Zikrullah
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers
Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers
"Cinta Hakiki Khaliq Terbit Dari Kalbu Nan Suci.Rintihan Hati Luahan Perasaan Yang Dituturkan DihadapanNya Menggamit Rasa Syahdu Memecah Kesunyian Malam Justeru Melahirkan Sentuhan Jiwa Dan Ketenangan Pada Hati ,Yang Merindui Penciptanya".

Thursday 9 June 2011

Sudi Tak Awak Jadi Isteri Kedua Saya

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Iman tegas dan yakin.
Tiba-tiba mata Aiza merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Iman dengan suara tersekat-sekat. Mata Iman liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Aiza. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Aiza langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… " Aiza mula sebak.
"Tak. Maksud saya…"
"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Aiza dengan kasar.

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Aiza semakin tinggi, setinggi egonya. Iman diam seribu bahasa. Dia sudah tahu ‘Aiza’ di sebalik Aiza yang dia kenal
selama ini.

Aiza bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung berwarna hijau. Dalam hatinya, Iman seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Iman muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya.

Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya. "Ada hikmah," bisik hati kecil Iman, sekecil pandangannya terhadap Aiza.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Iman sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak.

Keyakinan serta keaktifan Iman berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis gadis dalam persatuannya. Malah, Iman dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Aiza terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Iman. Bagi Iman, Aiza seperti pelengkap kepada dirinya.

Namun, hanya sehingga saat Iman melamarnya menjadi isteri kedua. Iman masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Ina nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Aiza, namun sikap Aiza yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Iman tersebut.

Bagi Aiza , Iman tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Iman berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Iman semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun.

Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Iman sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Iman.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Iman dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Ina. Iman sekali lagi gusar takut-takut Ina tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Iman menemui Tuhannya, namun, Ina yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Aiza atau tidak? Iman bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Ina ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Ina daripada beberapa sahabat terdekatnya, Iman berjumpa dengan Ina bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Iman mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Aiza.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Iman tanpa segan silu.
"Sudi," jawab Ina ringkas.
"Er, betul ke ni?" tergagap Iman menerima jawapan Ina yang tenang dan yakin. Ina mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Iman.


"Kenapa saya?" tanya Iman ingin tahu.
"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Ina yakin tetapi sedikit malu.
"Baiklah," jawab Iman tersenyum.

Akhirnya, Iman dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Ina, Iman terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Ina sangat membantu gerak kerja Iman semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Iman membawa Ina untuk membantu kerja dakwah seadanya.

Kadang-kala letih menyinggah Ina. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Iman. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Ina juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Ina dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ye sayang?" jawab Iman sambil memandu.
"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Ina yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Iman menoleh sedikit ke arah Ina, sambil tersenyum.
"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Ina riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Iman dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Ina, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Iman yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Iman aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Iman membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya. Iman berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Ina yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Iman menuding jari ke arah khemah tersebut
"Mana bang?" Ina mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Iman.
"Tak nampak pun," Ina meninggikan sedikit hadapan kakinya.

"Siapa nama isteri pertama abang?" Ina sangat berdebar. Iman tersenyum lebar, memandang Ina penuh tenang.

"PERJUANGAN, " jawab Iman.

Pengajaran:
Sedarlah semua wahai muslimah serikandi dan perwira Islam ... kalian akan dimadukan!

Jika dirimu bakal seorang isteri…
Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan, bahkan anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini tetapi anda adalah bakal isteri kedua kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam! Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan… Kehadiran dirimu adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan islam bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu. Janganlah jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga diri mu dengan terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan islam!

Jika dirimu bakal seorang suami…
Terimalah bahawa anda bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya atau insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu! Bahkan dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya, kerana suami yang pertama baginya ialah perjuangan islam dan memartabatkannya. Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai islam dan memperjuangkan islam. Jika dirimu tidak sedemikian, sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam sanubari isterimu…

Bantulah isterimu atau suamimu dan kuatkanlah dia untuk meneruskan perjuangan islam ke serata dunia!!Takbir ! Allahuakbar!

No comments:

Post a Comment