"Cinta Hakiki Khaliq Terbit Dari Kalbu Nan Suci.Rintihan Hati Luahan Perasaan Yang Dituturkan DihadapanNya Menggamit Rasa Syahdu Memecah Kesunyian Malam Justeru Melahirkan Sentuhan Jiwa Dan Ketenangan Pada Hati ,Yang Merindui Penciptanya".

Thursday, 11 August 2011

Ahli Syurga Yang Terakhir


Kisah kali ini diambil dari hadis nabi saw riwayat Imam al-Bukhari sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda :

Setelah Allah selesai dari mengadili hambaNya, tinggal lagi seorang lelaki yang menghadapkan wajahnya ke Neraka. Dia adalah ahli Syurga yang terakhir memasukinya. Dia berkata: Wahai Tuhanku, palingkanlah wajahku dari Neraka kerana wapnya benar-benar menampar mukaku dan nyalaannya membakarku. Dia terus memohon daripada Allah sepuas-puasnya.

Kemudian Allah s.w.t berfirman: Adakah kamu akan terus meminta sekiranya Aku menunaikan permintaanmu itu? Lalu dia menjawab: Aku tidak akan meminta lagi dariMu perkara lain. Lalu Allah memperkenankan permohonannya itu dan memalingkan mukanya dari Neraka. Apabila dia berpaling mengadap Syurga dia terus terpegun, lalu dia memohon daripada Allah dengan berkata: Wahai Tuhanku, hampirkanlah aku kepada pintu Syurga. Maka Allah menjawab: Tidakkah engkau telah berjanji tidak akan meminta lagi perkara lain dariKu, celaka sungguh engkau wahai anak Adam. Dia pun menjawab: Tidak, demi keagunganMu, lalu dia berjanji lagi kepada Tuhannya. Lalu Allah mendekatkannya ke pintu Syurga.
Setelah dia berdiri di ambang pintu Syurga, terbukalah pintu Syurga dengan luas untuknya, sehingga dia dapat melihat dengan jelas segala keindahan dan kesenangan yang terdapat di dalamnya. Dia terus diam terpegun untuk seketika, kemudian dia berkata lagi: Wahai Tuhanku, masukkanlah aku ke dalam Syurga. Maka Allah s.w.t berfirman kepadanya: Bukankah engkau telah berjanji tidak akan meminta selain perkara yang telah Aku berikan? Celaka engkau wahai anak Adam. Lalu dia menjawab: Tidak, wahai Tuhanku, aku tidak mahu menjadi makhlukMu yang paling malang.

Dia terus berdoa kepada Tuhannya tanpa berputus asa sehinggalah Allah memperkenankan permintaannya lalu berfirman kepadanya: Masuklah ke dalam Syurga. Setelah dia memasuki Syurga, Allah berfirman kepadanya: Pohonlah lagi. Maka dia terus memohon kepada Tuhannya dan dia terus meminta sehinggalah Allah mengingatkannya dengan beberapa perkara. Setelah habis permintaannya, Allah s.w.t pun berfirman: Apa yang berlaku itu merupakan kemurahanku kepadamu dan umatmu, begitu juga kepada umat lain bersama Nabi mereka.
Hadis yang panjang ini memberi banyak pengajaran kepada kita :

1- mukjizah ilmiah rasulullah saw yang menceritakan peristiwa di akhirat padahal ia belum terlaku.

2- Setiap orang Islam yang tidak menyekutukan Allah akan memasuki syurga akhirnya walaupun dia seorang yang fasik dan melakukan dosa-dosa besar.

3- Rahmat Allah mengatasi kemurkaanNya. Allah Maha Pengasih dan Penyayang kepada setiap hambaNya di dunia dan diakhirat.

4- Jangan berputus asa berdoa dan memohon kepada Allah bila inginkan sesuatu walaupun perkara itu seolah-olah mustahil diperolehi.

5- Khazanah dan kekayaan Allah tidak pernah berkurang.

6- Azab neraka tidak dapat dibayangkan penderitaannya.

7- Nikmat syurga juga tidak dapat dibayangkan kenikmatannya.

8- Allah sangat suka bila hambaNya memohon kepadaNya.

9- Kemuncak kesenangan yang sebenar ialah bila kita dimasukkan ke dalam syurga.

10- Berdoalah kepada Allah agar kita terselamat dari azab neraka.

Semoga Allah merahmati kita semua dan menempatkan kita semua ke dalam syurgaNya di akhirat kelak.

No comments:

Post a Comment