Zikrullah
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers
Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers
"Cinta Hakiki Khaliq Terbit Dari Kalbu Nan Suci.Rintihan Hati Luahan Perasaan Yang Dituturkan DihadapanNya Menggamit Rasa Syahdu Memecah Kesunyian Malam Justeru Melahirkan Sentuhan Jiwa Dan Ketenangan Pada Hati ,Yang Merindui Penciptanya".

Sunday 31 July 2011

Warkah Buat Sahabat Qarib


WARKAH BUAT SAUDARAKU

Bismillahirrahmanirrahiim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

            Segala puji bagi Allah ta’ala, Tuhan yang menciptakan sekalian alam. Yang telah menciptakan manusia pada seindah dan sebaik-baik kejadian. Berjuta nikmat kurniaan-Nya tak mungkin terbalas oleh kudrat manusia selama hayatnya. Selawat dan salam buat junjungan Muhammad S.A.W, kekasih Allah, insan kecintaan seluruh umat manusia.

Salam perjuangan.
Salam ukhuwwah fillah.
            Buat Muslimin dan muslimat yang bijaksana. Semoga sahabat-sahabat semua berada dalam keadaan yang baik. Semoga tenang dan bahagia dalam keredhaan dan rahmat Allah S.W.T. Semoga selamanya dalam jalan perjuangan yang suci ini, dalam nikmat Iman dan Islam sampai ke akhir hayat.

            ‘Selemah-lemah ukhuwwah adalah bersangka baik pada sahabat’

            Semoga ukhuwwah yang terbina ini selamanya dalam syariat dan diredhai Allah serta berkekalan sampai ke akhir hayat. Walau jauh di mata, Insya-Allah selamanya dalam kenangan dan doa. Ukhuwwah akan benar-benar teruji  bilamana perpisahan datang mengundang. Hargailah ukhuwwah yang terbina, buanglah segala praasangka dan hasad dari dalam diri. Buka pintu hati seluas-luasnya untuk berukhuwwah, redha menerima kelebihan dan kekurangan sahabat-sahabat sabagaimana sahabat-sahabat cuba untuk menerima kelebihan dan kekurangan kita. Semakin kita cuba mengenali dan mempelajari mengenai sikap seseorang, ternyata kita semakin tidak mengenalinya.

Itulah hakikat. Kerana kita sendiri belum tentu seratus-peratus sudah mengenali diri sendiri seperti mana orang lain mengenali diri kita. Terimalah seadanya. Seandainya didapati kita bermasalah dengan sahabat, marilah bersama-sama memeriksa diri, tidak mustahil puncanya adalah kerana kita bermasalah dengan Pencipta kita sendiri. Allah adalah sumber kekuatan, sebaik-baik Pembantu dan Pembimbing.

            ‘Senyum itu sedekah’  

            Seyumlah… kerana senyuman adalah titik tolak sebuah pertemuan dan penyeri kepada suatu ukhuwwah. Buang segala terasa, marah dan dendam di hati. Berbahagialah untuk kejayaan sahabat, bantu dan tampunglah kekurangan mereka.

            ‘Sesungguhnya setiap orang Islam itu bersaudara’

           Jujurlah, kerana kejujuran adalah sesuatu yang indah dalam kehidupan. Kejujuran dan berterus terang akan menghilangkan kemarahan dan kegusaran di hati. Kejujuran melahirkan kepercayaan. Kejujuran  hendaklah diterima dengan hati yang terbuka dan redha. Saling memberi dan menerima. Itulah indahnya berada dalam Taman Islami, ada sahabat yang sudi menegur dan memperbetulkan kesilapan diri. Teguran adalah tanda sayang dan kasih mereka.

Jadilah insan yang bertanggungjawab dan bertimbang rasa dalam segala urusan. Sudilah membantu pada mana-mana kelompangan yang kelihatan. Runtuhkan keegoan yang melangit kepada kerendahan hati yang serendah pepasir di dasar lautan. Jangan biarkan keegoan dan prinsip diri merosakkan ukhuwwah yang indah dan jalan perjuangan yang suci ini. Semoga kelemahan dan kehinaan diri kita tidak menjadi asbab terdindingnya hidayah dan bantuan Allah untuk perjuanganan dan kemenangan Islam..

            Jalan perjuangan ini tidak terbentang padanya permaidani yang indah. Di hadapan menanti liku-liku cabaran serta onak dan duri yang tidak diduga. Perjuangan baru bermula, tabahkan hati menghadapinya. Jangan biarkan ia hancur. Biar berlinangan air mata, pasti akan ada jalannya. Ibarat aliran sungai, walau padanya terdapat batu-batu besar dan pokok yang menghalang, pasti ada laluan untuknya. Sungai itu akan terus mengalir walau hanya melalui satu celahan sekecil zarah. Walau perlu menentang arus, jalan itu harus diteruskan. Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. ‘Dok perlu’ risau dan gusar. Yakinlah pada keajaiban dan bantuan Allah. Tidak ada yang tidak mungkin di mata Allah.

            Akhirul kalam, mohon ampun dan maaf sekali lagi andai ada tersilap kata atau 
terkasar bahasa. Mohon ampun dan maaf atas segala keterlanjuran dan kesilapan kata-
kata dan perbuatan samada yang disengajakan ataupun tidak, yang terzahir atau 
tersembunyi, awal akhir, dunia akhirat. Semoga sentiasa dalam keredhaan-Nya walau 
di mana jua berada. Semakin jauh kaki melangkah, semakin panjang jalan perjuangan. 
Onak dan duri sedia menanti. Tabahkan hati, kuatkan semangat, mantapkan ruhiyyah. 
Berbahagialh kerana termasuk di kalangan mereka yang diuji. Ujian tanda kasih Allah 
pada hambaNya. Ujian bukanlah untuk diminta dijauhkan dari kita. tetapi adalah untuk 
ditempuhi dengan sabar dan taqwa. Ujian mematangkan fikiran, mengampunkankan dosa,
 mendekatkan hamba pada Tuannya. Setiap detik adalah tarbiyyah dari-Nya. Wallahu’alam...
                       
Ampuni kami Ya Ghaffar. Kedua ibu bapa kami, saudara, kaum kerabat, sahabat-sahabiah kami serta sekalian muslimin dan muslimat. Berilah kami hidayah dan taufiq-Mu. Kurniakan kami redha-Mu serta jauhkanlah kami dari murka dan azab api neraka-Mu. Wahai Yang Memperkenankan doa, perkenankanlah doa kami ini Amin Ya Rabbal ‘alamin….

            Syukran. Wassalam...

No comments:

Post a Comment