juga akan turut mendoakan hamba yang sabar, inshaAllah. Percaya dan yakinlah dengan Allah SWT. Sesungguhnya Allah tidak akan menimpakan sesuatu cubaan kepada kita melainkan kita mampu untuk menanggungnya. Allah tidak zalim untuk menyeksa kita dengan ujian yang Allah memang tahu kita tidak mampu untuk memikul ujian itu. Cuba renungkan kembali, atas dasar apa kita dilahirkan ke dunia dan apa niat kita di atas muka bumi ini.
Dengan sifat yang sabar, kita boleh menjadi seperti seteguhnya karang yang ada di laut. Tidak akan goyah walau dihampas badai yang melanda. Kita tetap akan menjadi lemah-lembut sepertimana rumput akur dengan belaian angin, tetapi kita tidak akan luruh dan tumbang akibat ditampar dengan ribut taufan yang sengaja datang untuk menyapa kekuatan SABAR yang kita ada.
Apabila sebarang musibah datang melanda, cepat-cepat bersuci dan menghadap Tuan Punya Dunia. Mengadulah.. Menangislah.. Memang sifat kita lemah apabila berada di hadapan-Nya. Pujuk jugalah hatimu untuk melunturkan ego agar dirimu lembut untuk menitiskan airmata dihadapan-Nya. Ingatlah wahai diriku, secubit ujian yang Allah berikan, bergumpal-gumpal pahala sebagai ganjaran Allah kepada hambaNya. Syaratnya adalah dengan BERSABAR.
Kita Semua Adalah Pejuang
Kita semua adalah askar! Kita semua adalah pejuang! Dan seorang pejuang itu ada perjuangan yang wajib untuk dia selesaikan hingga ke akhir hayat. Hamba Allah…. Perjuangan kita sebagai hamba Allah adalah untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi sepertimana perjuangan Rasulullah SAW dahulu. Dan dengan perjuangan inilah kita akan mendapat keredhaan Allah SWT.
Ingatlah, dalam barisan perjuangan kita ini memerlukan semangat yang tinggi, pengorbanan yang banyak.. Dan semua itu tidak akan dapat kita selesaikan seandainya kita tiada sifat sabar dalam diri. Maka dengan itu, suburkanlah sifat sabar dalam jiwa. Buangkan sejauh-jauhnya sifat amarah, jauhilah dendam jika dikhianat orang, dan maafkanlah kesalahan orang walaupun perbuatan itu sesuatu yang tidak dapat kita lupakan. Sesungguhnya, Allah juga sangat kasih kepada hamba yang pemurah dengan memaafkan kesalahan orang lain.
Pejuang Hidup Kerana Berjuang!
Seorang pejuang tetap wajib tegar di jalan perjuang. Seorang pejuang tidak boleh berputus-asa dengan perjalanan hidup yang masih panjang walaupun umur kita hanya Tuan Punya Dunia yang Maha Mengetahui. Apabila seorang pejuang itu rebah kerana berputus – asa, bermakna kita memberi peluang kepada iblis dan syaitan untuk bersorak kegembiraan kerana ada Anak Adam yang lemah padahal syurga telah Allah janjikan bagi mereka yang penyabar.
Rebah seorang pejuang itu, memang keinginan syaitan laknatullah. Ketahuilah wahai diriku, seisi alam ini ; haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan para Malaikat turut mendoakan kesejahteraan manusia yang baik-baik, yang tetap teguh seperti seteguh karang dijalan perjuangan ini.
Moga qalam ini dapat membuat diri saya berfikir kerana ku menulisnya untuk peringatan diriku sendiri. Aku perlu untuk tetap berdiri di jalan yang penuh duri yang berbisa. Aku perlu.. Aku wajib! Kerna, aku hanya mendambakan redha Allah.. Dan untuk mendapatkan redha Allah, aku perlu bersabar seiring melalui rintangan perjuangan yang tidak terduga. Allah~
Aku sayang Allah~ Aku sayang Rasulullah~
Semoga Allah merahmati..

No comments:

Post a Comment