Zikrullah
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers
Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers
"Cinta Hakiki Khaliq Terbit Dari Kalbu Nan Suci.Rintihan Hati Luahan Perasaan Yang Dituturkan DihadapanNya Menggamit Rasa Syahdu Memecah Kesunyian Malam Justeru Melahirkan Sentuhan Jiwa Dan Ketenangan Pada Hati ,Yang Merindui Penciptanya".

Friday 28 October 2011

Bahaya Lidah


Sedikit renungan pendek untuk kita hayati bersama-sama. ...

Pepatah mengatakan, lembut lidah tidak bertulang, tetapi kata-katanya menusuk seperti belati. Berhati-hati, jenayah menggunakan lidah tidak akan kita nampak dosanya di hadapan mata, tetapi dosa-dosa ini akan diperlihatkan di kampung akhirat nanti.

Lidah untuk berkata-kata tetapi adakah kita menggunakan lidah untuk meluahkan perkataan yang elok-elok? Sebabnya yang sering berlaku, kita menggunakan lidah untuk berbual kosong, mengumpat, bercakap perkara sia-sia sehingga kadang kala melampaui batas.

Jenayah lidah juga menjadi 
racun yang mematikan kasih sayang dalam pergaulan sesama insan, menyuburkan benih dendam dan kebencian dalam persaudaraan. Apabila manusia terdedah kepada bahaya fitnah, saling mencela, berprasangka buruk atau menghina secara terang-terangan maka akan rosaklah kehidupan yang asalnya aman dan damai.

Disebabkan itu, Rasulullah SAW mengingatkan kita dalam sabdanya yang bermaksud,
“Sesungguhnya seorang hamba Allah mengucapkan satu perkataan yang dibenci Allah ia tidak ambil hirau, menyebabkan dia terjerumus ke dalam api neraka (jahanam).” (Hadis riwayat Bukhari)

Banyak sekali peringatan mengenai bahaya lidah ini. 
Dalam bahasa kita, istilah yang kita gunakan adalah mulut jahat. Lidah memang tidak bertulang, mudah berkata tetapi kadang kala percakapan itu menolak seseorang ke jurang neraka.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud, “Tidak ada sesuatu yang menjerumuskan manusia ke dalam api neraka kecuali dosa-dosa percakapan kotor dan jahat.” (Hadis riwayat ahli sunnah dan Ahmad)

Berbahasa kasar dan mulut jahat bukan tabiat orang beriman. Hal ini seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Seseorang mukmin bukan seorang yang suka mencaci atau suka melaknat orang lain dan dia juga tidak bersifat jahat di samping ia tidak bersikap buruk.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Rasulullah SAW bersabda bermaksudnya,
“Tidak lurus (istiqomah) iman seseorang hamba itu sehingga hatinya lurus dan hatinya tidak akan lurus sehingga lurus lidahnya.” (riwayat Ahmad)

Maksud istiqomah ialah tetap teguh di atas jalan yang betul lurus yang membawa keredhaan Allah SWT. Dasar istiqomah adalah istiqomah hati iaitu lurusnya hati di atas tauhid. Apabila hati telah beristiqomah kepada Allah dalam erti kata takut, cinta, tawakkal dan mengagungkan Allah maka seluruh anggota tubuh akan taat kepadanya. 
Ini ialah kerana hati adalah raja kepada badan manakala anggota badan adalah rakyatnya.

Anggota terpenting selepas hati yang mesti diberi perhatian serius agar beristiqomah ialah lidah kerana lidah adalah terjemahan hati yang menggambarkan pemikiran seseorang.

Oleh itu, peliharalah lidah sebaik-baiknya. Strategi paling berkesan bagi menghindari maksiat lidah sudah diajar Baginda SAW melalui penyaksian Ummul Mukminin Aisyah yang berkata, “Sesungguhnya Rasulullah sentiasa berzikir kepada Allah setiap saat.” (Hadis riwayat Muslim)


Alangkah eloknya apabila kita boleh memujuk diri dan membulatkan tekad untuk sentiasa berzikir seperti mana amalan Baginda SAW. Walaupun tujuan sebenarnya ialah untuk menghadirkan Allah pada setiap perbuatan, supaya lurus segala amal zahir dan batin, amalan zikrullah juga diyakini boleh menyibukkan lidah dan hati sehingga keduanya tidak berpeluang melakukan maksiat. Zikrullah menjamin hati yang sempurna, hati yang hidup dan jasad sentiasa bergerak untuk kebaikan.

Renung-renungkan!

Hadis Rasulullah SAW: Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW., sabdanya: "Siapa yang tasbih tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya seratus dengan membaca: "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan." (Hadis riwayat Muslim)

No comments:

Post a Comment