"Cinta Hakiki Khaliq Terbit Dari Kalbu Nan Suci.Rintihan Hati Luahan Perasaan Yang Dituturkan DihadapanNya Menggamit Rasa Syahdu Memecah Kesunyian Malam Justeru Melahirkan Sentuhan Jiwa Dan Ketenangan Pada Hati ,Yang Merindui Penciptanya".

Sunday, 24 July 2011

Wajib Mencari Rezeki Yang Halal Walau Dalam Keadaan Apa Sekalipun



HAKIKATNYA nasib manusia di dunia tidak sama dari segi kekayaan, penguasaan ilmu dan darjat kerana Allah mencipta keadaan itu supaya manusia saling memanfaatkan antara satu sama lain. 

Namun, ia tidak bermakna yang mendapat kurang mesti berserah kepada takdir semata. Manusia diberikan akal untuk berfikir berusaha memenuhi keperluan hidup dan mencapai keadaan lebih baik dalam kehidupan seharian.

Teori ekonomi menyebut tiga keperluan asas manusia adalah makanan, pakaian dan tempat tinggal. Individu atau keluarga yang tidak mampu memenuhi keperluan asas tergolong sebagai amat daif dan memerlukan bantuan pihak lain untuk meneruskan kehidupan seharian. 

Bagi umat Islam, dalam usaha mendapatkan keperluan asas atau kehendak lain, wajib diperoleh dengan cara halal. Kemiskinan bukan alasan untuk menghalalkan perbuatan yang salah. 

Kemiskinan menghampirkan diri kepada kekufuran. Ia umpama bom jangka bila-bila masa boleh meletup menimbulkan malapetaka dalam masyarakat. Masyarakat yang lebih banyak didiami golongan miskin sentiasa berdepan situasi tegang, terancam dan cemas. 

Perbuatan salah mendedahkan diri kepada keadaan yang lebih buruk. Pelakunya berdepan dengan hukuman buatan manusia di dunia ini dan di akhirat pula, akan menerima balasan lebih pedih, melainkan pelakunya sempat bertaubat dan melakukan banyak kebaikan. 

Batasan haram dikecualikan hanya dalam keadaan terlalu terdesak atau darurat. Pun begitu, keadaan itu tidak berlaku di negara kita. Golongan miskin berpeluang mendapat bantuan daripada pihak kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan dan penderma individu. 

Justeru, tidak ada alasan untuk rakyat di negara ini mengatakan dia terpaksa melakukan perbuatan ditegah agama kerana terlalu terdesak untuk memenuhi keperluan hidup. 

Rakyat Malaysia bernasib baik kerana peluang pekerjaan masih terbuka luas di negara kita. Berjuta-juta rakyat negara lain datang ke Malaysia mencari rezeki yang dikatakan sebagai lubuk emas. 

Kekuatan rohani dan jasmani penting dalam usaha mencari rezeki. Kita mesti berfikir dengan positif dan gunakan kekuatan fizikal untuk melakukan usaha bersesuaian. Keyakinan terhadap kemampuan diri penting bagi menjana semangat melakukan usaha kebaikan. 

Rasa keyakinan diri termasuk dalam erti bersyukur. Kita berasakan apa yang dikurniakan Allah dari segi kekuatan akal, fizikal, masa hidup dan peluang yang ada sebagai satu anugerah perlu dimanfaatkan sepenuhnya. 

Ada individu serba kekurangan dari segi fizikal, tetapi dapat hidup berdikari. Mereka tidak menjadikan kecacatan sebagai alasan untuk mendapat simpati orang ramai. Justeru, mengapa pula individu yang sempurna fizikal tidak dapat melakukan lebih baik daripada itu?

Yakin diri lahir daripada individu yang mengenali kelebihan dan kelemahan diri sendiri. Kelebihan dianugerah Allah adalah amanah untuk melakukan kebaikan. 

Individu yang mencipta kejayaan cemerlang memulakan usaha dengan yakin pada diri. Semangat berdikari dan tidak mudah menyerah kalah. 

Jika berdepan masalah atau kegagalan, itu satu kenyataan yang mesti diterima dengan hati dan fikiran terbuka. Apa yang penting, jangan mudah patah semangat. Pertolongan Allah akan datang daripada segenap penjuru yang tidak disangka membantu mereka yang tidak berputus asa. 

Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah, melainkan kaum yang kafir.” – (Surah Yusuf, ayat 87) 

Biarpun Islam menggalakkan umatnya mencari harta, tetapi Islam melarang keras mengumpul harta melalui jalan yang salah. Harta diperoleh secara salah, tidak ada keberkatannya. Bila-bila masa ia akan bertukar menjadi satu bebanan dan hilang tanpa disangka.

Keberkatan bermaksud kebahagiaan hasil apa yang diperoleh atau dilakukan. Ia juga membawa maksud bertambah dan semakin baik. Harta yang diberkati akan terus berkekalan dan mencukupi untuk membiayai hidup walaupun jumlahnya sedikit saja. 

Justeru, kita perlu berusaha dengan ikhlas dan mengikut jalan yang diredai Allah dengan sentiasa memohon keberkatan daripada-Nya. Tidak guna memperoleh kekayaan yang banyak, sedangkan tidak berkat. 

Soal keberkatan tidak boleh diambil mudah. Biarlah tidak berpeluang memiliki harta banyak, asalkan apa yang dimiliki, biarpun sedikit tetapi diberkati. Kita perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki. 

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya jika bersyukur kamu, akan ditambahkan untuk kamu. Dan jika kufur kamu, sesungguhnya azab-Ku adalah sangat pedih.” – (Surah Ibrahim, ayat 7) 

Justeru, jangan bersifat pasif dalam usaha mencari rezeki. Usaha mesti dilipat gandakan dan bersyukurlah dengan apa yang dikurniakan Allah. Manusia digalakkan supaya berdoa memohon kepada Allah untuk mendapat kehidupan lebih baik.

No comments:

Post a Comment